#2126: Haiwan Akikah Boleh dengan Goat (Kambing Biasa) atau Mesti Sheep (Biri-Biri)?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Bolehkah haiwan akikah dengan goat (kambing biasa) atau mesti dengan sheep (biri-biri)? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Akikah bermaksud penyembelihan binatang korban sebagai tanda syukur di atas kelahiran anak beserta niat dan syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/276).

Hukum bagi pelaksanaan aqiqah ialah sunat muakkad bagi yang berkemampuan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/426). Asal pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى

Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada akikahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah akikah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya.

Riwayat al-Bukhari (2839)

Pada asasnya haiwan yang boleh untuk dijadikan sebagai akikah adalah sama dengan haiwan yang boleh untuk dijadikan sebagai korban, dari sudut cukup umurnya dan selamat daripada aib serta kecacatan yang mengurangkan daging.

Imam al-Nawawi jelas menyebutkan, haiwan yang sah untuk dijadikan sebagai akikah ialah haiwan yang sah untuk dijadikan sebagai korban. Justeru, tidak sah sebagai akikah kambing biri-biri (ضَأْن) yang kurang usianya daripada jaza‘ah atau daripada kambing (مَعِز), unta dan lembu yang kurang usianya daripada thaniyyah. Inilah pendapat yang sahih lagi masyhur dan ia merupakan pendapat yang telah diputuskan oleh jumhur.  Walau bagaimanapun, terdapat pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i sebagaimana dinukilkan oleh al-Mawardi dan selainnya bahawa sah akikah dengan kambing biri-biri (ضَأْن) yang kurang usianya daripada jaza‘ah atau daripada kambing (مَعِز) yang kurang usianya daripada thaniyyah. Akan tetapi pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i ialah pendapat yang pertama. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/429).

Selain daripada itu, Dr. Muhammad al-Zuhaili juga ada menyebutkan, disyaratkan pada akikah apa yang disyaratkan pada korban iaitu hendaklah dilaksanakan dengan kambing (غَنَم) dan seluruh haiwan ternakan (iaitu kambing, lembu atau unta). Tidak sah untuk dilakukan akikah pada kambing biri-biri (ضَأْن) yang kurang usianya daripada jaza‘ah atau daripada kambing (مَعِز), lembu dan unta yang kurang usianya daripada thaniyyah. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/494).

Selain itu, Ibn Qudamah turut menyatakan, hukum perlaksanaan akikah adalah seperti hukum korban iaitu yang berkaitan dengan hal usia haiwan, tidak boleh diakikahkan daripada haiwan yang cacat sebagaimana ia dilarang pada haiwan korban. Begitu juga dianjurkan dengan haiwan yang sifat-sifatnya sebagaimana yang dianjurkan pada haiwan korban. (Lihat al-Mughni, 13/399).

Dr. Muhammad al-Zuhaili menjelaskan lagi, disyaratkan padanya untuk selamat daripada cacat yang boleh mengurangkan dagingnya. Oleh itu, tidak sah haiwan akikah yang terdapat kecacatannya padanya seperti mana haiwan korban secara sepakat para ulama dan ada kecacatan pada haiwan tersebut yang diperselisihi. Hal ini berdasarkan hadith, daripada al-Barra’ bin Azib RA, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

أَرْبَعٌ لاَ تُجْزِيْ فِي الأَضَاحِي: الْعَوْرَاءُ بَيِّنٌ عَوَرُهَا وَالْمَرِيضَةُ بَيِّنٌ مَرَضُهَا وَالْعَرْجَاءِ بَيِّنٌ عَرَجُهَا وَلاَ الْعَجْفَاءُ الَّتِى لاَ تُنْقِ

Maksudnya:Empat perkara yang menyebabkan binatang tidak sah dijadikan korban ialah binatang yang jelas buta sebelah matanya, penyakit yang nyata, jelas tempangnya, dan terlalu kurus hingga menampakkan tulang.”

