#2140: Pengeluaran Wang KWSP; Perlukah Dibayar Zakat Simpanan?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Persoalan saya ialah jika wang RM10 ribu KWSP diluluskan pengeluarannya, adakah saya perlu bayar zakat simpanan? Minta pencerahan sebab yang saya tahu tidak cukup nisab & haul, terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَآتُوا الزَّكَاةَ 

Maksudnya: “Dan keluarkanlah zakat.”

(Surah al-Baqarah: 43)

Duit daripada KWSP apabila sudah dikeluarkan dan menajdi milik anda sepenuhnya ia dianggap sebagai milk tam. Justeru, dalam isu ini kami katakan anda diberi dua pilihan sama ada cukupkan setahun atau dipanggil haul, kemudian zakatlah ketika itu. Pendapat yang kedua dan terpilih adalah anda boleh segera bayar zakat dan inilah yang telah diputuskan oleh muzakarah Fatwa Kebangsaan kami nukilkan di sini:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-74 yang bersidang pada 25 -27 Julai 2006 telah membincangkan Bayaran Zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sejurus Pengeluaran – Satu Alternatif. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Mazhab Syafie menetapkan bahawa zakat harta wajib dikeluarkan apabila cukup nisab dan tempoh haulnya. Wang KWSP adalah harta simpanan. Wang KWSP apabila dikeluarkan adalah diwajibkan zakat apabila sempurna kedua-dua syarat iaitu cukup nisab dan haul yang ditetapkan. Walau bagaimanapun Jumhur Ulama’ berpandangan bahawa zakat harta boleh dikeluarkan lebih awal daripada waktu yang sepatutnya dengan syarat harta tersebut telah mencukupi nisabnya.

Berdasarkan pandangan tersebut, Muzakarah memutuskan bahawa Keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali Ke-5 pada 16-17 November 1982 dipinda seperti berikut “Pencarum KWSP digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan wang KWSP tersebut jika cukup nisabnya tanpa menunggu haul setahun.”

Semoga jawapan ini menjadikan kita cakna dalam melaksanakan ibadat zakat yang menjadi salah satu dari rukun Islam yang lima. Zakat dan solat sentiasa beriring yang menunjukkan betapa pentingnya kedua-dua rukun ini dilaksanakan. Maka, dengan kedua-dua inilah akan terhasilnya, hablun minallah dan hablun minannas.

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H