#2184: Imam al-Laith dan Nasihatnya kepada Khalifah Harun al-Rasyid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya pernah dengar al-Laith pernah menasihatkan kepada Khalifah Harun al-Rasyid. Boleh ustaz terangkan siapa itu al-Laith dan apa nasihatnya serta komentar?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا 

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

Surah al-Ahzab (23)

Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50)

Imam Al-Laith bin Sa’d lahir pada tahun 94 H dan meninggal dunia pada tahun 175 H. Beliau ialah Syeikh al-Islam al-Imam al-Hafiz al-’Alim Abu al-Harith al-Laith bin Sa’d bin ‘Abd al-Rahman al-Fahmi al-Qalqasyandi. Beliau hidup sezaman dengan Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Beliau termasuk dalam kalangan imam fiqh dan mujtahid besar pada zamannya. Hanya sahaja mazhab Imam al-Laith tidak dapat bertahan sehingga sekarang. Imam al-Syafi’i berkata, “Imam al-Laith dalam hal fiqh melebihi Imam Malik.” Namun sayangnya, murid-muridnya tidak berjaya meneruskan ilmu dan mazhab guru mereka. Beliau terkenal dengan sifat pemurah dan sering berinfaq dalam jumlah yang banyak kepada golongan fakir miskin dan yang memerlukan. Al-Laith pernah berguru dengan Ibn Abi Mulaikah. 

Selain seorang ulama besar, Imam al-Laith adalah seorang tokoh perniagaan yang berjaya dan pemurah. Pendapatan Imam al-Laith bin Sa’ad hasil daripada perusahaannya setiap tahun tidak kurang daripada 80,000 dinar. Namun, beliau tidak pernah membayar zakat yang telah Allah SWT wajibkan walaupun hanya satu dirham. Ini kerana, pada setiap tahun, disebabkan beliau begitu banyak bersedekah dan berinfak di jalan Allah SWT, hartanya dan untung perniagaannya hampir habis dan tidak pernah mencapai nisab untuk dizakatkan. (Lihat Tarikh Dimasyq, 50/377, Tarikh Baghdad, 14/524, Hilyah al-Auliya’, 7/319 dan Siyar A’lam al-Nubala, 7/213).

Imam Al-Laith bin Sa’d, seorang ulama’ besar Mesir telah menemui Harun Al-Rasyid lalu baginda bertanya kepadanya: “Bagaimanakah cara memperbaiki negerimu?” Al-Laith menjawab: “Wahai Amirul Mukminin. Cara memperbaiki negeri kita adalah ibarat pengaliran air Sungai Nil. Kebaikan unsan aliran hulu sungai adalah bermakna memperbaiki pemerintahan kerana dari hulu sungailah datangnya kekeruhan, sekiranya hulu sungai jernih, jernihlah air yang mengalir daripadanya

Al-Rasyid berkata: “Benarlah engkau wahai Abu Al- Haris” (Lihat Hilyah al-Awliya, 7/322)

Demikianlah cara dan sikap ulama’ zaman lalu menghadapi pemerintahan yang mengandungi pengajaran dan contoh teladan yang baik.

Aku berkata: Untuk menghadapi pemerintah, mestilah tahan menerima segala akibat dan risikonya. Mungkin pada mulanya dibuat dengan niat baik, kemudian sikap itu berubah kerana memuliakan pemerintah dan mengharapkan sesuatu dari mereka. Akhirnya orang alim yang berkenaan tidak dapat menahan dirinya daripada menyanjung dan mengampu mereka, mendiamkan diri dan tidak mahu mengkritik mereka

Sebab itulah Imam Sufian al-Thauri berkata: “Aku tidak takut dari gangguan (penghina) mereka kepadaku, tetapi aku takut dari kurniaan mereka lalu hatiku condong kepada mereka. (Lihat Talbis al-Iblis, hlm.122)

Tetapi sekiranya orang alim itu mengetahui kedudukan dirinya, kekuatan imannya, kepercayaan kepada dirinya dan syari’at memerlukannya maju ke depan menemui pemerintah, malah kita berpendapat bahawa tidak ada halangan untuk menemui pemerintah. Kerana ulama’ kita di zaman yang lalu telah datang menemui pemerintah dengan niat baik ini. (Lihat Islam Di Antara Ulama dan Pemerintah, hlm. 291)

Semoga Allah SWT menajdikan kita sentiasa berpaut dengan kebenaran serta mengamalkan sifat saling nasihat-menasihati. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَائِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ، عَالَمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لَمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H