#2160: Berapa Lama Suami Boleh Berpisah Dengan Isteri?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya seorang isteri di mana suami saya selalu musafir dan tinggalkan saya dalam tempoh lama. Kadang-kadang setahun, dua tahun, ada masanya sebulan, dua bulan. Walaupun dia bagi kepada saya nafkah zahir tetapi tempoh yang lama menyebabkan nafkah batin tidak diberikan kepada saya. Mohon pandangan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami katakan bahawa perkahwinan yang menurut syarak dan terhormat akan menghasilkan ketenangan dan ketenteraman diri. Firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ يَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَيِّنتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ 

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

Surah al-Rum (21)

Sayid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Penjelasan al-Quran yang lemah lembut menggambarkan hubungan lelaki dan perempuan ini dengan gambaran yang ama menarik, seolah-olah gambaran ini diambil dari dalam lubuk hati dan perasaan: “Supaya kamu tenang tenteram bersamanya dan Dia jadikan di antara kamu rasa kemesraan dan kasih sayang.”

Inilah matlamat perkahwinan agar memperolehi sakinah, mawaddah dan rahmah. Terdapat sebuah hadith daripada Jabir R.A:

فَاتَّقُوا اللَّهَ فِى النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللَّهِ وَلَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لاَ يُوطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُونَهُ. فَإِنْ فَعَلْنَ ذَلِكَ فَاضْرِبُوهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَقَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُ إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ كِتَابَ اللَّهِ

Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan kaum wanita. Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan dihalalkan bagi kamu kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Hak kamu yang wajib ditunaikan oleh isteri kamu ialah mereka tidak membenarkan orang yang kamu benci masuk ke tempat tidurmu. Jika mereka melakukannya, pukullah mereka dengan cara yang tidak menyakitkan. Kewajipan kamu pula ialah memberikan nafaqah dan pakaian yang sepatutnya kepada mereka. Sesungguhnya, aku tinggalkan satu perkara yang kamu tidak akan sesat selama-lamanya, selagi kamu berpegang dengannya, iaitu kitab Allah.”   

Riwayat Muslim (1218)

Dari segi fiqhnya tidak boleh suami meninggalkan isteri melebihi tempoh tertentu. Dikatakan Saidina Umar telah meletakkan tidak lebih daripada 6 bulan kepada mujahidin yang keluar berjihad dan mesti pulang. Dan inilah yang dilakukan oleh para sahabat.

Satu kisah yang berlaku antara Saidina Umar R.A yang bertanyakan kepada Hafsah sejauh mana wanita boleh bersabar dengan suaminya lantas dijawab empat bulan. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, katanya:

خَرَجَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ مِنَ اللَّيْلِ فَسَمِعَ امْرَأَةً تَقُولُ : تَطَاوَلَ هَذَا اللَّيْلُ وَاسْوَدَّ جَانِبُهُ وَأَرَّقَنِى أَنْ لاَ حَبِيبٌ أُلاَعِبُهُ فَوَاللَّهِ لَوْلاَ اللَّهُ إِنِّى أُرَاقِبُهُ تَحَرَّكَ مِنْ هَذَا السَّرِيرِ جَوَانِبُهُ فَقَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ لِحَفْصَةَ بِنْتِ عُمَرَ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُمَا : كَمْ أَكْثَرُ مَا تَصْبِرُ الْمَرْأَةُ عَنْ زَوْجِهَا؟ فَقَالَتْ : سِتَّةَ أَوْ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ. فَقَالَ عُمَرُ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ : لاَ أَحْبِسُ الْجَيْشَ أَكْثَرَ مِنْ هَذَا.

Maksudnya: “Umar ibn al-Khattab R.A telah keluar pada suatu malam (untuk melihat keadaan rakyatnya). Tiba-tiba dia terdengar seorang perempuan mengeluh: “Rasa panjang malam ini,dan gelaplah di sisinya tetapi aku tidak dapat tidur kerana tiada kekasih untuk bersamanya. Demi Allah, kalaulah bukan kerana Allah nescaya aku akan melakukan sesuatu sehingga bergeraklah tiang katil ini.” Kemudian Umar R.A telah bertanya kepada Hafsah, anaknya sendiri: “Perempuan boleh bersabar terhadap suaminya berapa lama?” Jawabnya: “Enam bulan atau empat bulan.” Lantas berkatalah Umar R.A: “Aku tidak akan menyekat tentera lebih daripada ini.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (17908)

Selain itu, Khalifah Umar R.A pernah memberikan arahan supaya dijaga isteri-isteri kepada para mujahidin yang bermusafir jauh bagi menegakkan dan mempertahankan Islam. Beliau mendapati para isteri itu terlalu lama dipisahkan dengan suaminya. Maka, Umar R.A mengarahkan pengehadan masa serta melakukan pertukaran tugas terhadap kewajipan jihad. (Lihat Khalifah Umar R.A Fiqh Siyasah Khulafa al-Rasyidin, hlm. 485)

Kami mengambil kesempatan di sini agar pihak kerajaan mahu pun swasta atau badan berkanun agar meraikan hak-hak isteri dan hak-hak suami untuk bersama. Justeru, jangan dilebihkan misi satu-satu projek melebihi dari 6 bulan kerana itulah pada ghalibnya tahap kesabaran yang mampu ditanggung oleh isteri. 

Mengikut sebahagian ulama sekali pun diizinkan oleh isteri tetapi ia terdedah kepada bukaan pintu-pintu fitnah yang mungkin membawa kerosakan bahkan kehancuran institusi ruah tangga.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H