#2144: Pendapat Dibolehkan Melakukan Korban Dengan Ayam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah ada pendapat ganjil membenarkan menyembelih ayam sebagai korban atau aqiqah bagi fakir miskin oleh Ibn Abbas dan Ibn Hazm al-Andalusi? Hanya untuk bertanya untuk ilmu. Saya sebagai Muslim tahu ia tidak sah kerana bukan daripada haiwan al-an‘am seperti unta, kambing dan lembu. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, aturan dalam pelaksanaan ibadah korban telah pun ditetapkan oleh syariat dengan jelas. Bagi pelaksanaan ibadah korban, telah diletakkan syarat haiwan-haiwan tertentu dalam melaksanakan ibadah ini iaitu unta, lembu (termasuk kerbau) dan kambing (termasuk biri-biri dan kibasy) serta jenis-jenisnya. Selain daripada tiga jenis haiwan tersebut, tidak pernah dinukilkan pula daripada Nabi SAW dalam melakukan ibadah korban.

Para ulama telah bersepakat menyatakan bahawa binatang-binatang yang boleh dibuat korban ialah binatang-binatang yang termasuk dalam kategori bahimah al-an‘am (haiwan ternakan) yang diwajibkan zakat iaitu unta, lembu (termasuk kerbau) dan kambing (termasuk biri-biri dan kibasy).

Allah SWT berfirman:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap bahimatul an‘am (binatang ternakan) yang telah direzekikan Allah kepada mereka.”

(Surah al-Hajj: 34)

Imam al-Baghawi berkata: Lafaz “بَهِيمَة” (haiwan) diikat dengan lafaz “النَّعَم” (ternakan) kerana ada daripada haiwan yang bukan daripada jenis haiwan ternakan seperti kuda, baghal dan keldai. Oleh itu, tidak boleh menyembelihnya sebagai korban. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/385).

Imam al-Syaukani pula menyebutkan, ini mengisyaratkan bahawa haiwan korban hanya berupa binatang ternakan, tidak yang lain. (Lihat Fath al-Qadir, 3/535). Binatang ternakan (بَهِيمَة الْأَنْعَام) bermaksud unta, lembu dan kambing (termasuk segala jenis-jenisnya). Ini telah diketahui dan masyhur dalam kalangan orang-orang Arab. Selain itu, ini juga merupakan pendapat al-Hasan, Qatadah dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/9).

Tambahan pula, hal ini telah dinukilkan wujudnya ijma‘ (kesepakatan) dalam perkara ini oleh Imam al-Nawawi, Ibn  ‘Abd al-Bar dan selainnya. Imam al-Nawawi menyebutkan, syarat sah dalam korban ialah haiwan korban hendaklah berasal daripada haiwan ternakan iaitu unta, lembu dan kambing. Termasuk juga pelbagai jenis unta, semua jenis lembu dan semua jenis kambing iaitu kibas, ma‘iz (kambing jantan) dan sejenisnya. Manakala selain haiwan ternakan seperti rusa dan keldai adalah tidak sah sebagai haiwan korban, sama ada daripada yang jantan mahupun yang betina – tanpa ada perselisihan ulama. Tidak ada khilaf sama sekali mengenai hal ini menurut kami. Selain itu, hasil daripada percampuran (perkahwinan) antara rusa dan kambing juga tidaklah sah sebagai haiwan korban kerana ia tidak termasuk dalam kategori haiwan ternakan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/365).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, benar di sana terdapat satu pendapat ganjil yang disebutkan oleh Ibn Hazm dalam kitabnya bahawa boleh berkorban dengan burung. Ini juga pendapat yang dipegang oleh Dr. Sa‘duddin al-Hilali.[1] Ibn Hazm berpendapat, korban dibolehkan dengan semua haiwan yang halal dimakan dagingnya, yang terdiri daripada haiwan berkaki empat atau burung seperti kuda, unta, lembu liar, ayam jantan dan seluruh jenis burung dan haiwan yang halal dimakan. Afdhalnya daripada semua jenis haiwan itu yang paling baik dagingnya, banyak dan mahal harganya.

Kemudian Ibn Hazm berhujah dengan beberapa dalil. Di antaranya, perkataan Bilal yang menyebutkan:

مَا أُبَالِي لَوْ ضَحَّيْتُ بِدِيكٍ

Maksudnya:Aku tidak kisah, sekiranya aku melakukan korban dengan ayam jantan.”

Riwayat ‘Abd al-Razzaq dalam Musannafnya (8156)

Begitu juga riwayat daripada Ibn Abbas berkenaan pembelian dagingnya dengan harga dua dirham, lalu beliau berkata:

هَذِهِ أُضْحِيَّةُ ابْنِ عَبَّاسٍ

Maksudnya:Ini adalah korban Ibn Abbas.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Khilafiyyat (5360)

Selain itu, beliau juga berhujah bagi menyokong pendapatnya dengan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَثَلُ الْمُهَجِّرِ إلَى الْجُمُعَةِ كَمَثَلِ مَنْ يُهْدِي بَدَنَةً، ثُمَّ كَمَنْ يُهْدِي بَقَرَةً، ثُمَّ كَمَنْ يُهْدِي بَيْضَةً

Maksudnya:Umpama orang yang pergi menunaikan solat Jumaat (di masjid) seperti dia mengorbankan unta, kemudian seperti dia mengorbankan lembu, kemudian seperti dia mengorbankan sebiji telur.”[2]

