#2189: Punca Kekalahan Dan Penyelesaiannya Mengikut Pandangan Ulama

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah nasihat ulama al-Azhar berkenaan penjajahan Inggeris ketika itu kepada pemerintah? Begitu juga, keadaan kerajaan Mesir yang lemah ketika bertempur dengan Ethiopia dan selalu mengalami kekalahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ 

Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”

Surah Ali Imran (110)

Ayat ini menunjukkan Allah SWT memuji umat ini dengan menyatakan mereka adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan oleh Allah SWT daripada kalangan manusia yang ada. Ini kerana, disebabkan kesempurnaan diri mereka dengan wujudnya iman serta beriltizam dalam melaksanakan perintah Allah SWT di samping menyempurnakan orang lain dengan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 143)

Pemerintah Al-Khidiwi Ismail dan Ulama al-Azhar

Pengarang kitab Min Akhlaq al-Ulama telah berkata: Telah berkata kepadaku sahabatku yang mulia Muhammad Fahmi Al-Nadhuri (Basya) daripada Ahmad Afendi Badwi daripada bapanya daripada datuknya yang menjadi salah seorang dari ulama’ Azhar di zaman Khidiwi Ismail.

Dia berkata, telah terjadi peperangan di antara Mesir dan negeri Habsyah (Ethiophia). Mesir berturut-turut mengalami kekalahan kerana terjadinya perselisihan pendapat di antara panglima-panglima Mesir. Ketika itu Khidiwi merasa sungguh dukacita melihat kekalahan angkatan tenteranya. Pada suatu hari apabila merasa terlalu susah hati, beliau keluar bersiar-siar bersama Syarif Basya untuk menyenangkan hatinya dan berkata kepada Syarif Basya: “Apakah yang engkau buat apabila kamu ditimpa satu bencana dan kamu cuba mengatasinya?”

Syarif menjawab: “Wahai Afendi kami, sesungguhnya Allah SWT telah membiasakan aku apabila aku ditimpa bencana aku meminta ulama’ kita yang suci jiwanya, membaca kitab sahih Bukhari kepadaku. Dengan itu Allah SWT menolak musibah daripadaku.”

Syarif berkata, setelah peristiwa itu Khidiwi seringlah berbincang dengan Syeikh Azhar pada masa itu bernama Syeikh al-Arusi. Beliau pun menghimpunkan ulama’ yang soleh untuk Khidiwi dan mereka semua membaca sahih al-Bukhari di hadapan kubah yang lama di Azhar. 

Walaupun telah dibuat demikian, angkatan tentera Mesir terus juga mengalami kekalahan di medan perang itu. Lantas Khidiwi pergi bersama Syarif Basya dan terus menemui ulama’ Azhar. Dengan marah, dia berkata kepada mereka: “Betulkah sahih Bukhari yang telah kamu baca tempoh hari ataupun kamu semuanya bukan ulama’ yang kita biasa kenali daripada salafussoleh. Walaupun kamu telah membaca sesuatu tetapi Allah SWT tidak menolak musibah dari kita.”

Semua ulama’ di situ terdiam dan majlis itu senyap seketika. Tiba-tiba seorang ulama’ dari hujung majlis bangun dan berkata dengan lantang kepadanya: “Musibah ini semua adalah berpunca dari kamu wahai Ismail! Kerana sesungguhnya kami telah diberitahu dari Rasulullah SAW bahawasanya dia telah bersabda:

لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ الْمُنكَرِ، أَوْ لَيُسَلِّطَنَّ اللَّهُ عَلَيْكُمْ شِرَارَكُمْ فَيَدْعُو خِيَارُكُمْ فَلَا يُسْتَجَابُ لَهُمْ .

Maksudnya: “Kamu mesti menyuruh berbuat baik dan kamu mesti melarang dari kemungkaran kalau tidak Allah SWT melantik orang-orang jahat dari kamu menguasai kamu. Di kala itu walaupun orang-orang baik dari kamu berdoa, tidak akan diterima doa mereka.” 

