#2129: Zulqarnain Seorang Nabi?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah Zulqarnain seperti yang diceritakan dalam al-Quran itu seorang Nabi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkataan ‘ذُو الْقَرْنَيْن’ terdiri daripada dua suku kata iaitu ‘ذُو’ dan ‘القَرْنَيْن’. Dzu bermaksud (orang) yang mempunyai, manakala al-qarnain merupakan bentuk muthanna daripada perkataan ‘قرن’ yang secara harfiahnya bermaksud tanduk, kurun, abad, masa dan generasi.

Menurut Ibn Kathir, Allah SWT memberikan kepada Zulqarnain kerajaan yang besar dan segala sesuatu yang dimiliki oleh seorang raja seperti kekuasaan, tentera, peralatan perang dan kelengkapan yang mencukupi. Dengannya, beliau dapat menguasai dunia sama ada di bahagian timur mahupun barat. Beliau berjaya menakluk pelbagai negeri dan menundukkan pemerintah lain. Sehinggalah semua orang berkhidmat di bawah kerajaannya. Disebabkan itu, sebahagian ulama’ berpendapat bahawa sebab beliau  digelar dengan Dzulqarnain kerana kekuasaannya meliputi tempat terbit dan terbenamnya matahari iaitu timur dan barat. (Lihat Taisir al-Manan fi Qisas al-Quran, hlm. 419).

Zulqarnain seorang raja yang soleh, dikurniakan Allah sebuah kerajaan yang teguh di bumi ini. Dia juga dikurniakan petunjuk, ilmu pengetahuan, kebijaksanaan dan keperluan yang membolehkannya memerintah negara dengan baik dan adil. Beliau hidup sezaman dengan nabi Ibrahim dan dia pernah bertemu denagn nabi Ibrahim di Palestin dan di Baitullah, Makkah al-Mukarramah. (Lihat Zu al-Qarnain oleh Muhammad Khair Ramadhan Yusuf, hlm. 91)

Sayyid Qutb menukilkan daripada Abu al-Raihan al-Biruni al-Munajjim dalam kitabnya, al-Athar al-Baqiah ‘an al-Qurun al-Khaliah menyebut: Zulqarnain yang disebut di dalam al-Quran itu adalah dari suku kaum Himyar yang dapat dikenali daripada namanya, kerana raja-raja Himyar selalu digelar dengan ‘Zu’, seperti Zu Nuas dan Zu Yazin. Namanya yang sebenar ialah Abu Bakar bin Afriqasy (أَبُوْ بَكْر بنِ أَفْرِيْقَشْ). Baginda telah mengembara dengan angkatan bala tenteranya ke pantai Lautan Mediterranian dan melintas negeri-negeri Tunisa, Morocco dan lain-lain, dan baginda telah membangunkan bandar Afrika dan kemudian seluruh benua itu dinamakan dengan nama baginda. Baginda digelarkan dengan Zu al-Qarnain (Yang Menjelajah Dua Tanduk Matahari iaitu garisan bulatan matahari di permulaan terbit yang kelihatan seakan-akan tanduk), kerana baginda telah mengembara hingga sampai ke kawasan dua tanduk matahari. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 6/2289)

 

Pendapat-Pendapat Berkenaan Siapakah Zulqarnain

Terdapat beberapa versi dan pandangan mengenai siapakah sebenarnya Zulqarnain, iaitu:

