#2162: Nasihat Abdullah bin Ja’far

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada dengar seorang ulama di kalangan tabi’in bernama Abdullah bin Ja’far telah menasihatkan puterinya apabila dikahwinkannya. Boleh Dato’ Seri terangkan siapa Abdullah bin Ja’far dan apa nasihatnya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Abdullah ibn Jaʿfar (624 – 699 atau 702/704), ialah seorang sahabat dan kerabat Nabi Muhammad SAW, anak saudara Ali dan saudara tiri Muhammad ibn Abi Bakr. Dia setia kepada Ahl al-Bayt walaupun dia tidak hadir dalam Perang Karbala. 

Abdullah bin Ja’far adalah anak kepada Ja’far bin Abi Talib. Beliau pernah berkata, ‘Aku dicela kerana sifat pemurahku. Sesungguhnya orang ini lebih pemurah daripadaku.’ Justeru dia membeli kebun dan hamba serta alat-alat keperluan untuk berkebun. Kemudian, dia memerdekakan hamba tersebut dan menghadiahkan kepada hamba tersebut kebun itu dengan alat-alatannya. (Lihat al-Mustajad, hlm. 11 dan al-Mustatraf, hlm. 174)

Berkenaan dengan nasihat beliau kepada puterinya adalah seperti berikut:

  • Janganlah engkau cemburu, kerana cemburu itu kunci perceraian.
  • Janganlah engkau banyak menyalahkan suamimu, kerana hal itu dapat menimbulkan kebencian.
  • Hendaklah engkau selalu memakai celak, kerana celak itu merupakan hiasan terbaik.
  • Ketahuilah bahawa minyak wangi yang terbaik ialah air. (Maksudnya: Memelihara kebersihan badan dan pakaian lebih baik daripada memakai wangian) (Lihat Baiti Jannati, hlm. 67)

Kami katakan nasihat ini merupakan kehendak kebanyakan suami terhadap pasangannya. Antara perkara yang penting ialah wujudnya kematangan pada minda, pemikiran, tindakan dan pergaulan dengan masyarakat, begitu juga kesediaan memikul tanggungjawab. Tambahan daripada itu dan yang utamanya adalah kematangan dalam hal-hal agama. Hal ini akan menatijahkan baiti jannati dan samapai kepada kehendak dan maksud perkahwinan yang sebenar. Firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ يَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَيِّنتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ 

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

Surah al-Rum (21)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H