Riwayat Abu Dawud (2802), al-Tirmizi (1497), al-Nasaie (4370), Ibn Majah (3144) dan Ahmad (18667).[1]

Seterusnya, diqiyaskan kepada keempat-empat kecacatan tersebut, semua cacat yang menyerupainya dan yang menyebabkan daging haiwan itu kurang. Selain itu, disyaratkan juga untuk berniat ketika menyembelihnya bahawa ia adalah untuk akikah sebagaimana niat untuk berkorban. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/494).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, goat boleh diertikan sebagai kambing biasa atau dalam bahasa Arab ia disebut sebagai ma‘iz (مَعِز). Manakala sheep pula boleh diertikan sebagai kambing biri-biri atau dalam bahasa Arab ia dipanggil sebagai dha’nu (ضَأْن). Selanjutnya kita juga telah mengetahui bahawa disyaratkan bagi haiwan akikah apa yang disyaratkan bagi haiwan korban. Justeru, para ulama telah bersepakat menyatakan bahawa binatang-binatang yang boleh dibuat korban ialah binatang-binatang yang termasuk dalam kategori bahimah al-an‘am (haiwan ternakan) yang diwajibkan zakat iaitu unta, lembu (termasuk kerbau) dan kambing (termasuk biri-biri dan kibasy).

Allah SWT berfirman:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap bahimatul an‘am (binatang ternakan) yang telah direzekikan Allah kepada mereka.

(Surah al-Hajj: 34)

Imam al-Baghawi berkata: Lafaz “بَهِيمَة” (haiwan) diikat dengan lafaz “النَّعَم” (ternakan) kerana ada daripada haiwan yang bukan daripada jenis haiwan ternakan seperti kuda, baghal dan keldai. Oleh itu, tidak boleh menyembelihnya sebagai korban. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/385). 

Binatang ternakan (بَهِيمَة الْأَنْعَام) bermaksud unta, lembu dan kambing (termasuk segala jenis-jenisnya). Ini telah diketahui dan masyhur dalam kalangan orang-orang Arab. Selain itu, ini juga merupakan pendapat al-Hasan, Qatadah dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/9).

Hal ini telah dinukilkan wujudnya ijma‘ (kesepakatan) dalam perkara ini oleh Imam al-Nawawi, Ibn ‘Abd al-Bar, Ibn Hazm dan selainnya. Imam al-Nawawi menyebutkan, syarat sah dalam korban ialah haiwan korban hendaklah berasal daripada haiwan ternakan iaitu unta, lembu dan kambing. Termasuk juga pelbagai jenis unta, semua jenis lembu dan semua jenis kambing iaitu kibasy, ma‘iz (kambing jantan) dan sejenisnya. Manakala selain haiwan ternakan seperti rusa dan keldai adalah tidak sah sebagai haiwan korban, sama ada daripada yang jantan mahupun yang betina – tanpa ada perselisihan ulama. – Tidak ada khilaf sama sekali mengenai hal ini menurut kami. Selain itu, hasil daripada percampuran (perkahwinan) antara rusa dan kambing juga tidaklah sah sebagai haiwan korban kerana ia tidak termasuk dalam kategori haiwan ternakan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/365).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan dan kenyataan di atas, akikah boleh dan sah dilakukan dengan semua jenis kambing termasuklah goat (kambing biasa) mahupun sheep (kambing biri-biri), dengan syarat ia memenuhi syarat-syarat sebagai haiwan akikah dan korban dari segi umur dan selamat daripada kecacatan yang mengurangkan dagingnya. Hal ini kerana kedua-duanya termasuk dalam jenis-jenis kambing dan haiwan ternakan.

Mengikut pengalaman kami ketika berada di kota suci makkah dan melihat tempat sembelihan korban sama ada di Mina atau tempat yang lain, kami dapati pelbagai jenis kambing yang dibuat korban seperti shah (شاة), ghanam (غنم), kabsyun (كبش), ma’iz (معز), dha’n (ضأن) dan beberapa jenis lagi. Bagi mendapatkan pengenalan lebih, kami zahirkan di sini beberapa gambar:

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Abd al-Haq al-Isybili dalam al-Ahkam al-Sughra (776) mengisyaratkan dalam muqaddimahnya bahawa sanad hadith ini adalah sahih.

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H