#2130: Kisah Nabi Danial

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan berkenaan Nabi Danial?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ramai dalam kalangan ahli sarjana sejarah dan biografi telah menyatakan bahawa Nabi Danial A.S adalah salah seorang Nabi daripada kalangan Bani Israil. Baginda hidup pada zaman Nebukadnezar yang telah memusnahkan Bait al-Maqdis, membunuh ramai orang dalam kalangan Bani Israel, dan membakar kitab Taurat.

Diceritakan bahawa Nabi Danial telah mengkhabarkan akan kedatangan Nabi Muhammad SAW. Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah berkata: “Nabi Danial A.S berkata: ‘Dan dia menyebutkan Nabi Muhammad SAW dengan namanya, dia berkata: “Engkau akan menarik panah di belakangmu dalam keadaan tercelup, dan anak panah akan puas dengan perintahmu, wahai Muhammad, sebagai kepuasan.” Ini adalah pernyataan yang jelas, tanpa pengeliruan, dan merupakan pembetulan tanpa cacat.”

Kemudian Syeikh al-Islam menyebut dua perkara yang mana Nabi Danial menyebutkan berkenaan kedatangan al-Masih Isa A.S dan Nabi Muhammad SAW, lalu dia berkata: “Ini adalah bukti kenabian Nabi Danial yang mengetahui berkenaan berita gembira tentang al-Masih Isa A.S dan kedatangan Nabi Muhammad SAW, yang mana terdapat penerangan terperinci tentang sifat Nabi Muhammad dan umat baginda, yang akan mengambil masa terlalu lama untuk disifatkannya. Umat ​​Islam membacanya ketika mereka menakluki Iraq, sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama, termasuk Abu al-‘Aliyah.” (Lihat al-Jawab al-Sahih, 5/275-281)

Kisah Saidina Umar R.A mengarahkan Supaya Nabi Danial di kebumikan

Telah masyhur kisah bahawa ketika orang Islam menakluki Tustar, mereka berjumpa dengan jasad Nabi Danial A.S, dan Amir al-Mukminin ‘Umar R.A mengarahkan para Sahabat untuk menguburkannya semula dan menyembunyikan lokasi kuburnya daripada orang ramai supaya tidak menjadi punca fitnah dan kekeliruan.

Ibn Abi’ al-Dunya meriwayatkan dengan sanad yang hasan –sebagaimana yang dikatakan dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, daripada Abu al-Zinad, katanya:

رَأَيْتُ فِي يَدِ أَبِي بُرْدَةَ بْنِ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ خَاتَمًا، نَقْشُ فَصِّهِ أَسَدَانِ بَيْنَهُمَا رَجُلٌ يَلْحَسَانِ ذَلِكَ الرَّجُلَ، قَالَ أَبُو بُرْدَة: هَذَا خَاتَمُ ذَلِكَ الرَّجُلِ الْمَيِّتِ الَّذِي زَعَمَ أَهْلُ هَذِهِ الْبَلْدَةِ أَنَّهُ دَانْيَالُ، أَخَذَهُ أَبُو مُوسَى يَوْمَ دَفَنَهُ. قَالَ أَبُو بُرْدَةَ: فَسَأَلَ أَبُو مُوسَى عُلَمَاءَ تِلْكَ الْقَرْيَةِ عَنْ نَقْشِ ذَلِكَ الْخَاتَمِ، فَقَالُوا: إِنَّ الْمَلِكَ الَّذِي كَانَ دَانْيَالُ فِي سُلْطَانِهِ جَاءَهُ الْمُنَجِّمُونَ وَأَصْحَابُ الْعِلْمِ، فَقَالُوا لَهُ: إِنَّهُ يُولَدُ لَيْلَةَ كَذَا وَكَذَا غُلَامٌ يعورُ مُلْكَكَ وَيُفْسِدُهُ. فَقَالَ الْمَلِكُ: وَاللَّهِ لَا يَبْقَى تِلْكَ اللَّيْلَةَ غُلَامٌ إِلَّا قَتَلْتُهُ. إِلَّا أَنَّهُمْ أَخَذُوا دَانْيَالَ فَأَلْقَوْهُ فِي أَجَمَةِ الْأَسَدِ، فَبَاتَ الْأَسَدُ وَلَبْوَتُهُ يَلْحَسَانِهِ، وَلَمْ يَضُرَّاهُ، فَجَاءَتْ أُمُّهُ فَوَجَدَتْهُمَا يَلْحَسَانِهِ، فَنَجَّاهُ اللَّهُ بِذَلِكَ حَتَّى بَلَغَ مَا بَلَغَ. قَالَ أَبُو بُرْدَةَ: قَالَ أَبُو مُوسَى: قَالَ عُلَمَاءُ تِلْكَ الْقَرْيَةِ: فَنَقَشَ دَانْيَالُ صُورَتَهُ وَصُورَةَ الْأَسَدَيْنِ يَلْحَسَانِهِ فِي فَصِّ خَاتَمِهِ ; لِئَلَّا يَنْسَى نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْهِ فِي ذَلِكَ 

