#2124: Umur Dunia Sampai 1500 Tahun Sahaja?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah umur umat Islam/dunia sampai 1500 sahaja? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu anggaran usia bumi berdasarkan kajian arkeologi. Usia Bumi ialah kira-kira 4.54 ± 0.05 bilion tahun (4.54 × 109 tahun ± 1%). Pentarikhan ini berdasarkan keterangan daripada umur meteorit radiometrik bahan dan konsisten dengan usia radiometrik daripada sampel terestrial dan bulan yang paling terkenal.

Berikutan perkembangan radiometrik zaman kelahiran pada awal abad ke-20, pengukuran utama dalam mineral kaya uranium menunjukkan bahawa ada yang berumur lebih daripada satu bilion tahun. Mineral tertua yang dianalisa kepada kristal zirkon zaman kecil dari Jack Hills dari Australia Barat—sekurang-kurangnya 4.404 bilion tahun. Kemasukan kalsium-aluminium yang kaya—iaitu konstituen pepejal yang tertua dalam meteorit yang terbentuk dalam Sistem Suria—4.567 bilion tahun, memberi had yang lebih rendah untuk usia sistem suria.

Ia merupakan hipotesis bahawa pertambahan Bumi bermula tidak lama selepas pembentukan kemasukan kalsium-aluminium kaya dan meteorit. Kerana jumlah masa yang tepat, proses pertambahan ini belum diketahui, dan ramalan-ramalan dari model akrilik yang berbeza dari beberapa juta hingga 100 juta tahun, usia yang tepat untuk Bumi adalah sukar untuk ditentukan. Ia juga sukar untuk menentukan usia sebenar batu-batu tertua di Bumi, terdedah di permukaan, kerana ia merupakan agregat mineral yang mungkin berbeza usia.[1]

Begitu juga di dalam Ensiklopedia Dunia dinyatakan bahawa kemungkinan besar bumi berusia sekurang-kurangnya 4 ½ bilion tahun. Batuan tertua yang pernah ditemui adalah kira-kira 4.3 bilion tahun. Ahli sains dapat mengetahui umur batuan dengan mengukur jumlah isotop radioaktif yang terdapat di dalam batuan tersebut. Isotop radioaktif memancarkan sinaran tak tampak dan berubah menjadi unsur yang berlainan dalam tempoh tertentu. Contohnya, uranium memancarkan sinaran dan perlahan-lahan bertukar menjadi tembaga. Ahli sains dapat mengetahui masa yang diperlukan oleh uranium untuk bertukar menjadi plumbum. Mereka boleh menentukan usia batuan dengan membandingkan jumlah uranium di dalam batuan tersebut dengan jumlah plumbum di dalamnya. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 4/382).

Secara umumnya, al-Suyuti pernah menyebutkan dalam kitabnya, al-Hawi (2/249-256) bahawa tempoh dunia adalah tujuh ribu tahun, dan Nabi SAW telah diutuskan pada akhir alaf keenam. Penghujung alaf keenam bermaksud pertengahan kedua daripadanya. Berdasarkan hal itu, jangka hayat umat ini lebih daripada seribu tahun dan kurang daripada 1500 tahun. Beliau menyebutkan, tempoh itu tidak boleh 1500 sama sekali. Dalam erti kata lain, tempohnya mesti kurang daripada 1500 tahun. Kemudian beliau membawakan pula riwayat-riwayat dan athar-athar yang dijadikan sebagai hujah bagi hal tersebut. Sebahagiannya adalah isra’iliyyat yang tidak boleh dijadikan sebagai dalil dan sebahagiannya lagi adalah dha‘if (lemah), bahkan ada dalam kalangan ulama yang menilainya sebagai dusta dan maudhu‘ (palsu).

Di antara bukti yang menunjukkan bahawa pendapat ini tertolak ialah:

Pertama: Jika pendapat ini betul, maka semua orang akan mengetahui bilakah hari kiamat akan berlaku. Jadi, ini bertentangan dengan apa yang disebutkan dalam ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi SAW yang secara pasti menyatakan bahawa hari kiamat tidak diketahui oleh sesiapa pun melainkan hanya Allah SWT. Firman Allah SWT:

يَسْأَلُكَ النَّاسُ عَنِ السَّاعَةِ ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ اللَّهِ ۚ وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّ السَّاعَةَ تَكُونُ قَرِيبًا

Maksudnya:Manusia bertanya kepadamu wahai Muhammad tentang kedatangan hari kiamat, katakanlah, ‘Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu hanya ada di sisi Allah. Bagaimana kamu dapat mengetahui? Barangkali kiamat itu sudah dekat.’

