#2128: Satu Aqiqah Tetapi Pada Tahun Berbeza

Soalan:

Jika seseorang mendapat bayi lelaki, bolehkah dia buat aqiqah seekor kambing dahulu pada hari ketujuh? Kemudian pada tahun depan, dia buat pula seekor kambing lagi, bagi mencukupkan dua ekor.

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Aqiqah dan Hukum Melakukannya

Aqiqah bermaksud penyembelihan binatang korban sebagai tanda syukur di atas kelahiran anak beserta niat dan syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/276)

Hukum bagi pelaksanaan aqiqah ialah sunat muakkad bagi yang berkemampuan (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/426). Asal pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى

Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya.”

 Riwayat al-Bukhari (2839)

Ia sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi tersebut di samping memberikan nama yang baik dan juga mencukur rambut bayi tersebut. Ini berdasarkan sabda Baginda SAW daripada Samurah RA:

الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Penyembelihan aqiqah dilakukan pada hari yang ketujuh selepas kelahirannya, dalam masa yang sama diberikan nama dan dicukur rambutnya.”

Riwayat Abu Daud (1522)

 

Berdasarkan hadis di atas, penetapan hari ketujuh merupakan hari yang disunatkan sahaja. Sekiranya ada pihak yang ingin melakukan sebelum hari ketujuh ataupun selepasnya, pahala aqiqah tetap dikira di sisi mazhab Syafieyyah. (Lihat al-Majmu’, 8/431)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan Nabi SAW telah bersabda:

 عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ

Maksudnya: Hendaklah seorang anak lelaki ditebus dengan dua ekor kambing yang sama umur, manakala anak perempuan pula dengan seekor kambing.

                                                                   Riwayat Tirmidzi (1513) 

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan bahawa sembelihan dua ekor kambing itu mestilah dibuat bersekali dan tidak boleh ditangguh salah satunya. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 9/592)

Adapun jika tidak mampu, maka hal itu dibolehkan, berdasarkan hadith Baginda SAW:

فَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَىْءٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَىْءٍ فَدَعُوهُ

Maksudnya: Apabila aku memerintahkan kamu akan satu perkara, maka laksanakanlah ia semampu mungkin. Dan apabila aku melarang suatu perkara, maka hendaklah kamu jauhinya.

Sahih al-Bukhari (7288) dan Sahih Muslim (1337)

 

Oleh itu, berdasarkan hadith di atas, dapat kita simpulkan bahawa pada asalnya ia mestilah dilakukan bersama. Namun demikian, sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk melakukan sedemikian, maka tidak menjadi masalah untuk mengasingkannya, akan tetapi kurang afdhal.

Kami berpendapat alangkah baiknya dibuat 2 ekor bagi anak lelaki tetapi jika tidak mampu maka memadai seekor. Justeru, ia sudah terangkat dengan seekor yang telah dilakukan. Adapun, kambing kedua yang diaqiqahkan untuk tahun berikutnya kami menganggap khilaf aula yang tidak perlu dan lebih baik tidak perlu kecuali untuk jamuan kesyukuran. Ini kerana, mendatangkan wasangka atau kekeliruan kepada tetamu sama ada anak baru atau anak yang sama untuk diaqiqahkannya. 

Berkenaan aqiqah ini, saudara juga boleh merujuk kepada perbahasan sebelum ini:

#392: Aqiqah Bayi Lelaki Seekor Kambing[1]

#448: Berhutang Untuk Melakukan Aqiqah[2]

#1859: Haiwan Korban dan Aqiqah Yang Terpatah Tanduk[3]

Semoga penjelasan ini memberi kefahaman kepada kita semua dalam melakukan ibadat menurut konsep syariah Islam yang sebenar. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam.

[1] https://maktabahalbakri.com/aqiqah-bayi-lelaki-seekor-kambing/#_ftn5

 [2] https://maktabahalbakri.com/berhutang-untuk-melakukan-aqiqah-2/

[3] https://maktabahalbakri.com/1859-haiwan-korban-dan-aqiqah-yang-terpatah-tanduk/

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H