Begitu juga terdapat riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ اغْتَسَلَ يَوْمَ الْجُمُعَةَ ثُمَّ رَاحَ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقَرْنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الْخَامِسَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً

Maksudnya:Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat lalu segera pergi ke masjid, maka seolah-olah dia mengorbankan seekor unta. Sesiapa yang pergi pada masa yang kedua, seolah-olah dia mengorbankan seekor lembu. Dan sesiapa pergi pada masa yang ketiga, maka seolah-olah dia mengorbankan seekor biri-biri jantan yang bertanduk. Dan sesiapa yang pergi pada masa yang keempat, seolah-olah dia mengorbankan seekor ayam. Dan sesiapa yang pergi pada masa kelima, maka seolah-olah dia mengorbankan sebiji telur.”

Riwayat al-Bukhari (881) dan Muslim (850)

Kemudian Ibn Hazm mengulas dua hadith di atas dengan menyatakan, dalam kedua-dua hadith ini dinyatakan dia menyembelih (mengorbankan) ayam dan burung ‘usfur[3] sebagai bentuk mendekatkan diri kepada Allah, serta juga mengorbankan telur (sebagai bentuk mendekatkan diri kepada Allah), dan Udhiyyah (melakukan korban) merupakan satu bentuk mendekatkan diri kepada Allah tanpa ragus-ragu lagi. Selain itu, dalam dua hadith di atas juga menunjukkan kelebihan haiwan yang besar dari segi saiznya dan manfaatnya buat golongan miskin. Selain daripada itu, tidak ada bantahan terhadap kedua-dua nas ini sama sekali. (Lihat al-Muhalla, 6/29-31).

Seterusnya, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah pernah ditanya berkenaan hukum melakukan korban dengan burung disebabkan oleh tersebarnya pendapat yang menyatakan keharusan untuk melakukannya yang di sana, dan dikatakan para sahabat juga turut melakukannya. Jadi, sejauh manakah kesahihan pendapat tersebut?

Mereka menjawab, tidak sah melakukan korban melainkan dengan binatang ternakan iaitu unta, lembu dan kambing. Manakala pendapat yang menyatakan keharusan untuk melakukan korban dengan semua jenis haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah pendapat yang lemah, tidak diambil kira sebagai fatwa dan menyelisihi pengamalan umat. Riwayat yang menunjukkan bahawa salah seorang sahabat mengatakan dibolehkan menyembelih burung adalah tidak benar kerana nas tersebut tidak boleh difahami zahirnya.

Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam Musannaf ‘Abd al-Razzaq dengan sanad yang zahirnya sahih daripada Bilal R.A, di mana beliau berkata:

مَا أُبَالِي لَوْ ضَحَّيْتُ بِدِيكٍ، وَلَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِثَمَنِهَا عَلَى يَتِيمٍ أَوْ مُغَبَّرٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أُضَحِّيَ بِهَا

Maksudnya:Aku tidak kisah, sekiranya aku melakukan korban dengan ayam jantan, dan aku bersedekah dengan nilai harganya kepada anak yatim dan orang yang berdebu (gelandangan) adalah lebih aku sukai daripada melakukan korban dengannya.

Ada kemungkinan beliau ingin menegaskan bahawa korban itu adalah tidak wajib, dan bukannya secara hakikatnya. (Lihat al-Istizkar oleh Ibn ‘Abd al-Barr, 5/230).

Namun, jika ia tetap difahami secara zahirnya, maka ia adalah ijtihad sahabat semata-mata. Akan tetapi ia bertentangan dengan riwayat yang telah disahihkan daripada Rasulullah SAW, maka tidak ada hujah padanya.[4]

Kesimpulannya

Oleh itu, jelaslah bahawa korban dan akikah hanya boleh dilakukan dengan binatang-binatang yang termasuk dalam kategori bahimah al-an‘am (haiwan ternakan) iaitu unta, lembu dan kambing serta jenis-jenisnya sahaja. Selain itu, benar di sana terdapat pendapat yang membolehkan melakukan korban dengan jenis burung seperti ayam, itik dan seumpamanya, akan tetapi ia adalah pendapat yang syaz.

Lebih-lebih lagi telah dinukilkan wujudnya ijma‘ (kesepakatan) yang menyangahinya bahawa melakukan korban dengan selain daripada bahimah al-an‘am (haiwan ternakan) adalah tidak sah. Di antara ulama yang menukilkan ijma‘ tersebut ialah Ibn ‘Abd al-Barr dalam al-Tamhid (23/188), al-Rafi‘i dalam al-‘Aziz (12/62), Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (8/394), Ibn Rusyd dalam Bidayah al-Mujtahid (2/193), Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari dalam Asna al-Matalib (1/535), al-Khatib al-Syirbini dalam Mughni al-Muhtaj (6/125), dan al-San‘ani dalam Subul al-Salam (2/537).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://mubasher.aljazeera.net/opinions/2023/6/23/التضحية-بالطيور-بين-الفتوى. Diakses pada 5 Julai 2023.

[2] Riwayat seumpamanya ada diriwayatkan oleh al-Bazzar dalam Musnadnya (8347).

[3] Ada dinyatakan dalam lafaz yang penuh dalam riwayat al-Bazzar (8347).

[4] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/17229/حكم-التضحية-بالطيور. Diakses pada 5 Julai 2023.

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H