#2132: Terlanjur Cash-out eBeliaRahmah; Apakah Penyelesaiannya?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ramai yang terlepas pandang berkenaan hukum cash-out kredit eBeliaRahmah, dan segelintir daripada mereka yang kurang berkemampuan telah menggunakan duit cash-out tersebut untuk membeli barangan keperluan.

Persoalannya, adakah hukumnya masih haram? Dan jika ya, apakah cara untuk menebus kesalahan tersebut. Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Syeikh al-Sobuni ketika menafsirkan ayat di atas mengatakan, bertolong-tolonganlah dalam perkara kebaikan dan kebajikan dan meninggalkan kemungkaran serta (bertolong-tolonganlah dalam) perkara yang membawa ketaatan kepada Allah SWT. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/301)

Dan apa-apa bentuk sumbangan ataupun sedekah yang ikhlas kerana Allah SWT merupakan salah satu bentuk kebajikan yang disertakan taqwa padanya.

Oleh kerana telah sampai ke meja saya isu berkaitan eBeliaRahmah ini, dan sebahagian penerima telah terlanjur melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan pihak kerajaan berkenaan tatacara penggunaan kredit tersebut tanpa sedar, maka saya tergerak untuk memberikan sedikit cadangan terlebih dahulu kepada pihak kerajaan agar melihat dan merujuk semula terma dan syarat yang ditetapkan kepada setiap penerima kredit eBeliaRahmah tersebut atau apa-apa sumbangan yang akan diberikan pada masa-masa yang akan datang.

Hal ini kerana, ramai daripada penerima sumbangan di luar sana dari kalangan penuntut di universiti yang sedang melanjutkan pengajian dan pastinya memerlukan sejumlah wang tertentu untuk menampung apa-apa keperluan mereka, sama ada yang terkait dengan pengajian mereka ataupun terkait dengan keperluan seharian mereka.

Umumnya, mereka yang masih melanjutkan pengajian di peringkat ini tidak mempunyai sumber kewangan tersendiri kecuali sebahagian kecil sahaja daripada mereka. Oleh yang demikian, pihak kerajaan perlu bersikap prihatin dan cakna terhadap keadaan mereka, sementelahan pula dalam keadaan kegawatan ekonomi yang mengakibatkan kenaikan harga barangan, yang memerlukan mereka untuk menggunakan sumbangan tersebut dalam bentuk wang tunai.

Ingatlah bahawa jawatan yang diperoleh merupakan amanah yang besar dan perlu dipikul sebaiknya bagi tujuan membantu rakyat dan menstabilkan pentadbiran serta ekonomi negara. Diriwayatkan daripada Abu Zarr R.A ketika mana dia meminta kepada Rasulullah SAW melantiknya memegang suatu jawatan, lalu Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

يَا أَبَا ذَرٍّ! إِنَّك ضَعِيفٌ، وَإِنَّهَا أَمَانَةٌ، وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ، إِلَّا مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيهَا

Maksudnya: “Wahai Abu Zarr! Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.”

Riwayat al-Bukhari (1825)

Antara contoh terdekat bantuan pihak kerajaan kepada rakyat adalah eBeliaRahmah yang ditumpukan kepada golongan penuntut ilmu di universiti. Akan tetapi, alangkah baiknya sekiranya terma dan syarat yang ditetapkan tidak mengehadkan kepada para penerima, tempat dan cara penggunaannya. Hal ini kerana sebahagian tempat tidak mempunyai kemudahan untuk penggunaan Touch ‘n Go eWallet, sedangkan di sana terdapat keperluan bagi para penerima untuk menggunakan sumbangan kredit tersebut. Kami yakin, kerajaan yang cakna dan prihatin terhadap keadaan rakyat akan sentiasa didoakan kepada mereka kebaikan.

Perihal mendoakan kebaikan buat pemimpin pula, ia merupakan tuntutan agama agar urusan mereka dalam mentadbir dipermudahkan.

Diriwayatkan daripada Tamim al-Dari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الدِّينُ النَّصِيحَةُ. قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

Maksudnya: “Agama itu (menginginkan pengikutnya) nasihat (berbuat kebaikan). Lalu kami bertanya: ‘Bagi siapa (kebaikan itu)?’, kata Baginda: ‘Bagi Allah, bagi kitab-Nya, bagi Rasul-Nya, bagi pemimpin-pemimpin orang islam, dan bagi umum orang islam’.”

