Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah beri sedikit pencerahan berkenaan isu di bawah berkenaan “SLoan for Sellers”? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu pengenalan ringkas berkenaan “SLoan for Sellers” ini. SLoan for Sellers oleh SeaMoney ialah perkhidmatan pinjaman modal kerja untuk peniaga di Shopee untuk mengukuhkan modal kerja jangka pendek mereka dan memberi mereka kapasiti kewangan yang lebih besar untuk meningkatkan dan mengembangkan perniagaan mereka. Penjual Shopee yang layak boleh memperoleh sehingga RM120,000 kemudahan pinjaman untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan kadar faedah nominal sehingga 18% p.a.
SLoan for Sellers ialah pembiayaan digital yang ditawarkan oleh SeaMoney Capital Malaysia Sdn Bhd, yang telah diberikan lesen pinjaman wang (No. WL7728/14/01-2/240225) di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan ( KPKT).[1]
Selain itu, turut dinyatakan bahawa kadar faedah yang mungkin dikenakan untuk pinjaman yang diberikan menurut Perkhidmatan, dengan kadar faedah sehingga 18% setahun (termasuk cukai). Shopee dan/atau SeaMoney berhak untuk menyemak semula kadar faedah yang dikenakan dari semasa ke semasa. Begitu juga Shopee dan/atau SeaMoney berhak untuk mengenakan sebarang caj tambahan lain dari semasa ke semasa, dan yuran tersebut mungkin berkaitan dengan duti setem yang perlu dibayar berkenaan dengan Perjanjian Pinjaman dan yuran pengesahan yang ditanggung berkaitan dengan Perjanjian Pinjaman.
Selain daripada itu, terdapatnya caj pembayaran lewat dan pengutipan semula jumlah tertunggak. Shopee dan/atau SeaMoney mungkin mengenakan caj lewat kepada peminjam, jika gagal membayar balik Penyata Bulanan anda sebelum tarikh tamat tempoh tidak kira sama ada amaun berkenaan dengan jumlah pinjaman pokok atau faedah pinjaman (“Caj Lewat”). Caj Lewat dikira pada kadar 8% setahun dari hari ke hari dari tarikh ingkar pembayaran balik sehingga jumlah tersebut dibayar. SeaMoney berhak untuk menyemak Caj Lewat dari semasa ke semasa.[2]
Selain itu juga, menurut Ridhwan Musa, penjual boleh mohon pinjaman mengikut credit tersedia yang telah ditetapkan dan bayar semula secara ansuran bulanan untuk tempoh 3, 6 atau 12 bulan. Seterusnya, penjual sasaran bagi produk pinjaman ini ialah penjual yang mempunyai prestasi bisnes yang mencukupi pemeriksaan risiko. Begitu juga Batch 1 yang disenaraiputihkan: 3,000 – 4,000 penjual, dan penjual Shopee yang tidak mempunyai mana-mana pinjaman dari bank untuk keperluan dana dalam kerja. Selanjutnya, faedah-faedah yang ditawarkan pula adalah seperti penjual mampu untuk memperoleh bantuan kewangan tanpa melalui pihak bank, membantu penjual tempatan meningkatkan pengaliran wang dan mengembangkan bisnes mereka dan mewujudkan kesan yang berganda untuk ekonomi yang lebih luas.[3]
Secara umumnya, riba dalam Islam terbahagi kepada dua iaitu riba hutang (ربا ديون) dan riba jualan (ربا بيوع). Kami memfokuskan perbincangan hanya pada riba hutang kerana persoalan di atas dilihat tertumpu pada isu ini. Riba hutang atau riba nasi’ah atau riba qard ialah pertambahan bersyarat yang diterima oleh pemiutang daripada penghutangnya sebagai balasan jangka masanya, dan jika penghutang tidak mampu membayar, pertambahan itu akan berlipat ganda dan berlipat ganda. Ia adalah riba yang diketahui pada zaman Jahiliyyah, maka oleh sebab itu ia kadang-kadang dipanggil juga sebagai riba jahiliyyah.[4]
Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, riba hutang ialah apabila hutang seseorang meminjam sejumlah wang daripada seseorang untuk tempoh tertentu dan dia perlu memulangkannya bersama bayaran tambahan yang ditetapkan, ataupun dia memberikan pemiutang bayaran tertentu sebagai faedah atau keuntungan sehingga dia memulangkan semua wang yang dipinjam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/83).