Maksudnya: “Aku pernah melihat di tangan Abi Burdah bin Abu Musa al-Asy’ari terdapat sebuah cincin, yang pada mata cincinya diukir gambar seorang lelaki di antara dua singa yang sedang menjilati orang tersebut.” Abu Burdah berkata: “Cincin tersebut adalah milik orang yang sudah menjadi mayat itu, yang penduduk negeri ini mendakwa dan menganggapnya sebagai Danial. Kemudian, Abu Musa mengambil cincin itu pada saat pemakamannya.” Abu Burdah mengatakan: “Kemudian, Abu Musa RA bertanya kepada ulama negeri tersebut mengenai pelukisan cincin tersebut?” Maka, mereka menjawab: “Sesungguhnya, raja yang Danial berada dalam penguasaannya pernah didatangi oleh ahli nujum, lalu mereka berkata kepada raja tersebut:”Sesungguhnya, pada malam sekian dan sekian dilahirkan seorang anak lelaki yang akan merosakkan dan menghancurkan kerajaanmu.” Raja itu berkata: “Demi Allah, tidak ada bayi lelaki pada malam tersebut kecuali aku akan membunuhnya.” Hanya saja mereka menangkap Danial, lalu mereka melemparkannya ke dalam kumpulan singa. Dan ternyata singa itu menjilatinya dan tidak membahayakannya. Kemudian, ibunya datang, lalu dia mendapati kedua singa itu menjilatinya. Sehingga dengan demikian, Allah menyelamatkannya melalui hal tersebut.” Abu Burdah menceritakan, Abu Musa berkata: Para ulama negeri tersebut berkata: “Maka, Danial mengukir gambarnya dan gambar kedua singa yang sedang menjilatinya pada mata cincin, agar dia tidak lupa akan nikmat Allah dalam masalah tersebut.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 2/379)

Diriwayatkan daripada Anas bahawa apabila mereka menakluki Tustar[1]:

فَوَجَدَ رَجُلًا أَنْفُهُ ذِرَاعٌ فِي التَّابُوتِ , كَانُوا يَسْتَظْهِرُونَ وَيَسْتَمْطِرُونَ بِهِ , فَكَتَبَ أَبُو مُوسَى إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ بِذَلِكَ , فَكَتَبَ عُمَرُ: إِنَّ هَذَا نَبِيٌّ مِنَ الْأَنْبِيَاءِ وَالنَّارُ لَا تَأْكُلُ الْأَنْبِيَاءَ , وَالْأَرْضُ لَا تَأْكُلُ الْأَنْبِيَاءَ , فَكَتَبَ أَنِ انْظُرْ أَنْتَ وَأَصْحَابُكَ يَعْنِي أَصْحَابَ أَبِي مُوسَى فَادْفِنُوهُ فِي مَكَانٍ لَا يَعْلَمُهُ أَحَدٌ غَيْرُكُمَا قَالَ: فَذَهَبْتُ أَنَا وَأَبُو مُوسَى فَدَفَنَّاهُ “

Maksudnya: Mereka menemukan jasad seseorang yang hidungnya panjang. Penduduk di sana meminta bantuan dan meminta hujan dengan perantara jasad tersebut. Abu Musa segera menulis surat kepada Khalifah Umar bin Khattab berkenaannya. Kemudian Khalifah Umar membalas surat tersebut: ‘Sesungguhnya ini (jasad tersebut) adalah Nabi di antara para nabi. Api tidak akan membakar jasad para nabi dan bumi tidak akan merosakkannya. Hendaklah engkau dan salah seorang sahabatmu menguburkannya di tempat yang tidak ada seorang pun yang mengetahuinya, kecuali kamu berdua’. Kemudian aku dan Abu Musa pergi untuk menguburkannya.