  • Pendapat yang menyatakan bahawa beliau adalah seorang raja Himyar, yang memerintah dari 300 hingga 320 sebelum Masihi. Beliau dikhabarkan telah berjaya menakluki kuasa besar di zaman itu, iaitu negara Parsi. Pendapat ini disokong oleh ramai ahli tafsir seperti al-Mas’udi, al-Tha’labi, Muhammad Farid Wajdi dan ramai lagi. (Lihat Zu al-Qarnain oleh Muhammad Khair Ramadhan Yusuf, hlm. 260)
  • Pendapat yang menyatakan bahawa Zulqarnain adalah merupakan Raja Kurush, iaitu Raja Parsi yang memerintah selama tiga puluh tahun antara tahun 529 hingga sebelum masihi, iaitu kira-kira 300 tahun sebelum masa Alexander The Great, Cyrus. Nama sebenar Zulqarnain adalah Kurush dalam bahasa Parsi, Khurus mengikut nama yang diberikan oleh bangsa Yahudi, Qurush gelaran nama mengikut bangsa Arab, manakala bangsa Yunani menggelarkannya sebagai Sa’iris. (Lihat Ma’a Qisas al-Sabiqin Fi al-Quran: Durus fi al-Iman wa al-Da’wat wa al-Jihad oleh Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi, hlm. 261-263)
  • Pendapat lain mengatakan bahawa Zulqarnain pernah mengikuti ajaran Nabi Musa A.S. Beliau pernah mengembara ke seluruh pelusuk dunia, timur dan barat sampai ke Cina, dan sehinggalah beliau menyumbang kepada pembuatan kertas, di mana pada zaman itu, kertas hanya ada di Mesir dan diperbuat daripada papyrus (paper).
  • Pendapat lain menyatakan bahawa Zulqarnain adalah Iskandar yang berasal dari Macedonia dan dilahirkan pada 356 sebelum Masihi. Dalam tempoh sepuluh tahun, beliau berjaya menakluk beberapa buah kerajaan yang berperang sesama sendiri dan diletakkan di bawah jajahan takluknya. Mengikut sejarah, beliau juga pernah melalui dan singgah di Babylon di Iraq. Di sana, beliau tiba-tiba jatuh sakit diserang demam panas selama sebelas hari, dan kemudiannya meninggal dunia di situ pada tahun 323 sebelum Masihi, ketika umurnya menjangkau 33 tahun. (Lihat Zu al-Qarnain oleh Muhammad Khair Ramadhan Yusuf, hlm. 259) Namun, pendapat ini tidak dapat dijadikan bukti kukuh bahawa beliaulah Zulqarnain yang dimaksudkan. (Lihat Wacana Cerita dalam al-Quran: Satu Kajian dalam Surah al-Kahf, hlm. 217)

Walau apa pun huraian di atas, Iskandar Zulqarnain bukanlah Alexander The Great seperti yang dipopularkan oleh Barat melalui filem ataupun sumber penulisan daripada negara Barat. Ini mengingatkan kita kepada sebuah filem tentang Alexander The Great yang diarahkan oleh Oliver Stones, yang mendakwa Alexander The Great adalah Iskandar Zulqarnain. Ini adalah kerana terdapat perbezaan ketara antara keduanya. Alexander The Great adalah anak kepada Raja Philips II yang memerintah Macedonia. Setelah bapanya terbunuh, beliau menjadi raja dan seterusnya memulakan penaklukan dengan memusnahkan Empayar Parsi di bawah pemerintahan Darius.

Alexander The Great dari Macedonia merupakan pemimpin yang menyembah berhala, melakukan penjajahan dengan pelbagai cara kekerasan, merampas dan merosakkan harta benda dengan kekerasan di samping memiliki sifat-sifat yang buruk, antaranya mempunyai keinginan sesama jantina (gay) dan yang paling ketara, beliau tidak membina tembok yang menghalang Yakjuj dan Makjuj daripada menyeberangi sempadan sebagaimana yang dinyatakan dalam surah al-Kahf. (Lihat Wacana Cerita dalam al-Quran: Satu Kajian dalam Surah al-Kahf, hlm. 217-218)

 

Pandangan al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (17/265) menyebut:

Imam al-Bukhari telah memetik kisah Zulqarnain sebelum kisah Ibrahim dan ia merupakan isyarat untuk melemahkan pendapat mereka yang mengatakan bahawa Zulqarnain yang dimaksudkan adalah Iskandar (Alexander) yang berbangsa Yunani. Kerana Iskandar dekat dengan zaman Isa AS, dan antara zaman Ibrahim dan Isa adalah lebih daripada 2000 tahun.

Menurut saya (Ibn Hajar), pendapat yang lebih tepat adalah bahawa Iskandar Yunani digelar dengan Zulqarnain kerana diserupakan dengan Zulqarnain yang terdahulu. Hal ini disebabkan keduanya memiliki persamaan dari segi luasnya kerajaan dan banyak menguasai negeri-negeri. Atau kerana ketika Iskandar menguasai Parsi dan membunuh rajanya, maka dia menguasai dua kerajaan yang luas, iaitu Rom dan Parsi. Atas dasar itulah dia digelar dengan Zulqarnain.

Pandangan yang tepat, bahawa apa yang dikisahkan oleh Allah dalam al-Quran, dialah Zulqarnain yang terdahulu daripada keduanya. Perbezaan antara keduanya dapat ditinjau berdasarkan beberapa faktor.

