Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Semoga Dato’ Seri dan team Maktabah al-Bakri sihat sentiasa, saya merupakan pelajar pengajian Islam. Boleh Dato’ Seri sarankan ilmu yang perlu saya kuasai dan perlu baca sama ada dari sudut fiqh, usul fiqh, aqidah, tasawuf, hadis, ulum hadis, tarikh Islami? Mohon pencerahan Datuk.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, saya ucapkan tahniah kerana berminat dan berazam untuk mempelajari khazanah ilmu-ilmu Islam. Dalam menjawab persoalan ini saya syorkan agar merujuk kepada buku kami yang bertajuk Tinta Nasihat Untuk Penuntut Ilmu. Kami nukilkan di sini sebahagian daripada kitab tersebut.
Firman Allah SWT:
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Maksudnya: “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”
Surah al-Taubah (122)
Ibn al-Arabi berkata: Makna umum ayat ini, yakni kepada hak sesiapa yang datang selepas wafat Nabi SAW, ialah bahawa bukan umat islam perlu keluar berjihad kesemuanya tetapi hendaklah sebahagian mereka bertafaqquh (mendalami ilmu) dalam agama. Kemudian mereka pulang kepada kaumnya untuk ajar mereka. Justeru menuntut ilmu diasingkan daripada jihad fi sabilillah sedangkan jihad merupakan jalan kemuncak islam itu sendiri. (Lihat Ahkam al-Quran, 2/601)
Imam al-Qurtubi berkata: “Ayat ini merupakan asas tentang wajibnya menuntut ilmu. Kerana tidak seharusnya orang beriman itu pergi ke medan perang kesemuanya, sedangkan Nabi SAW tidak, sehingga mereka meninggalkan Baginda sendiri. Mereka membatalkan keinginan mereka setelah mengetahui tidak dibolehkan pergi secara keseluruhan. Beberapa orang daripada tiap-tiap golongan perlu tetap tinggal bersama Nabi SAW untuk mempelajari agama. Sehingga apabila orang-orang yang pergi berperang itu telah kembali, mereka dapat mengkhabarkan dan menyebarkan ilmu pengetahuan mereka. Dalam ayat ini juga terdapat kewajiban untuk memahami al-Kitab dan al-Sunnah. Dan kewajiban tersebut adalah kewajiban kifayah dan bukan wajib “ain. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 8/293)
Al-Alusi menjelaskan: “Hakikatnya, penggunaan ‘untuk mengajar (لِيُعْلِمُوْا) lebih sesuai berbanding memberi peringatan (لِيُنذِرُوا) dan ‘supaya mereka faqih’ (يَتَفَقَّهُوا) berbanding ‘berjaga- jaga dari melakukan larangan Allah’ (يَحْذَرُونَ). Akan tetapi, dipilih perkataan perkataan tersebut berbanding istilah yang satu lagi sebagai isyarat bahawa matlamat guru hendaklah untuk memberi petunjuk dan peringatan. Sedangkan matlamat penuntut ilmu pula adalah untuk meraih rasa takut kerana Allah SWT, bukan bersenangan dan merasa takabbur dengan ilmu. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 11/48)
Menjawab persoalan di atas, saya nasihatkan belajarlah ilmu alat terlebih dahulu, iaitu nahu, saraf, adab, balaghah, dan yang terkait dengan bahasa Arab. Ini kerana sebagai kunci untuk memahami ilmu keseluruhannya. Kemudian, selepas itu belajarlah fiqh dan juga usul fiqh. Adapun akidah, ia amat penting, begitu juga tasawwuf.Berkenaan dengan hadith dan juga tafsir ia terangkum padanya ilmu fiqh, akidah, tasawwuf dan juga kisah ulamam terdahulu di samping misalan dan bidalannya.
Saya berpendapat ilmu sirah Nabi SAW dan tarikh Islami amat penting difahami kerana ia menjadi penguat hujah serta sokongan dan dokongan kepada dalil yang dikemukakan. Semuanya itu, perlulah secara talaqqi atau berguru bukan semata-mata membaca kerana dibimbangi salah faham maksud yang hendak disampaikan oleh musannif atau pengarang.
