#2188: Khalifah Abu Ja’far Dengan Seorang Ulama Ibn Tawus

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Siapakah dia Ibn Tawus sehingga mampu menasihatkan kepada Khalifah Abu Ja’far?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksudnya: “Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Surah al-Asr (3)

Thawus bin Kisan

Nama penuh beliau ialah Abu Abdul Rahman Tawus bin Kisan al-Yamani al-Humairi al-Jundi, maula Bahir bin Raisan, ada juga pendapat yang mengatakan beliau ialah maula Hamdan.

Ibnu Abi Hatim dalam kitabnya al-Thiqat menyebut bahawa ibunya dari keturunan Parsi yang telah dipersiapsediakan oleh Kisrar. Mereka dihantar bersama Saif bin Ziyazan untuk mengusir golongan Ahbash di Yaman. Lantas, mereka menetap di sana dan beranak-pinak. 

Mengikut Ibn Jauzi, nama sebenarnya adalah Zakwan sedangkan Tawus adalah laqabnya (gelarannya). Thawus dalam bahasa Melayu bermaksud burung merak. Yahya bin Main berkata, “Sebab dinamakan beliau dengan Thawus kerana ia seolah-olah Thawus kepada qurra’ atau pembaca-pembaca al-Quran yang mahir.”

Tawus bin Kisan adalah ulama’ terkemuka yang dilahirkan pada zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab atau zaman pemerintahan Uthman bin Affan tanpa dapat dikenalpasti tarikh sebenarnya.

Tawus bin Kisan telah wafat di kota Makkah al-Mukarramah pada tahun 106 H. Ketika beliau melaksanakan haji sama ada berada di Muzdalifah atau Mina pada 7 Zulhijjah, beliau telah diusung olah Abdullah bin al-Hasan al-Muthanna sehingga ke perkuburan. Ketika itu, Khalifah adalah Hisham bin Abdul Malik yang melaksanakan ibadat haji dan telah menunaikan solat jenazah kepadanya.

Ibn Syu’zib berkata, “Aku menyaksikan jenazah Tawus di Makkah pada tahun 150 H, orang ramai menyebut-nyebut dan memuji beliau. Semoga Allah SWT merahmati Abu Abdul Rahman, dia telah mengerjakan haji sebanyak 40 kali.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 5/45)

Khalifah Abu Jaafar al-Mansur dan Alim Ibnu Tawus.

Telah diriwayatkan bahawasanya Abu Jaafar al-Mansur (khalifah Abbasiyah yang kedua) telah memanggil Ibn Tawus, salah seorang ulama’ zamannya bersama Imam Malik bin Anas RA. Semasa kedua-duanya menemuinya, baginda diam sesaat, kemudian memandang kepada Ibn Tawus lalu berkata kepadanya: “Beritahu kepadaku tentang bapamu (Ibn Kaisan Al-Tabi’i).” Ibn Tawus berkata: Ayahku telah memberitahuku bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda:

أَشَدُّ النَّاسِ عَذَابًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ رَجُلٌ أَشْرَكَهُ اللهُ فِي حُكْمِهِ فَأَدْخَلَ عَلَيْهِ الجور في عَدْلِهِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya manusia yang paling keras azabnya pada hari kiamat, iaitu seorang laki-laki yang telah diberi kekuatan oleh Allah SWT lalu dia memasukkan kezaliman di dalam keadilannya.” 

Riwayat Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’, (4/15), daripada Tawus Rahimahullah.

Lalu dia diam sesaat. Maka berkatalah Imam Malik: “Aku menyingsingkan bajuku kerana takutkan percikan darahnya.”

Kemudian Abu Jaafar memandang kepadanya sambil berkata: “Beri nasihat kepadaku wahai Ibn Tawus.” berkata: “Wahai Amirul Mukminin.” Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman:

أَلَمْ تَرَكَيفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ الَّتِي لَمْ يُخْلَقَ مِثْلُهَا في الْبَلَدِ وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّحْرَ بِالْوَادِ وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ . الَّذِينَ طَغَوْا فِي البَلَدِ فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوط عَذَابِ إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ 

Maksudnya: “Apakah kamu belum memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Aad? laitu penduduk Iran yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi yang belum pernah dibangun (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain, dan kaum Thamud yang memotong batu-batu di lembah, dan kaum Fir’aun yang mempunyai pesak-pesak (tentera yang banyak) yang berbuat sewenang-wenang dalam negeri, lalu mereka berbuat banyak kerosakan dalam negeri itu, kerana itu Tuhanmu menimpakan kepada mereka cemeti azab, sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi.” 

Surah al-Fajr (6-14)

Imam Malik berkata: “Maka aku menyinsing bajuku lantaran aku takutkan percikan darahnya (kalau-kalau dia kena pancung).”

Lantas baginda berhenti berkata-kata kepadanya. Kemudian Abu Jaafar berkata: “Hulurkan tempat dakwat itu kepadaku.” Lalu dia dan kami diam seketika sehingga dewan menjadi sunyi-senyap. Kemudian baginda berkata lagi: “Wahai Ibn Tawus, hulurkanlah tempat dakwat itu kepadaku” Tetapi ibn Tawus tidak menyahut seruannya dan baginda bertanya lagi: “Apakah yang menghalang engkau menghulurkannya kepadaku?” Ibn Tawus menjawab: “Aku takut engkau akan menulis perkara maksiat kepada Allah dengannya dan aku tak mahu bersubahat padanya.”

Sebaik mendengar jawapannya baginda berkata : Kamu berdua! Pergilah dari sini?” Ibn Tawus berkata: “Itulah yang kami kehendaki dari tadi. “Imam Malik berkata: “Lantaran itu aku sentiasa mengenali kemuliaannya.” (Lihat Tazkirah al-Huffaz, 1/260) Ibn Tawus dengan kekerasan nasihat ini dan jawapannya yang begitu keras kepada Abu Jaafar Al Mansur. Abu Jaafar al-Mansur menjawab dengan penyelesaian: “Kamu berdua! Pergilah dari sini.” (Lihat Islam Di Antara Ulama dan Pemerintah, hlm. 188-190)

Justeru, melihat mereka yang thabat dan tegas yang menyebabkan khalifah atau pemerintah sentiasa inign melakukan kebaikan dan diberi nasihat. Maka, jadilah khalayak masyarakat baik. Ini kerana, pemerintah mendengar nasihat ulama dan ulama tegas memberi nasihat yang sebenar.

Inilah yang disebut oleh Allah SWT: 

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ 

Maksudnya: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.

Surah Fatir (28)

Al-Syaukani berkata: Yakni, sesungguhnya yang takut kepada Allah SWT dalam keadaan tidak melihat-Nya, hanyalah orang-orang yang mengetahui-Nya berserta sifat-sifat-Nya yang mulia dan perbuatan-perbuatan-Nya yang indah.

Dalam ayat ini, Allah SWT telah menetapkan bahawa orang-orang yang takut kepada-Nya adalah orang-orang yang mengetahui dan mengenal-Nya serta mengagungkan kekuasaan-Nya. (Lihat Fath al-Qadir, 9/329)

 Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبِّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالَمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H