#2165: Perlukah Qadha Solat Ketika Musafir Melintasi Garis Waktu Antarabangsa?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya Ingin bertanya berkenaan solat apabila kita melintas waktu antara bangsa (international date line). Baru baru ni saya ke Amerika Syarikat. Dalam perjalanan pulang dari Seattle – waktu mula penerbangan adalah pukul 1.30 petang 2 Jun 2023 dan baru masuk waktu Zuhur. Saya melakukan solat Jamak Qasar (Taqdim) dalam pesawat. Penerbangan adalah selama 10 jam dan merentasi Garis waktu antarabangsa (international date line). Dan kami  tak nampak waktu malam dalam perjalanan tersebut. Kami sampai ke Narita Airport Jepun (untuk transit) pada pukul 4 petang 3 Jun 2023. Apakah saya perlu menggantikan Maghrib, Isyak dan Subuh memandangkan saya telah menjangkau masa dalam perjalanan balik saya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

Surah al-Nisa’ (103)

Ibn Mas’ud RA dalam menafsirkan ayat ini berkata bahawa setiap solat itu mempunyai waktu-waktunya yang tertentu yang wajib untuk dilaksanakan padanya sama seperti waktu-waktu yang ditentukan bagi perlaksanaan ibadah haji. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/258)

Al-Maraghi berkata: “Lima sembahyang wajib telah ditetapkan waktunya secara terperinci tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjadikan mukmin itu selalu mengingati Tuhannya pada setiap waktu, supaya tidak lalai menghadapi perbuatan dosa atau kurang berbuat baik. Sesiapa yang ingin menambah perkara sunat dan zikir dengan lebih banyak, hendaklah memilih waktu-waktu yang sesuai dengan keadaan dan situasi dirinya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1338)

Pada asasnya, mengetahui masuknya waktu solat merupakan salah satu daripada syarat sah solat. Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji dinyatakan: “Setiap solat fardhu mempunyai waktu-waktunya yang ditetapkan, dan solat mesti dilakukan dalam waktu-waktu itu. Walau bagaimanapun, bersolat dalam waktunya sahaja belum memadai malah orang yang bersolat mesti mengetahui waktunya sebelum melakukan solat tersebut. Oleh itu, tidak sah solat seseorang yang tidak mengetahui masuk waktunya walaupun ternyata kemudiannya solat yang dilakukannya itu berbetulan pada waktu yang disyariatkan.

Masuk waktu solat boleh diketahui melalui tiga cara berikut:

  • Mengetahuinya dengan yakin, iaitu berpegang kepada dalil yang nyata seperti melihat matahari yang sedang ghurub.
  • Ijtihad, iaitu berpegang kepada dalil yang kukuh yang mempunyai petunjuk tidak langsung seperti bayang-bayang atau dengan mengukur lama masa bekerja.
  • Taqlid. Sekiranya tidak mungkin mengetahui masuk waktu dengan yakin atau ijtihad seperti tidak tahu tentang waktu-waktu solat dan dalil-dalilnya, dia hendaklah bertaqlid sama ada kepada orang yang mengetahuinya melalui dalil-dalil yang nyata atau kepada seseorang mujtahid yang berpegang kepada dalil-dalil yang kukuh. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/275-276)

Di dalam kitab al-Mu’tamad dinyatakan: “Waktu-waktu sembahyang fardhu diketahui dengan dalil-dalil qath’ie yang telah kami sebutkan, khasnya dari ahli khibrah dan makrifah, dan khasnya muazzin yang memberitahu orang ramai akan masuknya waktu sembahyang, dan perkara itu telah menjadi mudah pada hari ini, dan telah dicetak dan disebarluaskan waktu-waktu sembahyang, bersama dengan tersebarnya jam-jam yang tepat di masjid-masjid, rumah-rumah, jam-jam tangan dan jam-jam yang telah diprogramkan untuk menentukan waktu-waktu.”(Lihat al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/164)

Berdasarkan kepada persoalan saudara memang benar anda perlu menggantikan solat Maghrib, Isyak dan Subuh. Tetapi saya nasihatkan juga, sewajarnya anda bertanya pada pramugara dan pramugari berkenaan dengan waktu solat jika sekiranya mereka orang Islam yang mengetahui ketika dalam kapal terbang. Begitu juga, sekarang ini melalui komputer, kita dapat mengesan waktu tempatan dan tempat kita berada. 

Alhamdulillah, mutakhir ini terdapat pelbagai jenis app yang boleh digunakan untuk mengetahui waktu satu-satu tempat. Begitu juga, dengan pelbagai jenis jam yang telah diprogramkan seperti jam al-Fajar. Justeru, saya katakan banyak cara untuk kita mengetahuinya dan salah satu cara dengan memerhatikan alam. 

Di sinilah kepentingan kita memahami bagaimana cara kita berijtihad sama ada masuk atau pun tidak waktu solat. Saya mengambil kesempatan mengucapkan syabas kepada saudara kerana prihatin dan cakna tentang solat dan waktunya. Inilah yang menjadi keutamaan bagi setiap orang Islam. 

Saya akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H