#2139: Perbezaan Pendapat Antara Mazhab Suami dan Isteri

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya telah berkahwin dengan lelaki Arab yang mengambil pendapat tidak batal wudu’ bersentuhan suami isteri. Saya juga pernah mendengar tentang hadith tersebut. Bolehkah saya sepandangan dengan suami saya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab isu ini, perlu kita fahami mazhab fiqh merupakan cara yang paling mudah dan sesuai bagi kita untuk melaksanakan ibadat selaras dengan kehendak agama Islam. Ini kerana imam mazhab serta ulama yang mendokongnya telah mengkaji dengan mendalam dalam menyusun atur untuk tadwin mazhab berdasarkna kaedah-kaedah dan sumber-sumber yang dipegang oleh imam-imam mazhab.

Ada beberapa isu terdapat perbezaan yang ketara antara mazhab-mazhab berkenaan dengan tersentuhnya antara lelaki dan perempuan ajnabi dan juga pasangan suami isteri, adakah terbatal wudhu’ atau tidak? Kami nukilkan di sini pandangan fuqaha’.

  • Muktamad di dalam mazhab al-Syafi’e bahawa bersentuhan lelaki dan perempuan tanpa lapik akan membatalkan wudhu’ sama ada sentuhan itu disertai syahwat ataupun tidak. Begitu juga sama ada sentuhan itu sengaja ataupun tidak ataupun terlupa.
  • Menurut mazhab Hanafi, ianya tidak membatalkan wudhu’ jika tersentuh di antara lelaki dan perempuan. Ianya juga adalah pendapat Muhammad bin Al-Hasan al-Syaibani dan ianya juga adalah pendapat Ibn ‘Abbas, Tawus, al-Hasan, ‘Ato dan ini juga adalah pendapat pilihan Ibn Taimiyyah.
  • Pendapat yang masyhur di sisi mazhab Hanbali dan Maliki mengatakan bahawa sentuhan di antara lelaki dan perempuan tidak membatalkan wudhu’ jika tidak disertai dengan syahwat.

Berdasarkan kepada soalan puan, kami berpendapat tidak mengapa puan bertaklid dan mengikut mazhab suami yang berpendapat tidak batal wudhu’. Di sinilah keluasan fiqh Islami jika difahami dan dihayati dengan betul, maka ia akan memberi kemudahan kepada umat Islam.

Cumanya, di sini ada beberapa perkara. Belajarlah wudhu’ sama ada rukun, sunat, makruh, adab-adab dan juga perkara yang membatalkannya dalam mazhab yang kita berpegang dengannya. Contohnya, dalam kes ini mazhab Hanbali dan Maliki dan juga mazhab Hanafi berpendapat tidak batal wudhu’ dengan syarat tidak disertai dengan syahwat dan ada yang dengan syahwat pun tidak batal. 

Agar apabila kita berpegang kepada pendapat mazhab yang tidak batal, kita selarikan sebolehnya mengikut mazhab tersebut dari sudut mengambil wudhu’, ada yang dianggap sunat dan ada yang dianggap wajib atau rukun. Ini supaya kita tidaklah dianggap sebagai talfiq [1] dalam bermazhab.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

[1]

Talfiq membawa erti menggabungkan dua mazhab atau lebih dalam satu-satu masalah. Contohnya, orang yang berwudhu’ membasuh sedikit daripada kepalanya mengikut mazhab Syafi’i, kemudian menyapu kakinya sahaja tanpa membasuhnya mengikut sesetengah ulama, kemudian menyentuh perempuan ajnabi tetapi tidak batal wudhu’nya dedngan berpegang kepada mazhab Hanafi. Gabungan ini juga dinamakan hukum murakkabah.

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H