Pertama, apa yang telah saya sebutkan. Dalil yang menunjukkan bahawa Zulqarnain yang dikisahkan dalam al-Quran adalah Zulqarnain yang terdahulu adalah apa yang dipetik oleh al-Fakihi daripada Ubaid bin Umair (salah seorang tokoh dalam kalangan tabi’in) bahawa Zulqarnain menunaikan haji sambil berjalan kali. Lalu didengar oleh Ibrahim AS dan beliau pun menyambutnya. Kemudian dari jalur ‘Atha’, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Zulqarnain masuk ke Masjid al-Haram lalu memberi salam kepada Ibrahim dan menjabat tangannya. Dikatakan bahawa dia adalah orang pertama yang menjabat tangannya. Sementara dari jalur Uthman bin Saj, disebutkan bahawa Zulqarnain meminta kepada Ibrahim AS agar berdoa untuknya. Maka Ibrahim AS berkata, “Bagaimana (aku berdoa untukmu) sementara kamu semua telah merosakkan telagaku.” Zulqarnain berkata, “Sesungguhnya yang demikian itu bukan atas perintahku.” Yakni, sebahagian tentera melakukan hal itu tanpa pengetahuanku.

Ibn Hisyam menyebut dalam kitab al-Tijan bahawa Ibrahim mengajukan sengketa kepada Zulqarnain mengenai suatu urusan, dan Zulqarnain memberi keputusan yang memenangkan Ibrahim. Ibn Abi Hatim meriwayatkan daripada jalur Ali bin Ahmad, bahawa Zulqarnain datang ke Makkah dan mendapati Ibrahim serta Isma’il membangunkan Ka’bah. Dia meminta penjelasan kedua mereka tentang hal itu. Keduanya berkata, “Kami adalah dua hamba yang diperintah.” Zulqarnain berkata, “Siapakah yang menjadi saksi untuk kamu berdua?” Maka berdirilah lima Akbasy memberi persaksian. Zulqarnain berkata, “Kamu berdua benar.” Ibn Abi Hatim berkata, “Aku mengira Akbasy yang dimaksudkan adalah batu. Tetapi ada juga kemungkinan yang dimaksudkan adalah kambing biri-biri.” Athar di atas saling menguatkan satu sama lain, dan menunjukkan bahawa Zulqarnain yang disebutkan dalam al-Quran bukan Iskandar (Alexander).

Kedua, Fakhrurrazi berkata dalam tafsirnya, “Zulqarnain adalah seorang nabi, sedangkan Iskandar (Alexander) seorang kafir. Gurunya adalah Aristotles dan dia mendengar perintahnya, sedangkan Aristotles adalah kafir.”

Ketiga, Zulqarnain termasuk bangsa Arab, manakala Iskandar (Alexander) berasal dari Yunani. Orang-orang Arab seluruhnya berasal daripada keturunan Sam bin Nuh (menurut kesepakatan), meskipun berlaku perselisihan apakah mereka semuanya berasal daripada keturunan Ismail atau tidak. Adapun bangsa Yunani berasal daripada keturunan Yabis bin Nuh (menurut pendapat yang kuat), maka di sini ada perbezaan.

Alasan mereka yang berpendapat bahwa Zulqarnain adalah Iskandar (Alexander) adalah riwayat yang dinukilkan oleh al-Tabari dan Muhammad bin Rabi’ al-Jizi dalam kitab al-Sahabah Allazina Nazalu Misr, dengan sanad terdapat di dalamnya Ibn Lahi’ah, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Nabi SAW tentang Zulqarnain, maka Baginda SAW bersabda, “Dia berasal dari Rom. Dia diberi kekuasaan sampai ke Mesir dan mendirikan kita Iskandariah (Alexander). Ketika selesai, dia didatangi oleh malaikat lalu dinaikkan. Malaikat itu berkata, “Lihatlah apa di bawahmu.” Dia berkata, “Aku melihat satu kota.” Malaikat berkata, “Itu adalah bumi seluruhnya, hanya saja Allah berkehendak memperlihatkan kepadamu dan telah memberikan kekuasaan untukmu di bumi. Berjalanlah padanya dan ajarkanlah orang yang bodoh serta kukuhkan orang yang berilmu.” Seandainya riwayat ini benar akan dapat menghapus perbezaan, tetapi darjatnya lemah. (Lihat Fath al-Bari, 17/287)

Status Hadith Berkenaan Zulqarnain

Terdapat hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا أَدْرِي ذُو الْقَرْنَيْنِ كَانَ نَبِيًّا أَوْ لَا

Maksudnya: “Tidak aku ketahui adakah Zulqarnain itu Nabi ataupun tidak.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (2174) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (17595).

