Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada seorang abang kandung yang telah lama tidak balik, dalam 30 tahun. Baru-baru ini, saya dapat tahu dia berada di mana dan saya memberi tahu adik-beradik yang saya sudah tahu dia berada di mana.
Masalah saya sekarang adik-beradik saya yang lain ada yang berkeras untuk tidak bagi saya berjumpa dengan dia. Mungkin disebabkan dia seorang banduan dan sekarang dia masih di penjara.
Adakah saya perlu teruskan niat saya untuk berjumpa dengan dia untuk saya dapat kepastian dan sebab kenapa dia tak balik atau saya kuburkan niat saya untuk saya jaga perasaan mak dan adik-beradik saya yang lain? Niat saya baik.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: “Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”
(Surah al-Nisa’: 1)
Ibn Kathir berkata: Maksudnya, bertakwalah kamu kepada Allah dengan mentaati-Nya. Kata Ibrahim, Mujahid dan al-Hasan: “الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ” ertinya sebagaimana ucapan seseorang: “Aku meminta kepadamu dengan (nama) Allah dan dengan (hubungan) rahim.”
Al-Dahhak berkata: “Bertakwalah kamu kepada Allah yang dengan-Nya kamu saling mengikat janji dan persetujuan, serta takutlah kamu daripada memutuskan silaturrahim, tetapi berusahalah untuk berbuat baik dan menyambungnya.” Pentafsiran ini adalah pendapat Ibn Abbas, Ikrimah, Mujahid, al-Hasan, al-Dahhak, al-Rabi’ dan ramai ulama’ yang lain.
Sebahagian ulama membaca “وَالْأَرْحَامَ” dengan khafadh (kasrah) sebagai athaf (sambungan) dari dhamir “بِهِ”, maksudnya kamu saling meminta satu sama lain kepada Allah dan hubungan silaturrahim, sepertimana yang dinyatakan oleh Mujahid dan selainnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/332)
Dalam menjawab persoalan di atas, keturunan seperti adik-beradik, anak, cucu semuanya itu tidak boleh diputuskannya kerana dia termasuk dalam silaturrahim yang perlu dijaga dan dipelihara. Bahkan disebut dalam hadith salah satu daripada cara untuk mendapatkan usia yang panjang dan rezeki yang murah lagi diberkati maka hendaklah dia sambung silaturrahim.
Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW pernah bersabda:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”
Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)
Imam al-Nawawi dalam menjelaskan hadith ini berkata: Yang dimaksudkan dengan ‘أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ’ adalah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/114)
Justeru, kami katakan pergilah bertemu dengan saudara anda walau di mana keadaan sekali pun. Boleh jadi dengan lawatan tersebut boleh menginsafkannya dan akhirnya kembali ke pangkal jalan. Dengan itu, tautan kekeluargaan akan menjadi lebih baik.
Bayangkan anda berada di tempat ibu dan bapa anda, betapa kasihnya kedua mereka terhadap anaknya. Maka, dengan menyambung silaturrahim sejuzuk daripada mencari redha kedua ibu bapa walaupun keduanya sudah tiada di dunia ini.
Kami mengambil kecaknaan dan keprihatinan yang bersungguh-sungguh, betapa buruknya memutuskan silaturrahim. Daripada Jubair bin Mut’im R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَاطِعُ رَحِمٍ
Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim.”
Riwayat al-Bukhari (2408), Muslim (593) dan Abu Daud (45)
Akhir kalam, kami berdoa agar keluarga anda mendapat rahmat dan hidayah dan bahagia. Marilah sama-sama kita amalkan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H