#2134: Mendirikan Solat Sunat Witir 3 Rakaat Satu Salam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’, saya ingin bertanya, boleh ke kalau kita melakukan solat witir 3 rakaat terus dan apakah  lafaz niat tersebut ? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat witir ialah sunat muakkad.  Ia dinamakan demikian kerana ditamatkan dengan satu rakaat, dan berbeza dengan solat yang lain. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/215)

 Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ali R.A, katanya:

إنَّ الْوِتْرَ لَيْسَ بِحَتْمٍ كَصَلاَتِكُمُ الْمَكْتُوبَةِ وَلَكِنْ سَنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Solat witir tidaklah wajib seperti solat yang difardhukan atas kamu, tetapi Rasulullah SAW melakukannya.”

Riwayat al-Tirmizi (453)

Hadith yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَهْلَ الْقُرْآنِ أَوْتِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الْوِتْرَ

Maksudnya:Wahai orang yang beramal dengan al-Quran! Hendaklah kamu melakukan solat Witir, sesungguhnya Allah itu bersifat witir dan dia menyukainya.”

Riwayat Abu Daud (1416)

Imam al-Nawawi menyebutkan, solat witir adalah sunat di sisi ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i tanpa khilaf. Bilangan rakaatnya yang paling sedikit ialah sebanyak satu rakaat. Manakala tahap kesempurnaannya yang paling rendah adalah dengan melakukannya sebanyak tiga rakaat, dan tahap yang lebih sempurna daripada itu pula adalah dengan mendirikannya sebanyak lima rakaat, kemudian dengan mendirikannya sebanyak tujuh rakaat, kemudian dengan mendirikannya sebanyak sembilan rakaat, kemudian dengan mendirikannya sebanyak sebelas rakaat. Inilah bilangan rakaatnya yang paling banyak menurut pendapat masyhur dalam mazhab Syafi‘i dan pendapat yang diputuskan oleh pengarang al-Muhazzab serta ramai ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/12)

Menjawab bagi persoalan di atas, kami nyatakan disini dibolehkan melaksanakan solat witir 3 rakaat dengan satu salam.  Ini merupakan pandangan dari mazhab Hanafi. Al -Kasani menukilkan  bahawa para ashab  dari mazhab hanafi berkata : solat witir adalah tiga rakaat dengan satu dalam. Beliau menukilkan lagi bahawa Hasan al-Basri menyatakan : Orang Muslim telah bersepakat bahawa solat witir tiga rakaat dan tiada salam melainkan pada pengakhirannya (Lihat Bada’ al-Sanai’, 1/271-272).

Diriwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كانَ لا يسلِّمُ في رَكعتيِ الوترِ

Maksudnya: “Baginda SAW tidak memberi salam pada dua rakaat witir.”

Riwayat Malik dalam al-Muwatta’ daripada riwayat Muhammad bin al-Hasan (1/96); Riwayat al-Tabarani dalam al-Ausat (6/375)

Namun, kami berpandangan adalah lebih baik sekiranya dilakukan solat witir dengan dua salam. Ini berdasarkan apa yang telah diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ يُسَلِّمُ بَيْنَ الرَّكْعَةِ وَالرَّكْعَتَيْنِ فِي الْوِتْرِ، حَتَّى يَأْمُرَ بِبَعْضِ حَاجَتِهِ

Maksudnya: Baginda S.A.W memberikan salam di antara satu rakaat dan dua rakaat ketika solat witir, sehingga baginda mengarahkan kepada sebahagian keperluannya.‏

Riwayat al-Bukhari (991)

Al-Mahamili Dalam kitabnya al-Lubab menyatakan : solat  witir ada 9 cara salah satunya adalah melakukannya 3 rakaat dan dipisahkan dengan salam pada rakaat yang kedua. (Lihat al-Lubab,Hlm.136)

Imam Al-Suyuthi Rahimahullah juga berkata : memisahkan solat witir adalah lebih afdhal berbanding menyambungkannya (melakukan dengan satu salam). (Lihat Al-Asybah wal-Nazhair, Al-Suyuthi, Hlm. 271).

Justeru kami katakan di sini bahawa melakukan witir dengan dua salam adalah lebih afdhal kerana lebih banyak sesuatu perbuatan yang dilakukan maka lebih banyak  fadhilatnya.

Berkaitan dengan niat pula kami katakan  niat itu tempatnya di dalam hati secara sepakat para ulama. Justeru, tidaklah cukup untuk sekadar melafazkannya sedangkan hatinya lalai daripadanya, dan hal ini adalah terpakai pada seluruh bab (ibadah). Namun, talaffuz atau melafazkan niat, jumhur fuqaha dalam kalangan ulama mazhab Hanafi, Syafi‘i, Hanbali bahawa perbuatan talaffuz atau melafazkan niat ini adalah digalakkan (sunat). Hal ini adalah untuk mengingatkan lisan hati, lalu menjadilah ia niat yang dihadirkan secara hakiki.[2]

Cara Melafazkan Niat Solat Witir

Lafaz solat Sunat Witir tiga rakaat satu salam

أُصَلِّى سُنَّةَ الوِتْرِ ثَلَاثَ رَكْعَاتٍ إَمَامًا/مَأْمُومًا  لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya : Sahaja aku sembahyang sunat witir 3 rakaat (Imam/ mengikut imam) kerana Allah Taala.”

Lafaz Niat Solat Witir dua Salam

Lafaz Niat Witir 2 Rakaat :

أُصَلِّى سُنَّةَ الوِتْرِ رَكْعَتَيْنِ إَمَامًا/مَأْمُومًا   لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya : Sahaja aku sembahyang sunat witir 2 rakaat (Imam/mengikut imam) kerana Allah Taala.”

Lafaz Niat Witir 1 Rakaat :

أُصَلِّى سُنَّةَ الوِتْرِ رَكْعَةً إَمَامًا/مَأْمُومًا   لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku sembahyang sunat Witir satu rakaat (Imam/mengikut imam)  kerana Allah Taala.”

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melakukan ibadat kepadanya dan kami akhiri dengan doa :

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahu a’lam.

 

[1] https://maktabahalbakri.com/895-solat-witir-tiga-rakaat-satu-atau-dua-salam/

[2] https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=3636  

Diakses pada 4 Julai 2023

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H