Bagi memudahkan kefahaman berkenaan riba qard ini, dinyatakan di sini dua situasi berikut:
- Ahmad meminjamkan RM1000 kepada Abu dan memintanya untuk membayar semula dengan jumlah RM1010. Maka, RM10 lebihan itu adalah riba.
- Ahmad meminjamkan RM1000 kepada Abu, dengan syarat ia hendaklah dilunaskan dalam tempoh dua bulan. Akan tetapi Abu terlewat untuk membayar hutangnya. Maka, Ahmad mengenakan caj tambahan sebanyak Rm10 kepada Abu sebagai denda kerana lewat bayar. Caj tambahan RM10 itu adalah riba.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami melihat terdapatnya unsur riba dalam “SLoan for Sellers”. Pertamanya, jumlah yang dipinjam adalah sebanyak RM 200000 dan jumlah yang diterima adalah sebanyak RM 198980 setelah ditolak caj tambahan yang berkaitan Perjanjian Pinjaman (Processing Fee). Kemudian jumlah yang perlu dibayar oleh peminjam adalah sebanyak RM 236,000. Pertambahan pembayaran sebanyak RM36,000 dilihat mempunyai unsur riba kerana mengambil manfaat keuntungan daripada pinjaman yang diberikan. Adapun caj tambahan (Processing Fee) termasuklah caj servis perkhidmatan dan seumpamanya sebanyak RM1,020 pula, sebahagian ulama kontemporari membenarkannya, dengan memenuhi syarat-syarat ketat yang berikut:
- Caj yang dikenakan itu hendaklah bertepatan dengan kos sebenar (actual cost), iaitu kos yang sepadan dengan kerja yang dilakukan. Tidak boleh mengenakan caj berdasarkan kepada risiko yang ditanggung.
- Caj yang dikenakan hendaklah berdasarkan kos langsung (direct cost) yang ditanggung oleh pemberi pinjaman untuk kepentingan pinjaman dan tidak boleh membebankan peminjam dengan kos tidak langsung (indirect cost) yang dibelanjakan oleh pemberi pinjaman untuk menjalankan keseluruhan perniagaannya, seperti perbelanjaan pentadbiran institusi awam, gaji semua pekerja, dan seumpamanya.
- Caj yang dikenakan tidak boleh dikenakan secara peratusan daripada jumlah pinjaman. Sebaliknya, ia hendaklah mengikut kadar sebenar kos pengurusan yang terlibat tanpa sebarang penambahan/peningkatan.
- Caj tidak boleh dikenakan berulang kali melainkan perkhidmatan berulang kali diberikan. Bank tidak boleh mengenakan bayaran berkala dengan alasan bahawa ia adalah kos pinjaman melainkan perbelanjaan berulang atau perkhidmatan diulang.
- Kos/Caj ini hendaklah ditentukan oleh ahli al-Khibrah iaitu akauntan dan pembiaya yang berpengalaman supaya caj yang dikenakan tidak berlebih-lebihan (daripada kadar yang sepatutnya).
- Boleh dikenakan caj dalam bentuk anggaran sekiranya sukar untuk meletakkan satu amaun yang pasti melainkan selepas akaun tutup pada penghujung tahun. Jadi, sekiranya amaun sebenar sudah diketahui, setiap lebihan perlulah dipulangkan semula kepada penghutang mengikut medium yang dipersetujui bersama.[5]
Keduanya, terdapat caj/yuran pembayaran lewat dikenakan kepada peminjam sekiranya melebihi tempoh pinjaman. Ini jelas dilihat mempunyai unsur riba yang dilarang dalam syarak iaitu riba qard (riba hutang) sebagaimana yang kami telah terangkan di atas.
