#2145: Umrah Selepas Haji Ifrad

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya telah berniat haji semasa memasuki miqat iaitu utk melakukan haji ifrad semasa musim haji ini. Saya juga pernah beberapa kali menunaikan umrah sebelum ini. Apakah hukum melaksanakan umrah selepas selesai ibadah haji saya tersebut? Adakah termasuk umrah fardhu atau hanya umrah sunat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Umrah dari segi bahasa bermaksud ziarah, manakala dari segi istilah yang disepakati oleh kebanyakan ulama adalah tawaf di Baitullah, dan sa‘ie di antara Safa dan Marwah dengan ihram. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/314).

Hukum umrah adalah fardhu bagi mereka yang mampu. Ini adalah pendapat yang kuat dalam mazhab Syafi‘i dan riwayat yang kuat dalam mazhab Hanbali. Selain itu, ini juga adalah pendapat yang dipilih oleh Imam al-Bukhari.

Imam al-Nawawi menyebutkan, pendapat yang sahih dalam mazhab Syafi‘i dengan kesepakatan para ashab (ulama mazhab Syafi‘i) dan dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam qaul jadid, hukum umrah adalah fardhu. Ini juga merupakan pendapat Umar, Ibn Abbas, Ibn Umar, Jabir, Tawus, ‘Ata’, Ibn al-Musayyib, Sa‘id bin Jubair, al-Hasan al-Basri, Ibn Sirin, al- Sya‘bi, Masruq, Abu Burdah bin Abu Musa al-Hadhrami, Abdullah bin Syaddad, al-Thauri, Ahmad, Ishaq, Ibn ‘Ubaid dan Dawud. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 7/7).

Begitu juga Ibn Qudamah menyatakan, umrah adalah diwajibkan ke atas sesiapa yang diwajibkan haji. Diriwayatkan pendapat ini daripada Umar, Ibn Abbas, Zaid bin Thabit, Ibn Umar, Sa‘id bin al-Musayyib, Sa‘id bin Jubair, ‘Ata’, Tawus, Mujahid, al-Hasan, Ibn Sirin, dan al-Sya‘bi. Selain itu, ini juga merupakan pendapat al-Thauri, Ishaq, dan al-Syafi‘i dalam salah satu pendapatnya. (Lihat al-Mughni, 5/13).

Mereka yang berpendapat berkenaan kefardhuan umrah berhujahkan dengan beberapa dalil. Di antaranya, firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

Maksudnya: “Dan sempurnkanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 196)

Ayat di atas bermaksud lakukanlah kedua-duanya dengan sempurna. Dalam ayat di atas, digunakan kalimat perintah pada haji dan umrah yang menunjukkan kepada kefardhuan kedua-duanya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/315).

Begitu juga hadith Aisyah R.Anha, katanya:

قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَى النِّسَاءِ جِهَادٌ؟ قَالَ: نَعَمْ، عَلَيْهِنَّ جِهَادٌ، لَا قِتَالَ فِيهِ: الْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ

Maksudnya: “Aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah, adakah jihad bagi kaum wanita?’ Baginda menjawab: ‘Ya, jihad tanpa peperangan, iaitu haji dan umrah.’”

Riwayat Ibn Majah (2901) dan lafaz hadith daripadanya; riwayat al-Bukhari (2876); al-Nasa’i (2628) dan Ahmad (25322)

Menurut al-Sindi, haji dan umrah menyerupai jihad dari sudut kedua-duanya memerlukan permusafiran dan meninggalkan negeri (tanah air) serta bersusah payah. (Lihat Hasyiah al-Sindi ‘ala Sunan Ibn Majah, 2/212).

Imam al-Bukhari menyebutkan dalam kitab sahihnya, “Bab Kewajipan Umrah dan Keutamaannya.” Kemudian, beliau membawakan di bawah bab tersebut pendapat Ibn Umar R.Anhuma yang menyebutkan:

لَيْسَ أَحَدٌ إِلَّا وَعَلَيْهِ حَجَّةٌ وَعُمْرَةٌ

Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim itu melainkan berkewajipan untuk melaksanakan haji dan umrah.”

Dr. Mustafa Dib al-Bugha dalam ta’liqnya dalam kitab Sahih al-Bukhari menyebutkan lafaz “لَقَرِينَتُهَا” bermaksud umrah disebut beriringan dengan haji dalam al-Quran dalam ayat yang disebutkan, dengan perintah untuk menyempurnakan kedua-duanya. Perintah menunjukkan kepada wajib, maka ini menunjukkan bahawa umrah itu adalah diwajibkan seperti mana haji. (Lihat Sahih al-Bukhari, 2/529).

Umrah selepas Haji Ifrad

Haji Ifrad ialah niat haji yang dilakukan pada bulan-bulan haji secara bersendiri tanpa diniatkan bersamanya umrah.

Haji ifrad adalah afdhal di sisi mazhab al-Syafi’i, bagi mereka yang melakukan haji ifrad, disunatkan melakukan umrah pada tahun yang sama. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Nawawi: “Haji ifrad  ialah apabila seseorang itu berihram dengan haji pada bulan-bulan haji yang telah ditentukan dari miqat dengan sesuai dengan arah yang ditentukan. Kemudian setelah selesai haji, dia keluar dari Makkah dan berihram umrah dari tanah halal yang paling hampir dan dan menyelesaikan umrahnya. Inilah gambaran yang disepakati. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-’Umrah, hlm. 134) 

Beliau  berkata lagi: “Ketahuilah bahawa haji qiran lebih afdhal daripada haji ifrad bagi yang tidak melakukan umrah selepas haji dalam tahun tersebut. Sekiranya dia melewatkan umrah daripada tahun Ihram hajinya, maka hukumnya makruh.” (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-’Umrah, hlm. 137) 

Hal ini menunjukkan bahawa di sisi mazhab al-Syafi’i bahawa haji ifrad adalah afdhal sekiranya umrah dilakukan selepasnya pada tahun yang sama. Tetapi sekiranya umrah itu tidak dilakukan selepas haji ifrad, maka haji yang afdhal adalah haji qiran. 

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan di atas, kami katakan bahawa umrah yang saudara lakukan setelah haji ifrad itu adalah umrah sunat kerana saudara telah pun melakukan umrah wajib pada waktu sebelum ini. Justeru, tidak menjadi masalah untuk saudara melakukan umrah sunat tersebut dengan syarat saudara telah selesai melaksanakan keseluruhan ibadah haji saudara.

Semoga Allah SWT menerima segala amal ibadah kita. Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ

Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Wallahu’alam

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H