Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kami dari pihak surau akan menganjurkan ibadah korban. Kami sekarang ada 2 ekor lembu dan harga setiap lembu berbeza (perbezaan hampir RM 500 tetapi berat keduanya hampir sama). Dan pihak surau meletakkan satu harga yang sama untuk setiap bahagian kedua-dua lembu tersebut. Adakah dibolehkan?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”
Surah al-Kauthar (2)
Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556).
Daripada Jabir R.A, katanya:
نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ
Maksudnya: “Kami melakukan korban bersama-sama Rasulullah SAW pada tahun Hudaibiyah dengan seekor unta untuk 7 orang dan seekor lembu untuk tujuh orang.”
Riwayat Muslim (1318)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan isu seperti ini lebih kepada persefahaman dan keredhaan. Biasanya, pihak masjid atau surau akan membeli lembu secara pukal yang telah digredkan sama ada A, B dan C. Atas kebijaksanaan pihak masjid atau surau, harga mungkin dapat dikurangkan mengikut kebolehan tawar-menawar yang berlaku. Jadinya, jika harga berdasarkan bentuk lebih kurang, maka itu sudah menjadi adat jual beli.
Cumanya, pada masa kini, adanya alat penimbang di mana julat antara seekor lembu dan seekor lembu biasanya tidak jauh apabila harga disetarafkan. Saya berpendapat hal ini bukanlah masalah besar, tetapi perlulah kefahaman yang baik dari sudut jual beli, tetap sah walaupun terdapat perbezaan besar kecil yang bersifat lebih kurang.
Sebab itu, kadang-kadang sebuah masjid bayarannya RM600 satu bahagian dan di tempat lain bayarannya RM550 satu bahagian. Sedangkan yang RM550 ini dagingnya lebih banyak daripada yang nilainya RM600. Ini kerana, pembelian berdasarkan kepada keredhaan. Hal ini berdasarkan hadith riwayat Abu Sa’id al-Khudri R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّمَا الْبَيْعُ عَنْ تَرَاضٍ
Maksudnya: Sesungguhnya jual beli itu apa yang diredhai oleh pembeli dan penjual.
Riwayat Ibn Majah (1792). Hadith ini dinilai Sahih berdasarkan kitab Sahih al-Jami’ (2323)
Akhirnya, perkara yang paling penting kita dapat menegakkan syiar Allah SWT dan membesarkan-Nya. Maka, balasannya sebagai lambang dan tanda ketaqwaan hati. Benarlah firman Allah SWT:
ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ
Maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar ugama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.”
(Surah al-Hajj: 32)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَائِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالَمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيهَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لَمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ .
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”
Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H