#2173: Apa Itu Aib Menurut Islam?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terdengar seorang ustaz kata bahawa aib adalah perkara yang melibatkan dosa antara kita dengan Allah, tetapi jika dosa dengan antara manusia sahaja maka itu bukan aib.

Contoh kalau ada orang berhutang dengan kita, kemudian kita sebarkan di media sosial bahawa dia berhutang dengan kita. Perbuatan itu tidk dikira mendedahkan aib, bahkan itu adalah hak kita sebagai manusia.

Saya keliru, zaman sekarang seakan semua perkara itu dikira aib. Boleh saya minta penjelasan, apa itu aib yang sebenarnya dalam islam?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Aib menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud rasa hina atau malu akibat perbuatan keji dan sebagainya oleh seseorang anggota keluarga dan lain-lain.

Manakala menyebarkan aib menurut islam itu seakan suatu bentuk ghibah yang diharamkan. Rasulullah SAW telah menjelaskan perkara ini di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Baginda SAW bersabda:

أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟ قَالُوا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ

Maknanya: “’Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat? Para sahabat berkata: ‘Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya.’ Nabi SAW bersabda: ‘Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya’.” 

Riwayat Muslim (2589)

Dapat kita lihat bahawa aib ini adalah perkara yang boleh menjatuhkan maruah seseorang, di samping mendatangan rasa malu kepada orang yang rapat dengannya kerana ada sesuatu keadaan yang tidak elok padanya didedahkan atau diketahui umum. Ia akhirnya boleh menatijahkan kesan yang sangat negative sehingga membawa kepada gangguan mental atau memungkinkan ia berakhir dengan kematian.

Syara‘ menekankan umat islam keseluruhannya untuk menutup aib orang lain agar tiada yang mengetahui keburukannya kecuali Allah SWT.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَسْتُرُ عَبْدٌ عَبْدًا فِي الدُّنْيَا، إِلَّا سَتَرَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi di Hari Kiamat.”

Riwayat Muslim (2590)

Meskipun terdapat larangan membuka aib, tidaklah kami katakan bahawa ianya terpakai atas kesemua jenis aib. Mungkin terdapat aib yang mempunyai keperluan untuk diceritakan kepada pihak hakim bagi membela nasib orang yang dizalimi. Akan tetapi, membuat pendedahan dalam perkongsian di media sosial adalah pendekatan yang kurang sesuai, bahkan terdapat banyak cara lain anataranya berhubung secara terus dengan orang yang menzaliminya itu, atau boleh juga membuat pinjaman dan bayaran semula dengan kehadiran saksi yang sah.

Keharusan bagi mereka yang dizalimi ini berdasarkan firman Allah SWT:

۞ لَّا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَن ظُلِمَ ۚ وَكَانَ اللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا ‎﴿١٤٨﴾‏ إِن تُبْدُوا خَيْرًا أَوْ تُخْفُوهُ أَوْ تَعْفُوا عَن سُوءٍ فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ عَفُوًّا قَدِيرًا ‎﴿١٤٩﴾

Maksudnya: “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha mengetahui.Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa.”

(Surah al-Nisa’: 148-149)

Akan tetapi, pendedahan tersebut mestilah berasaskan bukti yang kukuh dan bukanlah sekadar tuduhan rambang. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ يُعْطَى النّاسُ بِدَعْوَاهُمْ، لَادَّعَى رِجَالٌ أَمْوَالَ قَوْمٍ وَدِمَاءَهُمْ، لَكِنَّ الْبَيِّنَةُ عَلَى الْمُدَّعِي وَالْيَمِينُ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

Maksudnya: “Jika diberikan kepada manusia (kebebasan) dalam dakwaan mereka, nescaya lelaki-lelaki akan mendakwa harta-harta suatu kaum dan darah mereka, akan tetapi perlu disertakan bukti atas orang yang mendakwa dan sumpah atas orang yang mengingkari.”

Riwayat al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra (10/252)

Apabila berhutang, sebaiknya kita melakukan seperti mana yang telah dianjurkan oleh syara‘ kepada kita. Allah SWT telah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ ۚ وَلَا يَأْبَ كَاتِبٌ أَن يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ اللَّهُ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya.”

(Surah al-Baqarah: 282)

Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa perintah Allah SWT bagi mereka yang melakukan pinjaman dengan bayaran tangguh (berhutang) adalah berbentuk irsyadi, iaitu panduan dan petunjuk bagi hamba-hambanya yang beriman. Hal ini supaya ianya lebih menjamin ketepatan jumlah pinjaman dan waktu yang dijanjikan, dan ia lebih baik untuk penyaksian dengannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/559)

Hal ini telah dijelaskan oleh Allah SWT seperti mana dalam firman-Nya:

ذَٰلِكُمْ أَقْسَطُ عِندَ اللَّهِ وَأَقْوَمُ لِلشَّهَادَةِ وَأَدْنَىٰ أَلَّا تَرْتَابُوا ۖ

Maksudnya: “Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu.”

