#2178: Kelebihan Zikir Tahlil (لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّه)

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya selalu mendengar orang berkata bahawa sebaik-baik zikir adalah dengan mengucapkan tahlil (لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّه). Boleh ustaz jelaskan, apa kelebihan bagi lafaz tahlil ini? 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dahulu beberapa lafaznya:

  • Antaranya, dengan lafaz:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّه

Maksudnya: “Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.”

  • Antara lain, dengan lafaz:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Tiada Tuhan melainkan Allah yang tunggal tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nyalah kerajaan dan puji-pujian, dan Dia berkuasa membuat segala sesuatu.”

  • Antara lain, dengan lafaz:

لَا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”

Surah al-Anbiya’ (87)

  • Antara lain, dengan lafaz:

لَا إِلهَ إِلَّا اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ الْمُبِينُ

Maksudnya: “Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Allah yang Maha Benar lagi Maha Nyata.” [1]

Riwayat Abu Nu’aim dalam bab Sifat al-Jannah, dan al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad, 12/358. Al-‘Iraqi dalam takhrij al-Ihya’ (1/144) menyebut: Padanya terdapat perawi bernama al-Fadhl bin Ghanim dan beliau adalah dha’if.

 

Kelebihan Mengucapkan Zikir Tahlil

Dalam menjawab persoalan di atas, antara kelebihannya adalah:

  • Lebih berat daripada tujuh lapis langit dan bumi

Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَنَّ نُوحاً عَلَيْهِ السَّلَام قَالَ لابنِهِ عِندَ مَوتِهِ: آمُرُكَ بِـ «لا إِلَهِ إِلاَّ الله»، فَإِنَّ السموات السَّبعَ وَالأَرَضِينَ السَّبعَ لَو وُضِعْنَ في كِفَّةٍ وَوُضِعَت «لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله» في كِفَّةٍ لَرَجَحَت بِهِنَّ لا إِلَهَ إِلاَّ الله .

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Nuh AS pernah berkata kepada putera beliau ketika beliau akan meninggal dunia: Aku perintahkan dirimu dengan kalimat ‘لا إِلَهِ إِلاَّ الله’ kerana tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi seandainya diletakkan di daun timbangan dan kalimat ‘لا إِلَهِ إِلاَّ الله’ di daun timbangan yang lain maka kalimat ‘لا إِلَهِ إِلاَّ الله’ lebih berat dari tujuh lapis langit dan bumi.”

Riwayat Ahmad (2/170) dan dinyatakan sebagai sahih dalam al-Silsilah al-Sahihah (134)

 

  • Dapat menyingkap tabir sehingga sampai kepada Allah SWT.

Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Nabi SAW:

مَا قَالَ عَبْدٌ : لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ قَطُّ مُخْلِصًا إِلَّا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ السَّمَاءِ حَتَّى تُفْضِيَ إِلَى الْعَرْشِ مَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

Maksudnya: “Tidaklah seorang hamba mengucapkan ‘لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّه’ dengan ikhlas melainkan dibukakan baginya pintu-pintu langit hingga sampai kepada Arsy selama mana dia meninggalkan dosa-dosa besar.”

Riwayat al-Tirmizi (3590) dan al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10669). Dinyatakan sebagai hasan dalam Sahih al-Jami’ (5648)

  • Merupakan sebab keselamatan dari api neraka bagi yang mengucapkannya.

Daripada ‘Itban bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ حَرَّمَ عَلَى النَّارِ مَنْ قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ يَبْتَغِي بِذَلِكَ وَجْهَ اللَّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengharamkan neraka atas orang-orang yang mengucapkan لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّه yang dia mengharapkan wajah Allah.”

Riwayat al-Bukhari (6938) dan Muslim (33)

  • Merupakan cabang iman yang paling tinggi.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ، أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً، فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ.

Maksudnya: “Iman itu mempunyai 70 cabang lebih atau 60 cabang lebih. Dan yang paling afdhal/tinggi adalah ucapan: لَا إِلَهَ إِلَّا الله.

Riwayat Muslim (35) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (598)

  • Merupakan zikir yang paling afdhal.

Daripada Jabir bin Abdillah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَفْضَلُ الذِّكْرِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَفْضَلُ الدُّعَاءِ الْحَمْدُ لِلَّهِ

Maksudnya: “Zikir yang paling mulia adalah لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّه dan doa yang paling afdhal adalah الْحَمْدُ لِلَّه.”

Riwayat al-Tirmizi (3383) dan Ibn Majah (3800). Dinyatakan sebagai hasan dalam Sahih al-Jami’ (1104)

  • Menjadi sebab untuk dapat memperoleh syafaat Rasulullah SAW.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ أَسْعَدَ النَّاسِ بِشَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ قَالَ : لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ خَالِصًا مِنْ قِبَلِ نَفْسِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang paling berbahagia dengan syafaatku pada hari kiamat adalah orang yang mengucapkan ‘لا إِلَهَ إِلا اللَّه’ ikhlas dari lubuk hatinya.”

