#2187: Hatit Menasihati Hajjaj bin Yusuf

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat seorang alim bernama Hatit (حطيط) menasihatkan Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

Surah al-Ahzab (23)

Seorang alim yang muda yang bernama Hatit al-Zayyat, telah dibawa kepada Al-Hajjaj (panglima agung kerajaan Umaiyah yang zalim dan kejam). Semasa beliau masuk menghadap kepadanya. Al-Hajjaj bertanya: “Engkau Hatit?” “Ya.” Jawab Hatit dan terus berkata: “Tanyalah apa yang kamu suka kerana aku telah berjanji kepada Allah SWT di maqam ini di atas tiga perkara: Apabila aku disoal, aku bercakap benar, apabila aku diuji aku bersabar dan apabila aku diberi kesihatan dan kelapangan, aku bersyukur.”

“Bagaimana pendapat engkau terhadap aku?” Tanya Al Hajjaj. Hatit menjawab: “Aku berpendapat bahawa engkau adalah dari musuh-musuh Allah SWT di bumi ini. Engkau bangga kerana mencabul kehormatan dan membunuh orang.”

Al-Hajjaj bertanya lagi: “Apakah pula pendapatmu mengenai amirul mukminin Abdul Malik bin Marwan?” Hatit menjawab: “Dosanya lebih besar daripadamu kerana engkau hanyalah melakukan satu kesalahan dari berbagai kesalahannya.”

Selepas itu Al-Hajjaj memerintahkan supaya Hatit diseksa. Tubuhnya ditikam-tikam dengan buluh runcing kemudian dagingnya dicucuk lalu diikat dengan tali. Mereka mencungkil dan melapah dagingnya tanpa mendengar apa yang diucapkan oleh Hatit. Setelah diberitahu oleh al-Hajjaj bahawa Hatit sudah berada di ambang kematiannya, al-Hajjaj berkata: Keluarkanlah dia, dan campakkan dia ke pasar.”

Jaafar berkata: (perawi kisah ini): Maka aku mendatanginya bersama seorang sahabatnya lalu kami bertanya kepadanya: “Hai Hatit, apakah yang kau mahu? “Seteguk air. “Jawabnya. Mereka pun memberi air kepadanya. Lalu dia mati syahid, padahal beliau baharu berumur lapan belas tahun. Semoga Allah SWT memberi rahmat bahagia kepadanya,

Mati syahid pada jalan Allah SWT telah dicapai oleh Hatit. Inilah kezaliman di antara berbagai kezaliman yang telah dibuat oleh Al-Hajjaj. Dia menanggung sendiri dosa dan azabnya pada hari berhimpunnya orang-orang yang bersengketa di hadapan Raja Yang Maha Kuasa dan Yang Maha Adil. (Lihat Islam Di Antara Ulama dan Pemerintah, hlm. 184-185)

Ini mengingatkan kita betapa mereka menegakkan kebenaran walaupun berada dalam keadaan yang amat tertekan. Sekali pun mereka diseksa mereka tetap berprinsip dan meyakini janji Allah SWT. Golongan seperti inilah yang telah dinyatakan oleh Allah SWT:

وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَن يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ ‎

Maksudnya: “Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!

Surah al-Buruj (8)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H