(Surah al-Baqarah: 282)

Jelas di sini bahawa syara‘ telah menyediakan untuk kita jalan selamat ketika membuat pinjaman yang pastinya melibatkan hak antara manusia. Ini bertujuan menolak sebarang pendakwaan atau penafian yang tidak disertakan dengan apa-apa bukti bukti yang kukuh atau saksi yang membenarkan atau menafikan perkara tersebut.

Allah SWT juga menyebutkan di dalam ayat yang sama bahawa hutang piutang adalah lebih baik jika dilakukan dengan kehadiran beberapa orang saksi. Ini jelas berdasarkan firman-Nya:

وَاسْتَشْهِدُوا شَهِيدَيْنِ مِن رِّجَالِكُمْ ۖ فَإِن لَّمْ يَكُونَا رَجُلَيْنِ فَرَجُلٌ وَامْرَأَتَانِ مِمَّن تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاءِ أَن تَضِلَّ إِحْدَاهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحْدَاهُمَا الْأُخْرَىٰ ۚ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi.”

(Surah al-Baqarah: 282)

Imam Ibn Kathir menyatakan bahawa perintah Allah SWT untuk mengahdirkan saksi adalah bagi meningkatkan lagi sokongan (sesuatu dakwaan pinjaman tersebut). (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/561)

Adapun trend menyebarkan aib yang kian berjangkit di kalangan pengguna media sosial kini, maka ia merupakan salah satu bentuk sunnah sayyi’ah (ikutan yang buruk). Apatah lagi apabila kita melakukan perbuatan buruk tersebut, kemudian diikuti oleh orang lain, maka kita turut akan mendapat dosa mereka yang mengikuti kita. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Jarir bin Abdullah R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ، وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal denganya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun, dan barangsiapa yang memulakan dalam Islam suatu sunnah yang buruk, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan baginya dosa sesiapa yang beramal dengannya, tanpa berkurang dengan satu dosa suatu apa pun.

Riwayat Muslim  (1017)

Perlakuan menyebarkan aib di platform yang salah ini (seperti Facebook, Instagram dan Twitter) dikira sebagai kesalahan membuka aib yang tidak dibenarkan. Malahan ia dilihat sebagai suatu bentuk agenda untuk menjatuhkan aib air muka dan maruah seseorang itu. Sedangkan perbuatan ini jelas adalah penganiayaan terhadap saudara muslim kita yang lain. Rasulullah SAW telah berpesan kepada kita sebagai mana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma bahawa Baginda SAW bersabda:

الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لا يَظْلِمُهُ وَلا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Seorang muslim adalah saudara terhadap muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.”

Riwayat al-Bukhari (2442)

Betapa malangnya apabila adanya orang lain yang melihat perkongsian penyebaran aib tersebut kemudiannya cuba untuk mencari-cari dan menyelongkar aib orang tersebut. Mereka yang menyebarkan aib tersebut seakan telah membuka ruang untuk orang lain turut sama melakukan perkara yang ditegah oleh Nabi SAW. Sedangkan telah datangnya hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَتَبَّعَ عَوْرَةَ أَخِيهِ المُسْلِمِ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ، وَمَنْ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ وَلَوْ فِي جَوْفِ رَحْلِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.

Riwayat al-Tirmizi (2032)

Kesimpulan

Kami katakan, orang yang dizalimi bukanlah bermakna mereka diberikan tiket untuk menyebarkan aib orang yang berlaku zalim ke atasnya sesuka hati. Perbuatan tersebut tetap menjadi suatu kesalahan dan diharamkan kecuali dihadapan badan berautoriti yang berkuasa membantu merungkai kezaliman yang dilakukan dengan cara yang diizinkan oleh syara‘.

Terdapat beberapa keadan di mana seseorang itu dibenarkan membuka aib orang lain, kami ringkaskannya seperti berikut:

  • Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim.
  • Membantu dalam menentang perkara yang munkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar.
  • Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.
  • Mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka seperti mereka mengambil ilmu daripada bukan ahlinya.
  • Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.
  • Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya. Akan tetapi, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina. (Lihat Riyadh al-Solihin, hlm. 432)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ، وَأَهْلِي وَمَالِي، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ مِنْ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Maksudnya: “Ya Allah aku memohon keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah aku memohon kepada-Mu kemaafan dan keselamatan pada agamaku dan duniaku, pada ahli keluargaku dan hata bendaku. Ya Allah tutuplah auratku (aib dan kelemahan), dan amankanlah ketakutanku. Ya Allah peliharalah aku daripada bahaya yang datang dari hadapanku, dari belakangku, dari kananku, dari kiriku, dari atasku, dan aku berlindung dengan keagungan-Mu daripada tergelincir daripada bawahku.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H