Pandangan ulama’ tentang status hadith ini:

Hadith ini diriwayatkan oleh al-Hakim dan al-Baihaqi daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَا أَدْرِي أَتُبَّعٌ أَنَبِيّاً كانَ أَمْ لاَ ، وَمَا أَدْرِي ذَا الْقَرْنَيْنِ أَنَبِيّاً كانَ أَمْ لاَ ، وَمَا أَدْرِي الحُدُودُ كَفَّارَاتٌ لأَهْلِهَا أَمْ لاَ

Maksudnya: “Aku tidak tahu secara pasti, apakah Tubba’ itu seorang nabi atau bukan. Aku juga tidak tahu secara pasti, apakah Zulqarnain itu seorang nabi atau bukan. Aku juga tidak tahu secara pasti apakah hudud itu menghapus dosa atau tidak.”

Imam al-Bukhari dan selainnya telah menyatakan illah (kecacatan) pada hadith ini. Imam al-Bukhari telah berkata: Abdullah bin Muhammad telah berkata kepadaku, Hisyam menyampaikan kepadaku, katanya: Ma’mar menyampaikan kepadaku, daripada Ibn Abi Zi’b, daripada al-Zuhri, bahawa Rasulullah SAW bersabda: ‘”مَا أَدْرِي أَعُزَيزٌ نَبِيًّا كَانَ أَمْ لَا، وَتُبَّعٌ لَعِينًا كَانَ أَمْ لَا، وَالحُدُوْدُ كَفَّارَاتٌ لِأَهْلِهَا أَمْ لَا’

Abd al-Razzaq berkata, daripada Ma’mar, daripada Ibn Abi Zi’b, daripada Sa’id, daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW.

Yang pertama lebih sahih (yakni mursal), dan tidak thabit hadith ini daripada Nabi SAW, kerana Nabi SAW bersabda: ‘الحدود كفارة’ (Lihat al-Tarikh al-Kabir, 1/153)

Al-Daraqutni berkata: “Abd al-Razzaq menyendiri dalam meriwayatkannya. Dan selainnya meriwayatkannya secara mursal.” (Lihat al-Fath al-Samawi oleh al-Munawi, 3/988. Lihat juga Atraf al-Ghara’ib, 5/198)

Hadith ini turut disebut oleh Ibn Asakir dalam Tarikh Dimasyq (17/337) dan Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (2/537). Al-Zahabi berkata: “Hadith ini sahih mengikut syarat al-Syaikhain, tetapi kedua-duanya tidak mengeluarkannya.” Hadith ini dinilai sebagai sahih dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (2217) dan Sahih al-Jami’ (5524).

Adakah Zulqarnain dalam al-Quran adalah Seorang Nabi?

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar, terdapat perbezaan pandangan berkaitan kedudukan dan status Zulqarnain:

  • Menurut sebahagian ulama’, dia adalah seorang nabi.
  • Sebahagian yang lain berpendapat bahawa Zulqarnain adalah seorang malaikat.
  • Pendapat lain mengatakan bahawa Zulqarnain termasuk seorang raja, dan inilah pandangan kebanyakan ulama’.

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: Pendapat yang mengatakan bahawa dia adalah seorang Nabi adalah merupakan satu pendapat yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bin al-As dan inilah makna zahir al-Quran. Al-Hakim meriwayatkan daripada hadith Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW bersabda: “Aku tidak tahu, apakah Zulqarnain seorang nabi atau bukan.” Wahab menyebut dalam kitab al-Mubtada’ bahawa dia adalah seorang hamba yang soleh dan Allah mengutusnya pada empat umat; dua umat di antaranya menempati garis horizontal bumi dan dua umat lagi menempati garis vertikal bumi. Dia seorang ahli ibadah. Kemudian disebutkan kisah panjang yang dinukilkan oleh al-Tha’labi dalam kitab tafsirnya.