Riwayat Muslim (55)

Imam al-Nawawi menukilkan pandangan al-Khattabi bahawa antara maksud nasihat (berbuat kebaikan) bagi pemimpin adalah didoakan bagi mereka kebaikan. (Lihat al-Minhaj Syarh Shahih Muslim, 1/144)

Syeikh Abdullah bin Baz ada mengatakan bahawa termasuk dalam nasihat (berbuat kebaikan) bagi pemimpin adalah mendoakan mereka agar diberi taufik, hidayah, niat dan perbuatan yang baik, serta teman pembimbing yang baik.” (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn Baz, 8/209)

Imam al-Barbahari menyebutkan bahawa, apabila kita melihat seseorang mendoakan keburukan bagi pemimpin, ketahuilah (secara umum) dia adalah seorang yang mengikut hawa nafsu. Sebaliknya, jika kita melihat seseorang mendoakan kebaikan buat pemimpin, ketahuilah dia adalah seorang yang berpegang kepada sunnah, In shaa Allah. (Lihat Syarh al-Sunnah, hlm. 113)

Kembali kepada persoalan di atas yang menjadi isu utama berkenaan terlanjur cash-out eBeliaRahmah, kesilapan mereka ini dimaafkan. Hal ini kerana, kesalahan yang telah terlanjur dilakukan oleh seseorang sebelum sampai padanya bahawa perbuatan tersebut adalah salah, maka perbuatan mereka dimaafkan. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku akan kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atasnya.”

Riwayat Ibn Majah (2043)

Antara inisiatif lain bagi mereka yang telah terlanjur cash-out kredit eBeliaRahmah tersebut adalah:

  • Mengganti semula jumlah kredit yang telah dikeluarkan dengan memasukkan jumlah tersebut ke dalam 3 aplikasi yang dibenarkan; Boost, Setel dan Touch ‘n Go eWallet.
  • Oleh kerana wang gantian tersebut tidak lagi termasuk di dalam kredit  eBeliaRahmah yang akan luput secara automatik selepas 31 Ogos 2023, penerima boleh cuba membelanjakan jumlah yang berbaki tersebut sebelum tempoh tamat bagi mengelakkan daripada penerima membelanjakan harta yang bukan milik mereka.

Hal ini kerana pihak kerajaan telah menyatakan bahawa kredit tersebut hanya boleh guna sehingga tempoh tertentu, selepas daripada tempoh tersebut, maka hak pemilikan tersebut akan kembali kepada kerajaan.

  • Bagi mereka yang terlanjur menggunakannya selepas cash-out, bertaubat dan mohonlah keampunan daripada Allah SWT, kemudian berazam untuk tidak berterusan menggunakan wang tersebut dengan cara yang tidak dibenarkan oleh kerajaan.

Nasihat kami, sebaiknya sebelum kita melakukan apa jua bentuk muamalat yang melibatkan dua pihak, fahami dan teliti dengan baik terlebih dahulu terma dan syarat yang telah ditetapkan, sebelum bersetuju dengan kontrak tersebut.

Kami doakan semoga negara kita mampu ke arah baldatun tayyibah. Mari kita sama-sama menadah tangan dan berdoa:

اللَّهُمَّ آمِنَّا فِي أَوْطَانِنَا، اللَّهُمَّ اصْلِحْ وُلَاةَ أُمُورِنَا وَوَفِّقْهُمْ لِمَا تُحِبُّهُ وَتَرْضَاهُ، اللَّهُمَّ اجْعَلْ هَذَا الْبَلَدَ آمِنًاً مُطْمَئِنًّاً سَخَاءً رَخَاءً وَسَائِرَ بِلَادِ الْمُسْلِمِينَ، اللَّهُمَّ وَلِّي عَلَى الْمُسْلِمِينَ خِيَارَهُمْ، اللَّهُمَّ وَلِّي عَلَيْنَا خِيَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah berikanlah kami keamanan di negara kami. Ya Allah perbaikilah pemimpin kami dan anugerahkan kepada mereka kejayaan dalam perkara yang Engkau sukai dan redhai. Ya Allah jadikanlah negara ini dan negara islam lain aman, tenteram, dermawan, makmur. Ya Allah Engkau kurniakanlah pemimpin daripada yang terbaik di kalangan kami.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H