Riwayat Ibn Abi Syaibah (4/7) dengan sanad sahih

Selain itu, diriwayatkan juga daripada Mutarrif bin Malik bahawa dia berkata: 

شَهِدْتُ فَتْحَ تُسْتَرَ مَعَ الْأَشْعَرِيِّ , قَالَ: فَأَصَبْنَا دَانْيَالَ بِالسُّوسِ , قَالَ: فَكَانَ أَهْلُ السُّوسِ إِذَا أَسَنُّوا أَخْرَجُوهُ فَاسْتَسْقَوْا بِهِ , وَأَصَبْنَا مَعَهُ سِتِّينَ جَرَّةً مُخَتَّمَةً … “

Aku hadir pada penaklukan Tustar bersama Abu Musa al-Asy’ari. Kami berjumpa jasad Nabi Danial di al-Sus. Katanya: Apabila penduduk al-Sus menghadapi kemarau, mereka akan membawa jasadnya keluar dan berdoa memohon hujan dengan jasadnya. Kami dapati bersamanya enam puluh balang yang tertutup…”

Riwayat Ibn Abi Syaibah (7/4) dengan sanad yang sahih 

Diriwayatkan daripada Khalid bin Dinar, daripada Abu al-’Aliyah, katanya:

لَمَّا افْتَتَحْنَا تُسْتَرَ وَجَدْنَا فِي بَيْتِ مَالِ الْهُرْمُزَانِ سَرِيرًا عَلَيْهِ رَجُلٌ مَيِّتٌ ، عِنْدَ رَأْسِهِ مُصْحَفٌ لَهُ ، فَأَخَذْنَا الْمُصْحَفَ، فَحَمَلْنَاهُ إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، رضي الله عَنْهُ ، فَدَعَا لَهُ كَعْبًا فَنَسَخَهُ بِالْعَرَبِيَّةِ ، أَنَا أَوَّلُ رَجُلٍ مِنَ الْعَرَبِ، قَرَأَهُ، قَرَأْتُهُ مِثْلَ مَا أَقْرَأُ الْقُرْآنَ هَذَا ” فَقُلْتُ لِأَبِي الْعَالِيَةِ: مَا كَانَ فِيهِ؟ فَقَالَ: “سِيرَتُكُمْ، وَأُمُورُكُمْ، وَدِينُكُمْ، وَلُحُونُ كَلَامِكُمْ، وَمَا هُوَ كَائِنٌ بَعْدُ ” قُلْتُ: فَمَا صَنَعْتُمْ بِالرَّجُلِ؟ قَالَ : ” حَفَرْنَا بِالنَّهَارِ ثَلَاثَةَ عَشَرَ قَبْرًا مُتَفَرِّقَةً، فَلَمَّا كَانَ فِي اللَّيْلِ دَفَنَّاهُ وَسَوَّيْنَا الْقُبُورَ كُلَّهَا، لِنُعَمِّيَهُ عَلَى النَّاسِ لَا يَنْبُشُونَهُ ” فَقُلْتُ وَمَا تَرْجُونَ مِنْهُ؟ قَالَ: ” كَانَتِ السَّمَاءُ إِذَا حُبِسَتْ عَلَيْهِمْ بَرَزُوا بِسَرِيرِهِ فَيُمْطَرُونَ ” قُلْتُ: مَنْ كُنْتُمْ تَظُنُّونَ الرَّجُلَ؟ قَالَ: ” رَجُلٌ يُقَالُ لَهُ: دَانْيَالُ ” فَقُلْتُ : مُذْ كَمْ وَجَدْتُمُوهُ مَاتَ؟ قَالَ: ” مُذْ ثَلَاثِمِائَةِ سَنَةٍ ” فَقُلْتُ: مَا كان تغيّر شيئا؟ قَالَ:” لَا، إِلَّا شُعَيْرَاتٌ مِنْ قَفَاهُ، إِنَّ لُحُومَ الْأَنْبِيَاءِ لَا تُبْلِيهَا الْأَرْضُ، وَلَا تَأْكُلُهَا السِّبَاعُ”.