Mulalah pembelajaran ilmu apa yang kita mesti dan akan amalkan ketika itu. Sebagai contoh, bab puasa ketika hampir menjelmanya Ramadhan, bab haji, ketika menjelmanya hampir haji, adapun bab solat oleh kerana dilakukan setiap hari sebanyak 5 kali, maka hendaklah dipelajari terlebih dahulu termasuk bab wudhu’ dan segala yang terkait dengannya.
Kitab atau buku rujukan terbahagi kepada tiga:
- Untuk orang mula belajar yang dikenali sebagai mutadi’in.
- Untuk orang pertengahan yang dikenali sebagai mutawassitin.
- Untuk para ulama dan cendikiawan yang ini perbahasannya dalam kitab-kitab yang besar dan muktabar.
Kami juga menyarankan agar mengikut tradisi para ulama yang mempelajari sesebuah kitab dengan menghabisinya dari kulit ke kulit. Akhirnya, kami nukilkan pandanagn pelbagai tokoh berkenaan dengan ilmu:
Imam al-Mawardi dalam Adab al-Dunya Wa al-Din menyebu “Ketahuilah bahawa semua ilmu ada permulaannya yorg membawa kepada akhir, pengenalan yang membawa kepads hakikat. Justeru hendaklah pelajar memulakan dengan awalannya hingga ke akhirnya. Jangan mulakan akhir sebelum mengenal awal dan hakikat sebelum pengenalan.”
Ibu Abbas R.Anhuma pernah berkata:
العِلْمُ أَكْثَرُ مِنْ أَن يُحْصَى فَخُذُوا مِن كُلِّ شَيْءٍ أَحْسَنَهُ
Maksudnya: “Ilmu itu amat banyak daripada yang termampu untuk dihitung, maka ambillah setiap sesuatu itu yang terbaik.”
Syeikh Muhammad Awwamah berkata: Perkara pertama yang sepatutnya penuntut ilmu pelajari ada dua perkara iaitu:
- Pertama: Ilmu bahasa Arab yang terdiri daripada nahu, saraf, lughah, ulum balaghah seperti ma`ani, bayan dan badi’.
- Kedua: Fiqh pula ialah fiqh mazhab dengan cara tadarruj (beransur-ansur) mengkaji:
- Matan-matan
- Mukhtasar (ringkasan)
Antara kelebihan fiqh, kita dapati padanya bak mutiara kata: Ibn Muflih dalam al-Adab al-Syar’iyyah
فضل في فَضْلِ الجَمْعِ بَيْنَ الحَدِيثِ وَفِقْهِمِ
Maksudnya: “Satu bahagian daripada kelebihan ialah menggabungkan hadis dan kefahaman terhadapnya.”
Pengarang al-Muhit daripada ulama Hanafi:
فَضْلُ العُلُومِ عِندَ الجُمْهُورِ بَعْدَ مَعْرِفَةِ أَصْلِ الدَيْنِ وَعِلْمُ اليَقِينِ مَعْرِفَةُ الفِقْهِ والأَحْكَامُ الفَاصِلَةُ بَيْنَ الْحَلَالِ وَالْحَرَامِ
Maksudnya: “Kelebihan ilmu-ilmu di sisi majoriti ulama selepas ilmu usuluddin dan ilmu keyakinan ialah ilmu fiqh dan hukum-hakam yang membezakan antara halal dan haram.”
Ibn al-Jauzi berkata: “Siapa yang mempunyai semangat yang kental, muhasabah dirinya, banyak sibuk dengan yang paling penting dapat setiap ilmu dan menjadikan mashghul-nya dengan fiqh, maka sebenarnya dia adalah sebesar-besar ilmu dan sepentingnya.”
Benarlah kata-kata Syeikh Abdul Karim al-Rifaie (m. 1393H)
غِذَاءُ الكِبَارِ سمّ لِلصَّغَارِ
Maksudnya: “Makanan bagi orang besar (tua) adalah racun bagi yang kecil (kanak-kanak).”
Walaupun begitu dalam mempelajari ilmu, adalah amat perlu dijelaskan dengan sejelasnya.
Benarlah kata Imam al-Syafie:
مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا فَلْيُدَقِّقُ فِيهِ لِئَلَّا يُضَيِّعَ دَقِيقَ الْعِلْمِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang belajar sesuatu ilmu, maka perdalamkan atau perhalusinya supaya dia tidak mensia-siakan kedalaman atau keluasan ilmu.”
Semoga Allah SWT sentiasa memberi kefahaman kepada kita semua. Amin.
Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H