Riwayat al-Bukhari (581), Muslim (826), al-Tirmizi (183), al-Nasa’ie (562), Ibn Majah (1250), Ahmad (130) secara ikhtisar dan al-Bazzar (188)

Lantas semakin membisulah seluruh ulama’ itu. Khidiwi Ismail bersama Syarif meninggalkan majlis itu dengan tidak bercakap sepatah pun. Semua ulama’ itu menyesali sikap orang alim yang lantang suaranya dan terlalu berani membuat tuduhan terhadap Khidiwi Ismail. Di dalam suasana yang gawat itu, tiba-tiba Syarif muncul kembali dan terus bertanya: “Mana dia Syeikh yang telah menuduh Khidiwi?” Lantas Syeikh itu menjawab: “Aku.”

Lantas Syarif Basya membawanya dari majlis itu dan terus berjalan bersama Syeikh itu. Para ulama’ yang tadinya menyesali alim tersebut mengucapkan selamat jalan kepadanya dan mereka tidak mengharap lagi kepulangan Syeikh tersebut (mereka menyangka Syeikh itu akan dibunuh).

Berangkatlah Syarif Basya bersama Syeikh tersebut sehingga sampai di istana Khidiwi yang sedang duduk di anjung istana di hadapannya sebuah kerusi di mana Syeikh itu disuruh duduk. Dia berkata kepadanya: “Ulangilah semula wahai ustaz apa yang telah engkau katakan di Azhar.”

Lantas Syeikh itu mengulangi semula kata-katanya dan membaca berulang-ulang hadith nabi, memberi syarahan dan kupasan dengan lebih lanjut dan lebih tegas lagi. Maka, berkatalah Khidiwi itu: “Apakah yang telah kita buat sehingga turun bala’ bencana ini kepada kita?”

Syeikh kita menjawab: “Wahai Afendi kami, siapakah yang telah membuat berbagai bentuk mahkamah yang bercampur-baur itu? Yang membuat undang-undang, mengharuskan riba, mengharuskan maksiat, memberi lesen kepada pelacuran. Mengharuskan minuman keras? Bukankah engkau… bukankah…engkau?”

Dia terus menyebut berbagai mungkar dan maksiat yang berkembang biak tanpa tentangan, dan dia berkata lagi: “Bagaimana kita akan menunggu kemenangan dari langit dan pertolongan dari Allah?”

Maka berkatalah Khidiwi Ismail: “Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana kita telah bercampur gaul dengan orang asing dan itu tamadun mereka?” Ulama’ itu berkata dengan tegas: “Kalau begitu apakah dosa al-Bukhari dan apakah ulasan ulama?” Khidiwi berfikir seketika, setelah lama berdiam diri, dia berkata kepadanya: “Benarlah engkau, benarlah engkau.”

Lalu Khidiwi memberi elaun tiga puluh paun tiap-tiap bulan kepadanya. Selepas itu ulama’ tersebut kembali semula ke Azhar padahal saudara-saudara ulama-ulama’ tadi telah berputus asa daripada kepulangannya, seolah-olah beliau kembali setelah mati.” (Lihat Min akhlaq al-Ulama, hlm. 101-102)

Demikianlah jawapan pemerintah (sultan) terhadap sanggahan dan kritikan tajam orang alim yang benar. Demikianlah sepatutnya seorang amir membalas ulama’ yang jujur dengan memuliakan ulama’ yang soleh dan menghargai kejujuran mereka. (Lihat Islam Di Antara Ulama dan Pemerintah, hlm. 232-236)

Justeru, pelaksanaan amar makruf dan nahi mungkar wajib ditegakkan dalam sesebuah negara bagi memperolehi keberkatan Ilahi serta bantuan dan pertolongan dari-Nya. Marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H