#2182: Memberi Ubat Penenang kepada Haiwan Sebelum Disembelih

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, boleh atau tidak diberi ubat penenang/ubat tidur (seperti yang dibuat di beberapa negara) kepada haiwan yang akan kita lakukan sembelihan, contoh haiwan sembelihan korban. Memandangkan ibadah korban dibuat setahun sekali, jadi kebanyakan tukang sembelih dan pembantu mungkin agak kekok dan secara tidak langsung seolah-olah menyakiti haiwan sewaktu proses mengikat dan menumbangkan haiwan. Hingga ada orang yang melihatnya berhenti memakan daging lembu selama bertahun-tahun kerana sangat terkesan melihat proses tersebut. Tujuan soalan ini adalah ingin mengetahui jika ini dibenarkan dan sama ada ada cara yang nampak lebih lembut untuk melakukan ibadah korban. Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Suruhan berbuat baik kepada semua makhluk termasuklah haiwan

Sebagai umat Islam kita dituntut untuk berbuat baik kepada semua makhluk, tidak kira orang Islam atau orang bukan Islam, termasuklah haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”

Surah al-Nahl (90)

Menurut al-Sa‘di, berbuat baik itu adalah seperti seseorang memberi manfaat kepada orang lain dengan hartanya, tubuh badannya, ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya suruhan berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya — yakni haiwan yang tidak dimakan. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/447)

Selain itu, berbuat baik kepada haiwan termasuk dalam akhlak dan sikap yang baik. Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya:Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”

Riwayat al-Bukhari (5997)

Hadith ini menunjukkan supaya bersikap rahmat — yakni belas kasihan — sesama manusia, bahkan juga kepada haiwan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ia adalah suatu sikap dan akhlak yang baik lagi terpuji. Sesungguhnya Allah SWT telah memuji rasul-Nya yang bersikap sedemikian melalui firman-Nya:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.

Surah al-Taubah (128)

Manakala lawannya iaitu sikap keras hati yang merupakan hukuman Allah ke atas orang Yahudi tatkala mereka mencabuli perjanjian setia, sebagaimana firman Allah SWT:

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً

Maksudnya:Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran).

Surah al-Ma’idah (13)

Oleh itu, rahmat — yakni bersikap kasih sayang dan mengasihi — itu merupakan kelebihan dan sifat yang baik, sedangkan keras hati itu pula ialah sifat yang buruk. Justeru, bersikap rahmat kepada haiwan, antaranya adalah dengan memberinya makan dan minum, mengubati lukanya, tidak membebankan haiwan tersebut di luar kemampuannya. (Lihat al-Adab al-Nabawi, hlm. 122-123)

Begitu juga, kita tidak boleh sewenang-wenangnya membunuh haiwan melainkan dengan tujuan bagi mendapat manfaat daripadanya seperti untuk memakannya. Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَا مِنْ إِنْسَانٍ قَتَلَ عُصْفُورًا فَمَا فَوْقَهَا بِغَيْرِ حَقِّهَا إِلَّا سَأَلَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَنْهَا قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ! وَمَا حَقُّهَا؟ قَالَ: يَذْبَحُهَا فَيَأْكُلُهَا وَلَا يَقْطَعُ رَأْسَهَا يَرْمِي بِهَا

Maksudnya: “Tidaklah seseorang membunuh burung pipit dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah haknya?’ Baginda menjawab: ‘Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.’”

Riwayat al-Nasa’i (4349)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya kita turut dituntut untuk berlaku ihsan atau berbuat baik ketika hendak menyembelih haiwan. Dalam erti kata lain, mematikannya dengan cara yang terbaik iaitu dengan menggunakan pisau yang tajam, tidak memperlihatkannya ketika disembelih kepada haiwan yang lain, dan seumpamanya. Rasulullah SAW ada bersabda mengenai perkara ini:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu menajamkan pisau dan mengistirehatkan sembelihannya.”

Riwayat Muslim (1955)

Hadith ini secara jelas menunjukkan kepada kewajipan berlaku ihsan kepada setiap makhluk, termasuklah juga kepada haiwan kerana pada saat ia hendak disembelih pun, kita dituntut untuk berlaku ihsan kepada haiwan tersebut. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar, 1/127)

Selain itu, al-Nawawi juga ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan bahawa haiwan sembelihan itu hendaklah direhatkan dengan cara menajamkan pisau dan menyegerakan proses sembelihannya. Begitu juga disunatkan untuk tidak menajamkan pisau di hadapan haiwan yang ingin disembelih dan tidak menyembelih haiwan dengan keberadaan haiwan yang lain. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/92)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Abbas R.A, ketika mana Rasulullah SAW berjalan di hadapan seorang lelaki yang meletakkan kakinya di atas paha seekor kambing dan mengasah pisau di hadapannya. Lalu Baginda SAW bersabda:

أَتُرِيدُ أَنْ تُمِيتَهَا مَوْتَاتٌ هَلَّا حَدَّدْتَ شَفْرَتَكَ قَبْلَ أَنْ تُضْجِعَهَا

Maksudnya: “Adakah kamu ingin mematikannya berkali-kali, tidakkah kamu menajamkan pisau sembelihan sebelum kamu membaringkannya (untuk sembelih)?”

