#2163: Lafaz, “Tidak Ada Sebab untuk Kita Bersama,” Adakah Jatuh Talak?

Soalan:

Assalamualaikum tuan. Saya ada bertanyakan pada suami masih adakah alasan atau sebab untuk saya berada terus di sisinya, beliau mengatakan tidak ada, saya agak memaksa beliau untuk memberi jawapan memandangkan saya sudah penat dengan maksiat berulang yang dilakukannya sepanjang tempoh perkahwinan 17 tahun. Walaupun beliau mengatakan tidak mahu lagi diulang dan meninggalkannya. Di akhir perbualan saya ada mengatakan kembalikan saya seeloknya. Adakah jatuh talak suami tesebut? Saya sangat keliru, suami agak sukar untuk dibawa berbincang atau ke pejabat agama.

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

Surah al-Baqarah (229)

Secara umumnya, talak itu hukumnya halal iaitu dibolehkan untuk melakukannya, namun perbuatan itu dianggap makruh. Ini bermakna syariat mengizinkan talak, namun barang siapa yang meninggalkan atau berusaha menjauhi perkara yang makruh akan mendapat pahala.Sabda Nabi Muhammad SAW :

أَبْغَضُ الْحَلاَلِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلاَقُ

Maksudnya: Perkara halal yang amat dibenci oleh Allah ialah talaq.”

Riwayat Abu Daud (2178), Ibn Majah (2018), al-Hakim (2/197) 

 

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan lafaz “tidak ada” yang disebutkan oleh suami saudari, bukanlah lafaz talak sama ada sorih mahupun kinayah. Justeru itu, kami berpandangan tidak terjadi talak di situ. Nasihat kami buat saudari, penceraian bukan cara untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam hubungan suami isteri, bahkan penceraian merupakan jalan yang terakhir sekiranya masalah yang berlaku tidak dapat diselesaikan walaupun pelbagai cara dan ikhtiar telah di ambil. Namun, sekiranya tidak ada lagi persefahaman dan pergaduhan berpanjangan, maka jalan yang terakhir adalah dengan penceraian, akan tetapi hukumnya adalah makruh. Kami lebih mengesyorkan kepada saudari untuk merujuk kepada mahkamah syariah untuk mendapatkan maklumat selanjutnya seperti permohonan fasakh ataupun khuluk.

Berkenaan isu talak ini, banyak yang telah kami bahaskan antaranya:

#518 Minta Talak Disebabkan Suami Bersikap Dingin[1]

#1754: Lafaz Talak Kerana Terpaksa[2]

#1857: Lafaz “Saya Lepaskan Awak,” Dikira Cerai?[3]

Kami nasihatkan agar rumah tangga puan dibina dengan mengadakan solat berjemaah, bangun di waktu malam untuk berqiamullail, membaca al-Quran bersama dan selalu menghadiri majlis ilmu. Ini merupakan ramuan terbaik.  

Akhir kalam, semoga Allah SWT permudahkan segala urusan saudari bersama suami dalam menyelesaikan kemelut ini secara baik dan dikurniakan ilmu serta kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.

Kami menutup dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

 

[1] https://maktabahalbakri.com/518-minta-talak-disebabkan-suami-bersikap-dingin/ 

[2] https://maktabahalbakri.com/1754-lafaz-talak-kerana-terpaksa/

[3] https://maktabahalbakri.com/1857-lafaz-saya-lepaskan-awak-dikira-cerai/

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H