Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami antara tanda yang besar bagi sifat dan alamat orang munafik?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Allah SWT telah menerangkan sifat orang beriman pada permulaan surah al-Baqarah sebanyak 5 ayat. Kemudian, menyebut tentang sifat orang kafir dengan 2 ayat. Sedangkan apabila membahaskan orang-orang munafik sebanyak 13 ayat. Ini jelas menunjukkan orang munafik ini bahayanya cukup besar kerana luar atau zahirnya berbeza dengan dalam atau batinnya.
Mereka merosakkan di atas muka bumi tetapi apabila dikatakan kepada mereka, mereka menyatakan bahawa diri mereka adalah muslih atau pembawa pengislahan dan kebaikan. Benarlah firman Allah SWT:
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ
Maksudnya: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan.”
Surah al-Baqarah (11)
Daripada Abdullah bin Amr R.Anhuma daripada Nabi SAW bersabda:
أربعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنافِقاً، وإِنْ كَانَتْ حَصلَةٌ مِنْهُنَّ فِيْهِ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النّفاقِ حتَّى يَدَعَهَا: مَنْ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وإذا وَعَدَ أَخْلَفَ، وإذا خَاصَمَ فَجَرَ، وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ
Maksudnya: “Empat perkara, barangsiapa yang ada padanya keempat perkara tersebut maka dia seorang munafiq yang sebenar, jika ada padanya satu di antara sifat tersebut bererti ada padanya satu sifat kemunafikan sehinggalah dia meninggalkannya: laitu seorang apabila berbicara ia dusta, apabila berjanji tidak ditepatinya, apabila berselisih melampaui batas dan apabila melakukan perjanjian ingkar.”
Riwayat al-Bukhari (34) (2459) dan Muslim (117) (8) (106)
Sebahagian ulama telah menyebut lebih daripada 30 sifat orang-orang munafik. Ini hasil daripada dapatan daripada al-Quran dan juga hadith. Cukuplah kami nyatakan di sini beberapa sifat antaranya:
- Ingkar janji
- Berdusta atau berbohong
- Melampau dalam pergaduhan
- Mengkhianati amanah
- Memiliki sifat dengki
- Talam dua muka
- Malas dalam beribadah terutamanya solat
- Bangga berbuat dosa dan lain-lain.
Dan yang paling zahir alamat orang munafik akan lari dari berhukum dengan hukum syariat dan benci. Benarlah firman Allah SWT:
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَىٰ مَا أَنزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ رَأَيْتَ الْمُنَافِقِينَ يَصُدُّونَ عَنكَ صُدُودًا
Maksudnya: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah,” nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.”
Surah al-Nisa’ (61)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرمْنَا وَلَا تُهنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآئِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”
Riwayat al-Tirmizi (3173), al- Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)
Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H