#2177: Tafsiran Mimpi Membaca al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Semalam mimpi saya mengaji depan Datuk. Masuk dalam pejabat Datuk, saya duduk membaca quran, Datuk dengar sambil menyemak dokumen. Kita pernah jumpa sekali saja tahun 2018 rasanya. Itu pun sekejap sahaja. Sempat ambil gambar. Apakah maksud mimpi saya? 

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam hal ini, kami kemukakan hadith Nabi SAW, daripada Abu Qatadah bahawa Baginda bersabda:

الرُّؤْيَا الصَّادِقَةُ مِنَ اللهِ، وَالحُلْمُ مِنَ الشَّيْطَانِ.

Maksudnya: “Mimpi yang benar daripada Allah, dan mimpi yang buruk daripada syaitan.”

Riwayat al-Bukhari (6984)

Perlunya kita memahami jika ia baik adalah daripada Allah maka bolehlah kita ceritakan sebaliknya jika tidak, ia daripada syaitan, maka hendaklah kita berdoa berlindung daripadanya. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW, daripada Abu Sa‘id al-Khudri, bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda: 

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا يُحِبُّهَا، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ اللهِ، فَلْيَحْمَدِ اللهَ عَلَيْهَا وَلْيُحَدِّثْ بِهَا، وَإِذَا رَأَى غَيْرَ ذَلِكَ مِمَّا يَكْرَهُ، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّهَا، وَلاَ يَذْكُرْهَا لِأَحَدٍ، فَإِنَّهَا لاَ تَضُرُّهُ.

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kalian bermimpi melihat sesuatu yang disenanginya, maka sesungguhnya mimpi itu daripada Allah, kerana itu hendaklah dia memuji Allah dan menceritakannya. Dan apabila dia bermimpi melihat sesuatu yang tidak disenanginya, sesungguhnya mimpi itu daripada syaitan, maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada keburukannya dan tidak menceritakannya, kerana sesungguhnya mimpi itu tidak akan membahayakannya.”

Riwayat al-Bukhari (6985)

Mimpi yang baik sebagai berita gembira

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

لَمْ يَبْقَ مِنَ النُّبُوَّةِ إِلَّا المُبَشِّرَاتُ. قَالُوا: وَمَا المـُبَشِّرَاتُ؟ قَالَ: الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ.

Maksudnya: “Tiada yang berbaki daripada kenabian selain berita gembira.” Mereka bertanya: “Apa itu berita gembira?” Baginda menjawab: “Mimpi yang baik.”

Riwayat al-Bukhari (6990)

Dalam adab mentadbir mimpi antara perkara yang perlu ditekankan adalah bataskan apa yang berlaku dalam mimpi pada perkara yang penting dengan melihat berita gembira atau ancaman atau peringatan yang mungkin memberi manfaat di dunia atau di akhirat. Hindarkan sebarang bentuk yang menjadi kabur atau bercampur-aduk. 

Kami berpendapat dalam mimpi saudara, membaca al-Quran adalah mimpi yang baik. Ini kerana al-Quran sifatnya sebagai petunjuk, sama ada kepada manusia apatah lagi kepada orang-orang bertaqwa. Firman Allah SWT:

الم ‎﴿١﴾‏ ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ ‎

Maksudnya: “Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

Surah al-Baqarah (1-2)

Justeru, kami katakan teruskan mendekati al-Quran dengan membaca, tadabbur seterusnya mengamalkan al-Quran mengikut kemampuan saudara. Kami yakin insyaAllah kebaikan dalam hidup saudara apabila sentiasa bertemankan dengan al-Quran sebagai pedoman dan petunjuk kehidupan. Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT untuk kebaikan dunia dan akhirat kita.

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H