(Surah al-Ahzab: 63)

Menurut Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini, Allah SWT mengkhabarkan kepada rasul-Nya bahawa dia tidak mempunyai pengetahui mengenai hari kiamat. Lalu jika seseorang bertanya kepadanya tentang perkara tersebut, dia hendaklah menyuruhnya untuk menyerahkan ilmunya kepada Allah ‘Azza wa Jalla (iaitu hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya). (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/527).

Begitu juga Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti ketika menafsirkan ayat ini turut menyatakan bahawa sebagaimana diketahui lafaz “إِنَّمَا” merupakan sighah hasr (صِيغَةُ حَصْرٍ) yang memberi maksud eksklusif (mengehadkan). Lalu menjadikan makna ayat ini bahawa hari kiamat itu hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 6/257).

Selain daripada itu, Allah SWT juga ada berfirman:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا ‎﴿٤٢﴾‏ فِيمَ أَنتَ مِن ذِكْرَاهَا ‎﴿٤٣﴾‏ إِلَىٰ رَبِّكَ مُنتَهَاهَا ‎﴿٤٤﴾‏ إِنَّمَا أَنتَ مُنذِرُ مَن يَخْشَاهَا

Maksudnya:Mereka bertanyamu tentang hari kiamat, tentang bila ia akan berlaku. Mengapakah kamu yang harus menyebutkan waktunya? Hanya kepada Tuhanmu berakhir segala pencarian maklumat tentangnya. Engkau hanya pemberi peringatan kepada sesiapa yang takut kepadanya.”

(Surah al-Nazi‘at: 42-45)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, pengetahuan tentang kiamat itu tidak diberikan kepada kamu mahupun kepada sesiapa pun dalam kalangan makhluk, tetapi perkara itu hendaklah diserahkan kepada Allah SWT, kerana hanya Dialah sahaja yang mengetahui dengan tepat bila ia akan berlaku. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 4/736).

Malah, Syeikh Abdul Rahman al-Sa‘di menyatakan, oleh sebab itu, pengetahuan tentang hari kiamat di sisi para hamba tidak mempunyai sebarang manfaat buat mereka sama ada untuk agama mahupun dunia, sebaliknya maslahah atau manfaat pada penyembunyian hari kiamat itu daripada mereka telah disembunyikan daripada semua makhluk dan Allah telah memelihara pengetahuan itu hanya untuk diri-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hanya kepada Tuhanmu berakhir segala pencarian maklumat tentangnya.” (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 910).

Selain daripada itu, di antara hadith yang menunjukkan bahawa hari kiamat tidak diketahui oleh sesiapapun melainkan hanya Allah SWT adalah sebagaimana hadith Jibril yang masyhur, dan di dalamnya dinyatakan bahawa Nabi SAW bersabda kepada Jibril AS yang bertanya kepadanya berkenaan hari kiamat:

مَا الْمَسْؤُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ

Maksudnya:Orang yang ditanya tidak lebih tahu mengenainya daripada yang bertanya.

Riwayat Muslim (8)

Keduanya, athar-athar yang dijadikan hujah oleh al-Suyuti ini telah dinilai sebagai lemah oleh para ulama, bahkan ada dalam kalangan mereka yang menilainya sebagai dusta. Ibn al-Qayyim dalam al-Manar al-Munif (1/80) ada menyebutkan, salah satu tanda hadith itu diketahui sebagai palsu adalah jika ia bertentangan dengan al-Quran. Misalnya, hadith hadith yang menyatakan berkenaan tempoh dunia iaitu selama tujuh ribu tahun dan kita kini berada di alaf ketujuh. Ini adalah salah satu pembohongan yang paling jelas. Hal ini kerana jika ia adalah benar, maka semua orang akan tahu bahawa hanya tinggal dua ratus lima puluh satu tahun sahaja lagi sebelum berlakunya hari kiamat dari zaman kita (iaitu zaman Ibn al-Qayyim). Firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّي ۖ لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ ۚ ثَقُلَتْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ لَا تَأْتِيكُمْ إِلَّا بَغْتَةً ۗ يَسْأَلُونَكَ كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنْهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ اللَّهِ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya:Mereka yang mendustakanmu bertanya kepadamu wahai Muhammad tentang hari kiamat, ‘Bilakah ia akan berlaku?’ Katakanlah, ‘Sesungguhnya pengetahuan tentang waktu kiamat itu hanyalah ada dengan Tuhanku. Tiada sesiapa pun yang dapat menerangkan waktu berlakunya hari kiamat melainkan Dia. Kedatangan kiamat itu menyebabkan huru-hara yang amat dahsyat di langit dan di bumi. Ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mendadak.’ Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau benar-benar mengetahuinya. Katakanlah, ‘Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu hanya ada pada Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui perkara ini.’