Riwayat al-Bukhari (99)

  • Menjadi kunci syurga.

Daripada Uthman bin Affan R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ لاَ إِلٰهَ إِلاَّ الله دَخَلَ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mati dan dia mengetahui tentang لاَ إِلٰهَ إِلاَّ الله maka dia masuk surga.”

Riwayat Muslim (26)

  • Memperoleh kebaikan yang banyak

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَالَ : لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ، فِي يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ ، كَانَتْ لَهُ عَدْلَ عَشْرِ رِقَابٍ ، وَكُتِبَتْ لَهُ مِائَةُ حَسَنَةٍ ، وَمُحِيَتْ عَنْهُ مِائَةُ سَيِّئَةٍ ، وَكَانَتْ لَهُ حِرْزًا مِنَ الشَّيْطَانِ يَوْمَهُ ذَلِكَ حَتَّى يُمْسِيَ ، وَلَمْ يَأْتِ أَحَدٌ بِأَفْضَلَ مِمَّا جَاءَ بِهِ ، إِلَّا أَحَدٌ عَمِلَ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengucapkan: ‘لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ’ sebanyak 100 kali dalam sehari maka baginya pahala seperti pahala orang yang memerdekakan 10 hamba sahaya dan dituliskan baginya 100 kebaikan, dihapus darinya 100 keburukan, dan baginya pelindung daripada syaitan pada hari itu hingga petang hari. Dan tidak ada seorang pun yang dapat menandinginya melainkan yang mengamalkan lebih dari itu.”

Riwayat al-Bukhari (3293), Muslim (2691) dan al-Tirmizi (3468)

 

  • Merupakan sebaik-baik ucapan bagi Rasulullah SAW dan para Nabi sebelum Baginda

Daripada ‘Amr bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Sebaik-baik perkataan yang diucapkan oleh aku dan para Nabi sebelumku adalah: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ (Tiada Tuhan melainkan Allah, Dia Esa dan tiada sekutu bagi-Nya, Dia memiliki Kerajaan dan segala puji adalah untuk-Nya, dan Allah Maha berkuasa atas segala sesuatu).[2]

Riwayat al-Tirmizi (3585), Ahmad (6961), Malik dalam al-Muwatta’ (726) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan (8391). Dinilai sebagai hasan dalam Sahih al-Tirmizi.

Semoga kita dapat sentiasa melazimi zikir ini dan zikir-zikir lain dalam kehidupan kita agar dapat meraut ganjaran dan kelebihannya yang banyak, sebagaimana yang telah dijelaskan di atas. Amin.

Kami akhirinya dengan doa: 

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذكركَ ، وَشُكْركَ ، وَحُسْن عِبَادَتِكَ 

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu,bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

 

 

[1] Daripada Ali R.A,katanya: Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَالَ فِي يِوْمٍ مِئَةَ مَرَّةٍ: “لَا إلَهَ إلَّا اللهُ الحَقُّ المُبِينِ” كَانَ لَهُ أمَاناً مِنْ الفَقْرِ، وَاسْتَجْلَبَ بِهِ الغِنَى، وَأَمِنَ مِنْ وَحْشَةِ القَبْرِ، وَاسْتَقْرَعَ بَابَ الجَنَّةِ

Maksudnya: “Barang siapa berkata pada satu hari seratus kali: ‘لَا إِلهَ إِلَّا اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ الْمُبِينُ’ maka ia keamanan buatnya daripada kefakiran, dia meraih dengannya kekayaan, selamat daripada keperitan kubur dan dengannya dia akan dapat mengetuk pintu syurga.”

(Riwayat Abu Nu’aim dalam bab Sifat al-Jannah, dan al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad, 12/358. Al-‘Iraqi dalam takhrij al-Ihya’ (1/144) menyebut: Padanya terdapat perawi bernama al-Fadhl bin Ghanim dan beliau adalah dha’if)

[2] Dalam riwayat lain, Imam Malik dalam al-Muwatta’ (726) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan (8391) meriwayatkan daripada Talhah bin Ubaidillah bin Kariz, bahawa Rasulullah SAW bersabda: ‘وَأَفْضَلُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ’

Al-Qadhi ‘Iyadh menyebutkan dalam Ikmal al-Mu’lim (8/192), hadith ini menunjukkan bahawa sebaik-baik zikir ialah tahlil — iaitu “لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ”. Ia adalah sebaik-baik zikir yang diucapkan oleh Baginda SAW dan para nabi sebelumnya. Dikatakan juga ia adalah nama Allah yang paling agung dan ia merupakan kalimah tauhid.

Al-San‘ani menyatakan dalam Subul al-Salam (2/704), ia adalah kalimah tauhid dan ikhlas, serta ia merupakan nama Allah yang paling agung.

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H