Al-Zubair berkata pada bahagian awal kitab al-Nasab, “Ibrahim bin Munzir menceritakan kepada kami, daripada Abd al-Aziz bin Imran, daripada Hisyam bin Sa’ad, daripada Sa’id bin Abu Hilal, daripada al-Qasim bin Abu Bazzah, daripada Abu al-Tufail, aku mendengar Ibn al-Kawwa berkata kepada Ali bin Abi Talib, “Khabarkan kepadaku keadaan Zulqarnain.” Ali R.A menjawab, “Dia adalah seorang lelaki yang mencintai Allah, maka Allah mencintainya. Allah mengutusnya kepada kaumnya dan mereka memukulnya di atas tanduknya dengan satu pukulan hingga dia meninggal dunia dengan sebab itu. Kemudian Allah membangkitkan kepada mereka dan mereka pun memukulnya pada tanduknya hingga meninggal. Kemudian Allah membangkitkannya, maka dia dinamakan Zulqarnain.” Namun ‘Abd al-Aziz adalah seorang periwayat yang lemah, hanya sahaja riwayat ini dinukilkan juga oleh periwayat lain daripada Abu Tufail. Sufyan bin ‘Uyainah meriwayatkan dalam kitabnya al-Jami’, daripada Ibn Abi Husain, daripada Abu Tufail seperti di atas disertai tambahan, “Dia memberi nasihat untuk Allah, maka Allah pun menasihatinya.”

Dalam riwayat ini, ditegaskan bahawa Zulqarnain bukan seorang nabi dan bukan pula seorang raja. Sanad riwayatnya sahih. Kami telah mendengarnya dalam hadith-hadith pilihan oleh al-Hafiz al-Dhiya’. Hanya sahaja ditinjau dari segi kandungan, terdapat sedikit kekeliruan. Kerana kalimat, “Bukan seorang nabi,” agak bertentangan dengan kalimat, “Allah mengutusnya kepada kaumnya.” Kecuali jika pengutusan di sini difahami bukan dalam konteks membawa risalah kenabian.

Sebahagian berpendapat bahawa Zulqarnain adalah seorang malaikat. Pandangan ini diceritakan oleh al-Tha’labi. Diriwayatkan daripada Umar, bahawa dia mendengar seorang lelaki berkata, “Wahai Zulqarnain.” Maka dia berkata, “Engkau menamakannya dengan nama-nama malaikat?”

Al-Jahiz meriwayatkan dalam kitabnya al-Hayawan, bahawa ibu Zulqarnain berasal daripada anak perempuan Adam, sedangkan bapanya berasal dari Malaikat. Adapun nama bapanya adalah Faira dan nama ibunya adalah Ghaira.

Pendapat lain menyatakan bahawa Zulqarnain termasuk seorang raja, dan inilah pandangan kebanyakan ulama’. Dalam hadith ‘Ali terdahulu, terdapat keterangan yang menunjukkan hal itu. (Lihat Fath al-Bari, 17/289)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT telah menyebut Zulqarnain ini dan memujinya dengan keadilan, dan bahawa dia telah sampai ke timur dan barat, dan dia menundukkan raja-raja di wilayah-wilayah serta rakyat mereka. Dia berjalan di antara mereka dengan keadilan yang sempurna, dan dia mempunyai kekuasaan yang unggul, yang sentiasa beroleh kemenangan. Yang benar adalah, dia merupakan salah seorang Raja yang adil. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 2/122)

Syeikh Ibn Uthaimin berkata: Beliau (Zulqarnain) adalah seorang Raja yang soleh, yang hidup pada zaman al-Khalil Ibrahim A.S. Dikatakan bahawa Zulqarnain pernah melakukan tawaf bersama Nabi Ibrahim A.S di Baitullah al-Haram. Wallahu a’lam. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 4/60)

Syeikh Abdul Aziz bin Baz pernah ditanya mengenai Zulqarnain yang disebut dalam al-Quran, adakah dia seorang Nabi?

Maka jawab Syeikh Abdul Aziz bin Baz: Pendapat yang lebih rajih (kuat) adalah bahawa Zulqarnain itu seorang Nabi. Inilah pendapat yang lebih kuat. Sebahagian ulama memang mengatakan bahawa Zulqarnain adalah orang yang soleh dan raja yang soleh. Namun zahir daripada ayat-ayat al-Quran al-Karim menunjukkan bahawa dia adalah seorang Nabi. Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman:

وَيَسْأَلُونَكَ عَن ذِي الْقَرْنَيْنِ ۖ قُلْ سَأَتْلُو عَلَيْكُم مِّنْهُ ذِكْرًا ‎﴿٨٣﴾ إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِن كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya”: Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.”