Walau bagaimanapun, Majlis Penasihat Syariah (MPS) pada mesyuarat ke-4 bertarikh 14 Februari 1998, mesyuarat ke-95 bertarikh 28 Januari 2010 dan mesyuarat ke-101 bertarikh 20 Mei 2010 telah memutuskan bahawa pengenaan caj pembayaran lewat oleh institusi kewangan Islam yang merangkumi kedua-dua konsep gharamah (denda atau penalti) dan ta’widh (ganti rugi) adalah dibenarkan, tertakluk kepada perkara berikut:
- Ta’widh boleh dikenakan ke atas kelewatan pembayaran obligasi kewangan yang terhasil daripada akad-akad pertukaran (seperti jual beli dan sewaan) dan qard;
- Ta’widh hanya boleh dikenakan selepas tamat tempoh pelunasan hutang yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang berkontrak;
- Institusi perbankan Islam boleh mengiktiraf ta’widh sebagai pendapatan atas dasar ia dikenakan sebagai ganti rugi atas kerugian sebenar yang dialami oleh institusi perbankan Islam; dan
- Gharamah tidak boleh diambil kira sebagai pendapatan, sebaliknya perlu disalurkan kepada badan-badan kebajikan tertentu. (Lihat Resolusi Syariah dalam Kewangan Islam, Edisi Kedua, Terbitan Bank Negara Malaysia, hlm. 129-130).
Oleh yang demikian, buat masa kini, kami menasihatkan sebagai seorang Muslim, elakkanlah membuat pinjaman melalui perkhidmatan yang disediakan dalam Shopee melalui produk yang ditawarkan iaitu “SLoan for Sellers” kerana kami melihat di dalamnya terdapat unsur riba. Hal ini kerana terdapat larangan keras dalam agama Islam yang melarang penganutnya daripada mengambil apa-apa skim atau bantuan kewangan yang mengandungi unsur riba. Nabi SAW bersabda:
لعَن اللهُ آكلَ الرِّبا ومُوكِلَهُ وشاهدَهُ وكاتبَهُ
Maksudnya: “Allah melaknat pemakan riba, wakilnya, saksinya, dan penulisnya.”
Riwayat Ahmad (5/274)
Betapa dahsyatnya dosa riba, sehinggakan diisytiharkan orang tersebut sebagai mereka yang memerangi Allah SWT. Firman Allah SWT:
فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ
Maksudnya: “Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat).”
(Surah al-Baqarah: 279)
Ibn Kathir menukilkan bahawa Ali bin Talhah berkata: Daripada Ibn Abbas, katanya ‘فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ’, maksudnya siapa yang sentiasa berada dengan riba, dan dia tidak meninggalkannya, maka menjadi hak kepada pemerintah orang Islam untuk memintanya untuk bertaubat. Jika dia bertaubat, maka alhamdulilah, sebaliknya jika dia enggan, maka hendaklah dipancung lehernya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/550).
Kami juga mengambil kesempatan di sini mencadangkan kepada pihak Shopee dan/atau SeaMoney untuk melantik panel penasihat Syariah atau mana-mana badan syariah yang berautoriti bagi memantau, menyemak, menilai dan mengesahkan produk yang ditawarkan agar ia memenuhi piawaian syariah yang telah ditetapkan, khususnya apabila ia secara tidak langsung melibatkan sasaran penjual Shopee Muslim.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
[1] Lihat https://seller.shopee.com.my/edu/article/14034. Diakses pada 6 Julai 2023.
[2] Lihat https://help.shopee.com.my/portal/article/105073?previousPage=other%20articles. Diakses pada 6 Julai 2023.
[3] Lihat https://www.cikgushopee.my/sloan-for-sellers/. Diakses pada 6 Julai 2023.
[4] Lihat https://www.cilecenter.org/ar/resources/articles-essays/alrba-walfaydt-byn-alfqh-walaqtsad. Diakses pada 6 Julai 2023.
[5] Lihat https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=3073#.YWj0zBpBy5c. Diakses pada 6 Julai 2023. Lihat juga https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/5049-irsyad-al-fatwa-siri-ke-638-isu-syariah-berkaitan-pengunaan-shopee-pay-later. Diakses pada 6 Julai 2023.
Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H