Riwayat al-Hakim (7570)

Dalam menjawab persoalan ini, jelaslah bahawa syarak memerintahkan agar bersikap ihsan terhadap haiwan yang hendak disembelih dengan tidak menyeksanya dengan apa jua cara sama ada melalui pisau yang tumpul, atau mengasah pisau di hadapannya, atau menyembelihnya di hadapan haiwan yang lain dan seumpamanya. Islam tidak menetapkan kaedah khusus ataupun cara-cara tertentu berkenaan proses penyembelihannya, melainkan sembelihan yang dilakukan itu, mesti memenuhi syarat-syarat sembelihan yang telah ditetapkan bagi menjadikannya halal untuk dimakan seperti menyebut nama Allah ketika menyembelihnya, sembelihan menggunakan alatan yang tajam, dan lain-lain. Jika haiwan-haiwan itu memenuhi syarat-syarat sembelihan, maka ia adalah sah dan halal untuk dimakan.

Berkenaan dengan hal ini juga, di sana terdapat kes yang hampir serupa dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) telah memutuskan bahawa:

  1. Kaedah stunning jenis Penetrative Captive Bolt dan Non Penetrative Captive Bolt (Mushroom Head Gun) adalah haram dan tidak dibenarkan kerana ia boleh menyebabkan kematian haiwan.
  2. Hanya kaedah Kejutan Elektrik (Electrical Stunning) sahaja dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
  3. Stunner yang digunakan adalah jenis kejutan di kepala sahaja (head only stunner).
  4. Kekuatan arus elektrik hendaklah dikawal (tidak boleh melebihi had yang ditetapkan) iaitu antara 0.75 empere untuk kambing, 2.0 ampere untuk lembu dan tempoh masa aliran elektrik ialah antara 3-6 saat; dan
  5. Perlu dikawalselia oleh petugas Muslim yang bertauliah.
  6. Kaedah Waterbath Stunning untuk ayam dan itik (poultry) adalah diharuskan dengan syarat:
  7. Kekuatan arus elektrik adalah dikawal supaya tidak mematikan haiwan; dan
  8. Perlu dikawalselia oleh petugas Muslim yang bertauliah.
  9. Penggunaan dadah dan karbon dioksida dalam prosedur sembelihan adalah diharuskan dengan syarat tidak menyeksa atau mematikan haiwan tersebut.[1]

Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa tidak mengapa menggunakan ubat penenang atau ubat tidur ke atas haiwan yang hendak disembelih sebelum menyembelihnya, dengan syarat ubat tersebut dosnya tidak menyebabkan haiwan tersebut terseksa mahupun mematikannya. Hal ini kerana ubat tersebut hanya bertindak sebagai alat untuk melemahkannya, lalu memudahkan proses penyembelihan dilakukan dan bukannya mematikannya. Di samping itu, penggunaan dos yang betul memerlukan kepada pengawalseliaan petugas Muslim yang bertauliah.

Sekalipun begitu, tidak menggunakan ubat penenang atau apa-apa ubat ke atas haiwan sebelum disembelih adalah lebih baik. Sebaliknya, gunakanlah cara atau alternatif lain bagi mengekang pergerakan haiwan tersebut ketika hendak disembelih seperti penggunaan sangkar khas sembelihan mudah alih, ruangan sembelihan khusus di pusat penyembelihan dan seumpamanya.

Tidak dapat dinafikan, agama Islam menuntut umatnya untuk berbuat baik atau berlaku ihsan kepada haiwan dengan mematikannya dengan cara yang paling terbaik. Hal ini termasuklah cara memperebahkannya, memegangnya ketika sembelihan, menggunakan pisau yang tajam, tidak menyembelihnya di hadapan haiwan korban yang lain dan lain-lain. Pada masa yang sama, kami juga menyarankan orang-orang lama atau mereka yang berkemahiran dalam menguruskannya tampil memberi tunjuk ajar kepada orang-orang lain terutamanya yang masih baru sekali gus memandu mereka dalam menguruskan proses penyembelihan haiwan-haiwan korban, agar ia lebih efisien dan berkesan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15293. Diakses pada 6 Julai 2023.

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H