(Surah al-Kahfi: 83-84)

Hingga akhir kisah. Maka daripada zahir konteks ayat-ayat ini, menunjukkan bahawa dia adalah seorang Nabi yang menerima perintah-perintah daripada Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Kahfi:

وَيَسْأَلُونَكَ عَن ذِي الْقَرْنَيْنِ ۖ قُلْ سَأَتْلُو عَلَيْكُم مِّنْهُ ذِكْرًا ‎﴿٨٣﴾ إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِن كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا ‎﴿٨٤﴾‏ فَأَتْبَعَ سَبَبًا ‎﴿٨٥﴾‏ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ مَغْرِبَ الشَّمْسِ وَجَدَهَا تَغْرُبُ فِي عَيْنٍ حَمِئَةٍ وَوَجَدَ عِندَهَا قَوْمًا ۗ قُلْنَا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِمَّا أَن تُعَذِّبَ وَإِمَّا أَن تَتَّخِذَ فِيهِمْ حُسْنًا ‎﴿٨٦﴾‏ قَالَ أَمَّا مَن ظَلَمَ فَسَوْفَ نُعَذِّبُهُ ثُمَّ يُرَدُّ إِلَىٰ رَبِّهِ فَيُعَذِّبُهُ عَذَابًا نُّكْرًا ‎﴿٨٧﴾‏ وَأَمَّا مَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَلَهُ جَزَاءً الْحُسْنَىٰ ۖ وَسَنَقُولُ لَهُ مِنْ أَمْرِنَا يُسْرًا ‎﴿٨٨﴾‏ ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا ‎﴿٨٩﴾‏ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ مَطْلِعَ الشَّمْسِ وَجَدَهَا تَطْلُعُ عَلَىٰ قَوْمٍ لَّمْ نَجْعَل لَّهُم مِّن دُونِهَا سِتْرًا ‎﴿٩٠﴾‏ كَذَٰلِكَ وَقَدْ أَحَطْنَا بِمَا لَدَيْهِ خُبْرًا ‎﴿٩١﴾‏ ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا ‎﴿٩٢﴾‏ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ بَيْنَ السَّدَّيْنِ وَجَدَ مِن دُونِهِمَا قَوْمًا لَّا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلًا ‎﴿٩٣﴾‏ قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا ‎﴿٩٤﴾‏ قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا ‎﴿٩٥﴾‏ آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ ۖ حَتَّىٰ إِذَا سَاوَىٰ بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انفُخُوا ۖ حَتَّىٰ إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا ‎﴿٩٦﴾‏ فَمَا اسْطَاعُوا أَن يَظْهَرُوهُ وَمَا اسْتَطَاعُوا لَهُ نَقْبًا ‎﴿٩٧﴾‏ قَالَ هَٰذَا رَحْمَةٌ مِّن رَّبِّي ۖ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ رَبِّي جَعَلَهُ دَكَّاءَ ۖ وَكَانَ وَعْدُ رَبِّي حَقًّا ‎﴿٩٨﴾

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya”: Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya. Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya). Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): “Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka”. Ia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati”. Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya. Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya. kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan. Mereka berkata: “wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?” Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, ddia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”. Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya. (Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar.”

(Surah al-Kahfi: 83-98)

Daripada ayat-ayat ini, secara zahirnya difahami bahawa semua itu daripada Allah SWT, konteksnya menunjukkan bahawa Zulqarnain menerima perintah-perintah dan petunjuk-petunjuk tersebut daripada Allah SWT. Dan ini adalah ciri seorang Nabi. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb)

Penutup

Oleh kerana kisah ini kisah terdahulu, maka kita hanya menukilkan pandangan ulama yang terdahulu yang telah menulis dan mengkaji isu ini. Berdasarkan dapatan kami, kami cenderung menyatakan yang pasti beliau adalah seorang raja dan isu kenabiannya adalah khilaf di kalangan ulama. Justeru, kami katakan jika yang dimaksudkan Zulqarnain itu seperti yang dinyatakan dalam surah al-Kahfi, maka kami katakan Zulqarnain tersebut adalah seorang raja dan juga nabi. Wallahu a’lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.” 

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H