#2186: Nasihat Salman RA Kepada Saidina Umar RA

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya terbaca kisah Saidina Umar RA pernah ditegur oleh sahabat bernama Salman al-Farisi, bagaimana kisahnya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman:

إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksudnya: “Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Surah al-Asr (3)

Salman Al-Farisi merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW. Lahir pada abad ke-7 di sebuah kampung bernama Jayyan. Beliau berasal dari negeri Parsi. Pernah di masa hidupnya, Salman telah diberi jawatan sebagai Gabenor di salah sebuah jajahan takluk Islam. Namun demikian kedudukannya itu tidak sedikit pun mengubah keperibadiannya yang penyantun, rendah diri, serta zuhud terhadap kemewahan dunia. 

Salman dikatakan lahir pada abad ke-7 di sebuah kampung bernama Jayyan yang terletak di Isfahan, Parsi. Ulama’ sejarah telah khilaf berkenaan tahun kewafatan Salman Al-Farisi iaitu pada tahun ke 33 atau 36 atau 37 Hijrah di Madain, semasa pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan. Berkenaan dengan usianya ketika wafat juga menjadi khilaf di kalangan ulama’. Ada yang menyatakan usianya 80 tahun lebih. Terdapat pendapat yang gharib (ganjil) usianya adalah 350 tahun, ini pendapat al- ‘Abbas ibn Yazid al-Bahrani dan ada yang menyatakan usianya 250 tahun. Imam al-Zahabi mentarjihkan usianya sekitar 80 tahun lebih dan meninggal dunia pada zaman pemerintahan Uthman 36 Hijrah di al-Madain. 

Khalifah Umar dan Salman al-Farisi

Di antara sejumlah rampasan perang yang telah diperolehi oleh tentera Islam ialah kain dari Yaman. Amirul mukminin Umar RA membahagi-bahagikan rampasan ini dengan adil, sementara beliau sendiri mendapat sebahagian daripadanya. Abdullah bin Umar juga mendapat bahagian yang seperti yang diperolehi oleh umat Islam yang lain. Oleh kerana Saidina Umar berperawakan tinggi, lalu beliau meminta bahagian anaknya Abdullah bin Umar untuk dibuat pakaian yang mencukupi baginya.

Semasa beliau berpidato di hadapan manusia, beliau memakai pakaian yang dibuat dari kain tersebut itu lalu beliau berkata setelah memuji Allah SWT dan berselawat kepada Rasulullah SAW: “Wahai sekalian manusia dengarlah dan taatlah…”

Serta-merta Salman Al-Farisi berdiri dan memotong ucapannya untuk mengoreksinya lantas berkata kepada beliau: “Kami tidak akan mendengar dan taat kepadamu.” Dengan hairan Saidina Umar bertanya: “Kenapa?”

Salman berkata: “Dari manakah engkau mendapat baju ini padahal engkau hanya mendapat satu potong kain sahaja, sedangkan engkau seorang lelaki yang tinggi (yang memerlukan dua potong kain – pent.).”

Saidina Umar berkata: “Jangan gopoh.” Lalu beliau memanggil puteranya: “Wahai Abdullah.” Maka tidak ada orang menjawabnya.

Lalu dia berkata: “Wahai Abdullah bin Umar”. Lalu dia menjawab: “Inilah aku wahai amirul mukminin.”

Saidina Umar berkata: “Kerana Allah SWT jawablah dan hal baju yang aku pakai ini adalah kainmu?” Lalu dia berkata “Allahuma. Ya.” Salman pun berkata: “Sekarang suruhish supaya kami dengar dan taat.” (Lihat ‘Uyun al-Akhbar, 1/55)

Jika seorang berkata, itulah Umar, maka dialah yang tiada tandingannya dan Salman pula, maka dialah sahabat yang mulia yang telah kami perkatakan.

Semoga Allah SWT merahmati kedua-dua sahabat ini yang sentiasa ingin menegakkan kebenaran dan menjarak daripada sebarang bentuk kezaliman. Marilah sama-sama kita berdoa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: ““Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H