Maksudnya: ”Ketika kami menakluk kota Tustar, kami mendapati di antara kekayaan istana Hurmuzan ialah sebuah tempat tidur yang di atasnya ada jenazah seorang lelaki yang di atas kepalanya terdapat Mushaf. Lalu, kami mengambil Mushaf itu dan membawanya ke hadapan ‘Umar bin al-Khattab R.A. Lalu ‘Umar R.A memanggil Ka’b dan menyuruhnya untuk menyalinnya ke dalam bahasa Arab. Dan akulah orang Arab pertama yang membaca Mushaf tersebut, aku membacanya seperti aku membaca al-Qur’an.” Maka aku (perawi) berkata kepada Abu al-‘Aliyah: “Apa yang ada di dalamnya?” Dia menjawab: “Di dalamnya terdapat sejarah kamu semua, berbagai persoalan kamu, ucapan-ucapan kamu serta apa yang terjadi setelahnya.” Lalu aku bertanya lagi: “Lalu apa yang engkau lakukan terhadap mayat yang kalian temukan tersebut?” Dia menjawab:”Kami menggali lubang kubur pada siang harinya sebanyak tiga belas lubang secara terpisah. Lalu ketika malam tiba, kami kuburkan dan kami menyamakan bentuk seluruh kuburan tersebut dengan tujuan agar kami menyembunyikannya daripada manusia agar mereka tidak menggalinya.” Aku bertanya kepadanya:”Lalu apa yang mereka harapkan darinya?” Dia berkata: “Jika mereka tertimpa musim kemarau, mereka menampakkan tempat tidur tersebut, lalu turunlah hujan.” Aku bertanya lagi:”Engkau tahu siapa orang itu?” Dia menjawab:”Seseorang yang disebut-sebut bernama Danial.” “Sejak bila engkau menemukannya dalam keadaan mati?” Tanyaku. Dia menjawab:”Sejak tiga ratus tahun yang lalu.” Lalu aku bertanya kepadanya:”Apakah ada yang berubah pada dirinya?” Dia menjawab:”Tidak ada, kecuali beberapa helai rambut dari bagian tengkuknya. Sesunguhnya jasad para Nabi tidak hancur dilumat oleh Bumi dan juga tidak dimakan oleh binatang buas.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Dalail al-Nubuwwah (1/381). Ibn Kathir menyatakan dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (2/37) bahawa sanadnya sahih hingga ke Abu al-‘Aliyah.

Ibn Kathir berkata: Sanad hadith ini sahih sampai kepada Abu al-‘Aliyah. Tetapi, jika tahun wafatnya tercatat dari tiga ratus tahun, maka dia bukan seorang Nabi, melainkan hanya seorang yang soleh. Hal ini kerana antara Nabi ‘Isa bin Maryam A.S dengan Nabi SAW, tidak ada seorang Nabi pun, berdasarkan nas yang ada dalam sahih al-Bukhari. Jarak antara kedua Nabi tersebut (Nabi Muhammad SAW dan ‘Isa A.S) adalah empat ratus tahun, ada yang mengatakan enam ratus tahun dan yang mengatakan enam ratus dua puluh tahun. Dan kemungkinan tahun wafatnya nabi Isa A.S semenjak lapan ratus tahun, dan ia dekat dengan masa Danial. Dan Jika keadaan Danial sama seperti kenyataan yang disebutkan (wafat sejak sekitar 300 tahun), maka mungkin ia adalah orang lain dalam kalangan Nabi atau orang soleh. Tetapi sangkaan yang paling kuat ia adalah Danial, karena Danial telah ditangkap oleh raja Parsi dan tinggal di sana dalam keadaan terpenjara. Diriwayatkan dengan sanad yang sahih kepada Abu al-‘Aliyah: “Bahawa panjang hidungnya satu jengkal.” Daripada Anas bin Malik R.A dengan sanad yang jayyid bahawa panjang hidungnya satu hasta sehingga kemungkinan ia adalah salah seorang daripada kalangan Nabi terdahulu sebelum tempoh yang disebutkan di atas. Wallahu A’lam. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 2/40)

Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah berkata: “Apabila kubur Danial ditemui di Tustar, Abu Musa menulis kepada Umar bin al-Khattab R.A tentang hal itu, dan Umar menulis kembali kepadanya, katanya: Pada siang hari, galilah tiga belas kubur, dan kuburkan dia pada malam hari di salah satu daripadanya, dan sembunyikanlah tempat kuburnya, supaya kuburnya tidak menjadi fitnah dan kekacauan bagi manusia.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 15/154)

Kesimpulan

Kesimpulan yang boleh dilakukan daripada riwayat ini ialah, salah seorang Nabi yang diutuskan kepada Bani Israil adalah Nabi Danial. Jasad Nabi Danial ditemukan oleh Abu Musa al-Asy’ari ketika berjihad melawan bangsa Tartar di daerah Hurmuzan. Jasad Nabi Danial ditemukan di Baitul Mal Hurmuzan dan penduduk Hurmuzan menjelaskan bahawa jasad tersebut telah lama meninggal dunia, akan tetapi, jasadnya masih utuh dan tidak rosak sedikit pun. Mereka menggunakan jasad tersebut sebagai wasilah untuk meminta hujan. Lalu, Abu Musa Al-Asy’ari menghantar surat kepada Umar R.A dan Umar al-Khattab R.A menjelaskan bahawa itu adalah jasad Nabi Danial dan memerintahkan untuk menyembunyikan kuburnya daripada pengetahuan orang ramai bagi menutup jalan fitnah disebabkannya.

Selain itu, antara iktibar yang boleh diambil daripada kisah ini ialah bahawa para sahabat sangat menekankan berkenaan tauhid kepada Allah SWT sehingga mereka bimbang manusia terjebak ke lembah kesyirikan yang merupakan dosa paling besar dalam Islam. Justeru, mereka menutup terus jalan yang boleh menjebakkan manusia kepada kesyirikan dengan menyembunyikan terus jasad dan kubur Nabi Danial yang mereka gunakan untuk meminta bantuan dan hujan.

Antara rujukan yang boleh dirujuk berkenaan kisah Nabi Danial A.S:

  • Sirah Ibn Ishaq (hlm. 66); 
  • Tarikh Baghdad (1/361); 
  • Tarikh Dimasyq (8/32); 
  • Al-Masalik wa al-Mamalik (hlm. 92); 
  • A’lam al-Nubuwwah (hlm. 66); 
  • Ahsan al-Taqasim (hlm. 417); 
  • Al-Jawab al-Sahih (5/276); 
  • Hidayah al-Hayara (2/375); 
  • Al-Bidayah wa al-Nihayah (2/374); 
  • Siyar A’lam al-Nubala (2/312)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

[1] Tustar (Shushtar) adalah sebuah bandar di Iran yang terletak di utara Ahvaz di wilayah Khuzestan, dan berjarak lebih kurang 81 kilometer daripadanya. Tustar terletak di atas sebuah dataran tinggi dan dikelilingi oleh Sungai Karun, sungai terpanjang di wilayah Khuzestan. Berhampiran dengan bandar ini terdapat Sistem Hidraulik Tustar yang bersejarah, yang telah disenaraikan dalam Warisan Dunia UNESCO sejak tahun 2009. Penduduknya mempunyai asal-usul Arab dan berbicara dalam bahasa Arab serta bahasa Parsi (Farsi). Tustar telah ditakluki oleh tentera Muslim pada tahun 17 Hijrah di bawah pimpinan Abu Musa al-Asy’ari. Ketika itu, seorang panglima tentera Parsi telah ditawan dalam Pertempuran Hormuzan. (Lihat https://ar.wikipedia.org/wiki/تستر . Diakses pada 4 Julai 2023)

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H