#2166: Takbir Raya Pada Hari Tasyrik

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya nak bertanya mengenai masalah takbir hari raya Aidiladha selepas solat fardhu pada hari-hari Tasyrik 11,12, dan 13 adakah perlu saya bertakbir dahulu atau saya dahulukan wirid-wirid selepas solat macam biasa dan selepas itu baru bertakbir. Minta Dato’ Seri berikan penjelasan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pada asasnya, bertakbir semasa hari-hari raya adalah syiar yang disunatkan kepada kaum Muslimin untuk melaksanakannya. Begitu juga, kita disunatkan untuk menguatkan suara ketika bertakbir. Namun, di sana terdapat perincian berkenaan ‘takbir’ di antara Aidilfitri dan Aidiladha. Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan, disunatkan bagi lelaki untuk menguatkan suaranya ketika bertakbir dan sighahnya yang masyur:

اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ. اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَلَا نَعْبُدُ إلَّا إيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Seterusnya, takbir terbahagi kepada dua jenis iaitu; Takbir Mursal dan Takbir Muqayyad.

Takbir Mursal: Ia juga disebut sebagai Takbir Mutlak, kerana perlaksanaannya tidak terikat dengan waktu-waktu solat. Justeru, disunatkan untuk bertakbir sepanjang masa, dan ia terdapat pada Aidilfitri dan Aidiladha. Waktunya adalah bermula daripada tenggelam matahari pada malam hari raya sehingga takbiratul ihram Solat Hari Raya.

Takbir Muqayyad: Perlaksaanan takbir ini terikat selepas solat, tidak kira solat fardhu ataupun sunat, solat dalam waktunya (أداءً) ataupun solat qadha’ sekalipun solat jenazah, dan ia hanya terdapat pada Aidiladha. Waktunya pula dibezakan antara orang yang mengerjakan haji dengan orang yang tidak mengerjakan haji.

Bagi orang yang tidak mengerjakan haji, waktunya bermula pada waktu Subuh hari ‘Arafah — di mana Ibn Hajar berpendapat waktunya bermula selepas mendirikan solat Subuh, sedangkan al-Ramli pula berpendapat, ia bermula sebaik sahaja masuk waktu Subuh. Lalu waktu bertakbir itu berterusan sehinggalah hari terakhir daripada hari-hari tasyriq. Berkenaan waktu tamatnya ini, Ibn Hajar berpendapat, ia tamat dengan mendirikan solat Asar, manakala al-Ramli pula berpendapat, ia berterusan sehingga tenggelamnya matahari.

Manakala bagi orang yang mengerjakan haji pula, waktu untuk mereka bertakbir bermula apabila masuknya waktu Zuhur hari al-Nahr (10 Zulhijjah) sehingga waktu Subuh pada hari terakhir daripada hari-hari tasyriq — yakni waktu Subuh pada 13 Zulhijjah. Namun sekiranya mereka sudah selesai bertahallul yang kedua, maka mereka boleh bertakbir sehingga waktu Asar —sama seperti orang lain yang tidak mengerjakan haji. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 345-346)

Dr. Muhammad al-Zuhaili juga ada menjelaskan berkenaan perkara ini dalam kitabnya, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/558-559) bahawa takbir yang dilakukan sesudah solat dipanggil sebagai takbir muqayyad, manakala takbir yang tidak terikat dengan apa-apa keadaan dan dilakukan di rumah-rumah, masjid-masjid, jalan-jalan dan selain daripada tempat tersebut tidak kira malam mahupun siang hari, ia dipanggil sebagai takbir mutlak atau takbir mursal.

Disunatkan takbir mutlak bagi kedua-dua hari raya. Waktu bermulanya takbir mutlak bagi kedua-dua hari raya ini adalah ketika tenggelamnya matahari pada malam hari raya dan berakhir ketika takbiratul ihram Imam solat hari raya, melainkan bagi jemaah haji, mereka tidak perlu bertakbir pada malam hari raya Adha, bahkan sebaliknya syiar mereka adalah dengan bertalbiyah. Begitu juga dengan orang yang mengerjakan umrah, mereka hendaklah bertalbiyah sehinggalah mereka memulakan tawaf. Dalil untuk bertakbir pada Hari Raya Fitri adalah berdasarkan firman Allah SWT:

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ‎

Maksudnya: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”

Surah al-Baqarah (185)

Kemudian, diqiyaskan Hari Raya Korban kepada Hari Raya Fitri. Oleh sebab itu, bertakbir pada malam Hari Raya Fitri lebih dituntut daripada bertakbir pada malam Hari Raya Korban.

