Soalan:
Assalamualaikum Ustaz. Saya memesan makanan bungkus di sebuah restoran di luar negara sebelum berlepas pulang ke tanah air dan apabila saya pulang, saya dapati restoran tersebut telah tersilap beri makanan yang saya pesan. Berkemungkinan harga makanan yang saya terima ini lebih mahal berbanding yang saya pesan. Persoalan saya:
- Apakah tindakan yang perlu saya lakukan, sekiranya hal ini berlaku?
- Andaikata perkara ini terjadi di negara sendiri dan restoran tersebut berdekatan sahaja dengan rumah, apakah saya perlu membayar lebihan harga makanan tersebut atau pun memilih untuk menganggapnya sebagai ‘rezeki’? Mohon pencerahan Ustaz atas kekhilafan saya ini. Terima kasih
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan perbahasan ini dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
رَحِمَ اللهُ عَبْدًا سَمْحًا إِذَا بَاعَ , سَمْحًا إِذَا اشْتَرَى سَمْحًا إِذَا اقْتَضَى
Maksudnya: Allah mengasihi hamba yang bermurah hati jika menjual, bermurah hati jika membeli, bermurah hati jika menagih hutang.
Riwayat al-Bukhari (2076), al-Tirmidzi (1320), Ibn Majah (2203) dan Ahmad (14699)
Badr al-Din al-‘Aini dalam syarahnya menyebutkan: Pada hadith ini mengajak kita supaya berlapang dada serta melakukan muamalah dengan baik dan juga dengan akhlak yang baik, serta meninggalkan sifat kedekut di dalam jual beli. Hal ini kerana terdapatnya barakah dalam jual beli. Nabi SAW tidak akan mengajak umatnya kecuali pada perkara yang ada manfaat bagi umatnya untuk urusan agama dan keduniaan. Manakala kelebihan di akhirat, Nabi SAW mendoakan kerahmatan dan keampunan bagi mereka yang melakukan kebaikan pada jual beli tersebut. Maka sesiapa yang ingin mendapatkan doa yang didoakan oleh Nabi SAW, maka hendaklah dia mengikuti saranan Nabi SAW dan beramal dengannya. (Lihat ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 11/189)
Menjawab bagi persoalan di atas kami nyatakan di sini, dalam situasi yang pertama kami katakan tidak menjadi satu kesalahan untuk mengambil makanan tersebut kerana kesilapan itu berlaku bukan dari pihak pembeli bahkan penjual yang melakukan kesilapan tersebut. Tambahan pula, untuk mengembalikan balik makanan tersebut mungkin menjadi satu kesulitan kepada pembeli kerana ia berada jauh dengan pembeli. Sekiranya kedai tersebut berdekatan maka, hendaklah pembeli memulangkan balik makanan tersebut atau membayarnya dengan harga yang sepatutnya. Ini kerana seorang muslim tidak boleh memakan harta secara batil sebagaimana Firman Allah SWT :
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.”
Surah al-Baqarah : 188
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ
Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.”
Riwayat Muslim (2564)
Hadith ini menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain, iaitu haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli. (Lihat al-Adab al-Nabawi, 1/137)
Justeru kami katakan dalam hal ini, sebaiknya sebagai seorang muslim perlu bersikap jujur dalam jual beli dan kami syorkan dengan kemudahan yang ada pada masa kini perlu memaklumkan kesilapan yang berlaku kepada pihak penjual agar kedua-dua belah pihak dapat bertolak ansur antara satu sama lain.
Kami akhiri dengan doa,
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima
Wallahua`lam.
Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H