#2161: Asnaf Pasif?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa definisi asnaf pasif menurut syarak dan siapakah yang tergolong dikalangan asnaf jenis ini, dan apakah kriterianya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” 

Surah al-Taubah (60)

Ibn Abbas R.Anhuma menyatakan bahawa ayat ini merupakan penerangan berkenaan golongan asnaf yang berhak menerima zakat. Mana-mana daripada golongan ini yang telah kamu berikan zakat, maka sudah memadai sebagaimana Allah SWT memerintahkan kita untuk menghadap kiblat iaitu kaabah. Sekiranya kita sudah menghadap sebahagian daripada kaabah, maka sudah dikira menghadap kiblat.” (Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 2/265)

Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat berkaitan dengan asnaf-asnaf zakat menyebutkan bahawa didahulukan golongan fakir dan miskin disebabkan mereka golongan yang lebih berhak berbanding asnaf yang lain kerana keadaan mereka yang sangat memerlukan dan berhajat kepada bantuan. Justeru itu, harta zakat hendaklah diutamakan dan didahulukan kepada golongan asnaf yang lebih memerlukan seperti fakir dan miskin sebelum dibahagikan kepada asnaf-asnaf yang lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/175)

Daripada ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa terdapat lapan kategori asnaf yang berhak menerima bahagian zakat iaitu:

  • Golongan Fakir, iaitu orang yang tidak mempunyai harta, yang dapat menampung keperluan makanan, pakaian dan kediamannya.
  • Golongan Miskin, iaitu orang yang mempunyai harta, tetapi tidak cukup untuk menampung keperluannya.
  • Golongan Amil, iaitu pemungut hasil yang ditugaskan oleh pemerintah untuk mengumpul dan mengagihkan zakat.
  • Golongan Muallaf, iaitu mereka yang baru memeluk agama Islam. Dengan pemberian zakat, ia diharap akan menguatkan pegangan mereka kepada agama Islam. Begitu juga orang Islam yang terkenal dan berkedudukan tinggi di kalangan kaum mereka.
  • Golongan Hamba, di mana hamba yang layak menerima zakat ialah orang yang ingin membebaskan dirinya daripada perhambaan (المكاتب), iaitu hamba yang membuat perjanjian dengan tuannya apabila dia dapat memberikan sejumlah harta kepadanya.
  • Golongan yang Berhutang, iaitu mereka yang dibebani hutang dan tidak mampu melunaskannya dengan syarat mereka berhutang untuk tujuan yang halal.
  • Golongan Musafir iaitu orang yang dalam perjalanan dengan tujuan yang diharuskan oleh syara’, sekalipun untuk melancong.
  • Fi sabilillah (untuk jalan Allah) bermaksud sukarelawan yang berjuang mempertahankan umat Islam tanpa imbuhan dan gaji. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/60-62)

Maksud asnaf pasif ialah biasanya mereka ini rata-rata adalah golongan berumur dan mengalami keuzuran. Ini bererti mereka ini selama-lamanya perlu dibantu dan dalam perkara ini tidak ada istilah “berikan kail, bukan ikan”. Justeru, kami katakan ia adalah golongan yang memerlukan bantuan sepanjang hayat. 

Kemampuan untuk bekerja dan berdikari tidak ada dalam kamus kehidupannya dek kerana uzur sakit, kesihatan yang tidak memberikan peluang untuknya bekerja atau dengan beberapa sebab-sebab yang lain. Justeru, golongan seperti ini perlu diberi bantuan sepenuhnya agar mereka dapat meneruskan kehidupan dengan sebaiknya. 

Paling penting isu makan minum dan juga rawatan perubatan serta bantuan secara fizikal untuk mengurus dan mengendalikan sebahagian daripada asnaf pasif ini. Alhamdulillah, negara kita melalui Baitulmal telah mengambil kecaknaan yang sungguh-sungguh dalam mmeberi bantuan kepada asnaf pasif terutamanya seperti mereka yang menghadapi masalah kesihatan yang memerlukan  dialisis. 

Justeru, saya mengambil kesempatan di sini agar mereka yang berkemampuan dan kaya-raya hendaklah menunaikan zakat. Mudah-mudahan ia mendapat keringanan dalam mengharungi sejuzuk kehidupan yang penuh mencabar ini. Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan Allah SWT selamatkan kita daripada digolongkan dalam kalangan asnaf pasif. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللهم إنا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنَ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H