#2121: Memperlahankan Suara Ketika Solat Jenazah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mohon bertanya sekiranya kita menjadi imam solat Jenazah adakah perlu bacaan dengan kuat seperti solat fadhu atau pun boleh baca di dalam hati? 

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat itu ada ajalnya (tempoh yang telah ditetapkan); maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka lewatkan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka awalkan (saat kematian tersebut).”

(Surah al-A‘raf: 34)

Ayat ini di atas menunjukkan bahawa bagi tiap-tiap generasi dan kurun itu tempoh masa dan waktu yang telah ditetapkan bagi ajal mereka. Apabila telah datang waktu-waktu mereka (ajal) yang telah ditentukan, mereka tidak dapat melewatkannya walaupun seketika (sesaat) atau memajukannya (lebih awal).( Lihat Mukhtasar fi Tafsir al-Quran al-Kareem, hlm. 154.)

Solat Jenazah

Solat jenazah merupakan salah satu fardhu kifayah ke atas diri seorang muslim terhadap saudaranya yang telah meninggal dunia.  diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلاً لاَ يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ شَفَّعَهُمُ اللَّهُ فِيهِ

Maksudnya : Tidak ada seorang lelaki muslim yang meninggal dunia, kemudian terdapat empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun mendirikan solat jenazah ke atasnya, melainkan Allah akan memberikan syafaat dari mereka buat dirinya (jenazah tersebut).

Riwayat Muslim (948)

Begitu juga terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh A’isyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَا مِنْ مَيِّتٍ يُصَلِّي عَلَيْهِ أُمَّةٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ يَبْلُغُونَ مِائَةً كُلُّهُمْ يَشْفَعُونَ لَهُ إِلاَّ شُفِّعُوا فِيهِ

Maksudnya : Tidaklah seorang mayat yang disolatkan ke atas jenazahnya umat Islam yang mencecah seratus orang yang mana kesemuanya memberi syafaat kepada mereka, melainkan akan diberikan syafaat mereka kepadanya (jenazah).

Riwayat Muslim (947)

Solat jenazah mempunyai ganjaran yang besar bagi mereka yang mengerjakannya. Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ، وَمَنْ شَهِدَهَا حَتَّى تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ. قِيلَ: وَمَا الْقِيرَاطَانِ؟ قَالَ: مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ

Maksudnya:Sesiapa yang menghadiri solat jenazah sehingga ia disolatkan ke atasnya, maka baginya satu qirat. Sesiapa yang mengiringi jenazah sehingga ia dikebumikan, maka baginya dua qirat. Ditanyakan kepada Baginda SAW: ‘Apakah yang dimaksudkan dengan dua qirat? Baginda SAW menjawab: ‘Seperti dua gunung yang besar.’

Riwayat al-Bukhari (1325); Muslim (945)

Menjawab bagi persoalan di atas, kami berpandangan hendaklah memperlahankan  suara ketika solat jenazah .  Ini merupakan pandangan ulama seperti Ibn Qudamah beliau menyatakan :  Diperlahankan pada bacaan dan doa dalam solat jenazah dan kami tidak menemui perbezaan pandangan dalam kalangan ulama. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas bahawa beliau menyaringkan bacaan ketika membaca al-Fatihah dalam solat jenazah.  Imam Ahmad berkata: Sesungguhnya beliau menguatkan suara bertujuan untuk mengajarkannya.  (Lihat al-Mughni, 3/412).

Dengan mengambil Rasulullah SAW sebagai suri teladan terbaik serta contoh terutamanya dalam ibadat seperti solat di mana kita disuruh mengikutinya berdasarkan hadith yang diriwayat daripada Malik bin al-Huwairith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 صَلُّوا كما رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: “Solatlah sepertimana kamu semua melihat aku solat.

Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)

Seluruh solat jenazah hendaklah dibaca secara senyap iaitu  membaca  dan berdoa secara senyap.  Jika suaranya kedengaran oleh orang di sekelilingnya, maka tidaklah berdosa baginya.  Sahabat-sahabat Rasulullah SAW mendengar suara baginda ketika beliau berdoa kepada  jenazah. Oleh yang demikian, tiada masalah jika suaranya kedengaran oleh orang di sekelilingnya. Namun, tidak disunatkan untuk bersuara kuat sehingga mengganggu orang di sekeliling. Sebaliknya, mempertahankan suara agar orang di sekelilingnya dapat mendengar dan mengambil manfaat darinya adalah dibolehkan. (Lihat Fatawa Nur a’la al-Darb, 14/15)

Justeru,  dalam solat jenazah, baik di waktu malam atau siang hari, adalah membaca dan berdoa secara senyap, tetapi bersuara dengan sedikit kuat yang mungkin didengar oleh orang di sekelilingnya tidak lah menjadi satu kesalahan .

Semoga Allah memberi kefahaman yang jelas dalam beribadah kepadanya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H