(Surah al-A‘raf: 187)

Begitu juga Ibn Kathir juga ada menyatakan, tidak sabit mana-mana hadith daripada Nabi SAW bahawa Baginda menetapkan waktu berlakunya kiamat dengan tempoh waktu yang tertentu. Sebaliknya Baginda SAW hanya menyebutkan berkenaan tanda-tanda dan alamat-alamatnya. (Lihat al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim, 1/25).

Selain itu, Ibn Kathir turut menyebutkan, apa yang terdapat dalam kitab-kitab Bani Isra’il dan Ahli Kitab berkenaan penentuan suatu tempoh dunia dengan beberapa alaf dan ratusan tahun, ramai dalam kalangan ulama telah menaskan (menyatakan) bahawa ia adalah suatu kesilapan dan tidak menghairankan bahawa mereka tersilap. Terdapat hadith lain menyatakan:

الدُّنْيَا جُمُعَةٌ مِنْ جَمْعِ الْآخِرَةِ

Maksudnya:Dunia ini adalah salah satu minggu akhirat.”

Sanadnya juga adalah tidak sahih. Demikianlah juga semua hadith yang menyatakan mengenai suatu tempoh waktu khusus untuk hari kiamat adalah tidak sahih sanadnya. (Lihat al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim, 2/28).

Tambahan lagi, al-Sakhawi juga ada menyebutkan bahawa semua hadith atau riwayat yang menyatakan atau menentukan secara khusus waktu kiamat, adalah sama ada tidak ada asal baginya ataupun tidak sabit sanadnya. (Lihat al-Maqasid al-Hasanah, hlm. 444).

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa tiada siapapun mengetahui bilakah waktu berlakunya hari kiamat atau berakhirnya dunia ini melainkan hanya Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran mahupun hadith sahih. Seterusnya, hadith-hadith atau athar-athar yang menyatakan berkenaan suatu tempoh usia atau umur dunia secara khusus pula adalah hadith yang terdapat pertikaian padanya, bahkan sebahagian ulama menilainya sebagai dha‘if (lemah) ataupun dusta.

Lebih-lebih lagi, menurut kajian ahli arkeologi terhadap umur mineral yang tertua di bumi menunjukkan usianya yang lebih jauh daripada itu iaitu sekitar 4 bilion tahun. Ditambah lagi dengan penemuan fosil yang berusia jutaan tahun seperti pada tahun 2009, sekumpulan penyelidik dari Institut Paleontologi Vertebrat dan Paleontropologi China mendakwa telah menjumpai satu fosil ikan terbang yang berusia 240 juta hingga 80 juta tahun.[2] Begitu juga dengan penemuan gigi manusia purba yang dianggarkan berusia 1.8 juta tahun oleh sekumpulan ahli arkeologi di Georgia,[3] dan lain-lain. Kesemua ini menunjukkan bahawa bumi ini bukan setakat berusia 7 ribu tahun, tetapi sebenarnya telah berusia melebihi tempoh tersebut iaitu berbilion-bilion tahun.

Selain itu, pengetahuan berkenaan usia dunia itu mahupun kejahilan mengenainya sedikitpun tidak mengakibatkan seseorang itu mendapat hukuman dan tidak juga memberi kesan ke atas iman orang yang beriman kerana ia bukanlah termasuk dalam perkara-perkara akidah yang dipertanggungjawabkan oleh agama. Justeru, adalah lebih baik untuk tidak terlalu banyak menyibukkan diri membahaskan mengenainya. Apa yang tinggal kepada kita sebagai umat Islam adalah untuk beribadah kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh dan mempersiapkan diri dengan segala amalan-amalan soleh sebagai persediaan kita untuk hari akhirat, mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, di samping terus bekerja dan berusaha menjalani kehidupan di dunia. Rasulullah SAW bersabda:

إِنْ قَامَتِ السَّاعَةُ وَفِي يَدِ أَحَدِكُمْ فَسِيلَةً فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ لَا تَقُومَ حَتَّى يَغْرِسَهَا فَلْيَغْرِسْهَا

Makudnya:Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang dari kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah.

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (479); al-Tayalisi dalam Musnadnya (2068) dan Ahmad Musnadnya (12902).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Usia_Bumi. Diakses pada 3 Julai 2023.

[2] Lihat https://utusantv.com/2022/08/28/berusia-jutaan-tahun-ini-fosil-ikan-terbang-tertua-yang-ditemui/. Diakses pada 4 Julai 2023.

[3] Lihat https://www.utusan.com.my/luar-negara/2022/09/gigi-manusia-purba-berusia-1-8-juta-tahun-ditemukan/. Diakses pada 4 Julai 2023.

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H