Manakala takbir muqayyad yang dilakukan sesudah solat, tidak disunatkan pada malam Hari Raya Fitri mengikut pendapat yang lebih sahih. Hal ini kerana tidak dinukilkan perkara tersebut daripada Rasulullah SAW. Takbir muqayyad sesudah solat ini disunatkan bagi Hari Raya Korban berdasarkan kepada ijmak umat Islam, dan ulama khalaf turut menukilkan mengenainya daripada ulama salaf. Ia bermula pada waktu Subuh hari ‘Arafah sehinggalah waktu Asar pada hari terakhir tasyriq. Hal ini adalah berdasarkan kepada apa yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi daripada Umar, Ali dan Ibn Abbas R.Anhum bahawa mereka melakukan takbir bermula daripada waktu Subuh hari ‘Arafah  sehinggalah waktu Asar pada hari terakhir tasyriq.

Selain itu disunatkan untuk bertakbir pada Hari Raya Korban sesudah solat, tidak kira solat itu solat yang dilakukan dalam waktunya atau luar waktunya (yakni qadha’), sama ada solat fardhu atau nazar, sama ada solat sunat ratibah, solat sunat mutlak, solat sunat muqayyad ataupun solat sunat yang mempunyai sebab seperti tahiyyatul masjid kerana takbir tersebut adalah syiar yang terikat dengan waktu — dan bukannya dengan solat-solat tertentu sahaja. Selain daripada itu, tidak disunatkan untuk bertakbir sesudah sujud tilawah mahupun sujud syukur kerana kedua-duanya tidak diaggap sebagai solat. Begitu juga tidak disunatkan untuk bertakbir sesudah solat qadha’ sekiranya dia menggantikannya di luar daripada hari-hari yang berada dalam tempohnya — yakni tempoh waktu takbir muqayyad — kerana takbir ini adalah khusus bagi tempoh hari-hari ini sahaja. Di samping itu, sekiranya seseorang itu terlupa untuk bertakbir, maka dia boleh bertakbir ketika mengingatinya, sekalipun panjang tempoh tersebut mengikut pendapat yang paling sahih.

Adapun bagi jemaah haji pula, waktu bermula takbir sesudah solat (yakni takbir muqayyad) bagi mereka adalah daripada waktu Zuhur pada hari Nahr (10 Zulhijjah) kerana itulah solat pertama mereka di Mina dan waktu berakhirnya talbiyah. Kemudian, waktu takbir itu berterusan sehinggalah waktu Subuh pada hari terakhir tasyriq kerana itulah solat terakhir mereka di Mina. Sunatnya bagi jemaah haji untuk melontar pada hari ketiga (yakni hari tasyriq) selepas gelincir matahari dan mereka dalam keadaan berkenderaan. Mereka tidak mendirikan solat Zuhur di Mina, sebaliknya mereka mendirikan solat Zuhur itu selepas mereka meninggalkan (nafar) dari Mina.

Berakhirnya takbir muqayyad selepas solat Asar pada hari terakhir tasyrik, berdasarkan riwayat Ali dan ‘Ammar R.Anhuma:

كَانَ يُكَبِّرُ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ صَلَاةَ الْغَدَاةِ وَيَقْطَعُهَا صَلَاةَ الْعَصْرِ آخِرَ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ

Maksudnya: “Baginda SAW sentiasa bertakbir pada Hari ‘Arafah selepas solat al-Ghadah (Subuh) dan berhenti melakukannya selepas solat Asar hari terakhir bagi Hari-Hari Tasyriq.”

Riwayat al-Hakim (1125) dan beliau menilai sanadnya sebagai sahih

Justeru, kami katakan sebaik-baiknya takbir selepas solat dan selepas itu barulah berwirid. Walaubagaimanapun, jika ingin berwirid kemudian takbir juga dibolehkan. Wallahu a’lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H