#2191: Apakah Maksud Iram dalam Surah al-Fajr?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan firman Allah SWT: (إرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ)

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Surah al-Fajr merupakan sebuah surah yang terkandung di dalamnya sumpah yang agung ke atas fajar subuh yang bersinar cahayanya setiap hari bagi menegaskan bahawa golongan kafir pasti akan menerima azab. (Lihat Tafsir al-Munir, 15/599)

Secara ringkasnya, objektif utama yang dibawakan di dalam surah ini berkisar tentang perbezaan manusia yang mempunyai kecintaan terhadap dunia dan yang mempunyai jiwa yang tenang serta kekuasaan Allah SWT terhadap golongan yang ingkar. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/473)

Kami mengambil beberapa potongan ayat Allah SWT yang menceritakan tentang azab ke atas orang kafir dan balasan  sebahagianya di dunia, firman Allah SWT:

وَالْفَجْرِ ‎﴿١﴾‏ وَلَيَالٍ عَشْرٍ ‎﴿٢﴾‏ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ ‎﴿٣﴾‏ وَاللَّيْلِ إِذَا يَسْرِ ‎﴿٤﴾‏ هَلْ فِي ذَٰلِكَ قَسَمٌ لِّذِي حِجْرٍ ‎﴿٥﴾‏ أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ ‎﴿٦﴾‏ إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ ‎﴿٧﴾‏ الَّتِي لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِي الْبِلَادِ ‎﴿٨﴾‏ وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّخْرَ بِالْوَادِ ‎﴿٩﴾‏ وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ ‎﴿١٠﴾‏ الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ ‎﴿١١﴾‏ فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ ‎﴿١٢﴾‏ فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ ‎﴿١٣﴾‏ إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ ‎﴿١٤﴾‏

Maksudnya: “Demi waktu fajar Demi sepuluh malam. Demi yang genap dan yang ganjil. Demi malam yang berlalu pergi. Adakah dalam kejadian-kejadian itu ada sumpah yang meyakinkan bagi orang yang berakal? Tidakkah engkau melihat kepada apa yang dilakukan oleh Tuhanmu terhadap kaum ‘Ad? Zuriat keturunan Iram yang menetap di Lembah Iram, yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi (tiangnya). Yang tidak pernah dicipta sepertinya di mana-mana negeri. Juga apa yang dilakukan Tuhanmu kepada Thamud yang memahat batuan di lembah tempat tinggal mereka untuk membuat binaan. Juga kepada Firaun yang memiliki bangunan yang besar dan teguh. Mereka orang-orang yang melampaui batas dan bermaharajalela di negeri masing-masing. Lalu mereka melakukan banyak kerosakan di negeri-negeri itu. Lalu Tuhanmu pula menurunkan kepada mereka azab yang pedih. Sesungguhnya Tuhanmu sentiasa mengawasi tindak-tanduk hamba-Nya.”

(Surah al-Fajr: 1-14)

Maksud Ayat 7 Surah al-Fajr

Ibn al-Jauzi menyebutkan bahawa para mufassir berbeza pandangan berkenaan maksud Iram (إِرَمَ) di dalam ayat ini, dan beliau meringkaskannya kepada 4 pandangan:

  1. Iram merupakan nama tempat. Al-Farra’ mengatakan bahawa (إِرَمَ) tidak dibaca dengan baris bawah kerana ia merujuk kepada nama tempat. Terdapat 3 tafsiran tentang kedudukan tempat tersebut:
  • Dikatakan ianya di Damsyiq. Ini merupakan pandangan Sa‘id bin al-Musayyib, ‘Ikrimah dan Khalid al-Rab‘i.
  • Dikatakan ianya di Iskandariyyah, ini merupakan pandangan Muhammad bin Ka‘b.
  • Dikatakan ia merupakan bandar yang diasaskan oleh Syaddad bin ‘Ad. Ini merupakan pandangan Ka‘b.
  1. Iram ialah salah satu ummat daripada ummat-ummat terdahulu, ini merupakan pandangan Mujahid.
  2. Iram ialah kabilah daripada kaum ‘Ad, ini merupakan pandangan Qatadah. (إِرَمَ) tidak boleh dibaca dengan baris bawah kerana ia adalah nama bagi suatu kabilah.
  3. Iram adalah nama datuk kepada ‘Ad, namanya adalah ‘Ad bin ‘Awadh bin Iram bin Sam bin Nuh. ini merupakan pandangan Muhammad bin Ishaq. Al-Farra’ mengatakan bahawa ia tidak dibacakan dengan baris bawah kerana nama tersebut dianggap nama ‘ajamiy (bukan Arab).

Kemudian beliau menyebutkan 4 pandangan berkenaan maksud (ذَاتِ الْعِمَادِ):

  1. Ia bermaksud ‘yang mempunyai ketinggian’, Ibn ‘Abbas mengatakan bahawa ia diambil dari perkataan Arab Rajulun Mu‘ammad (رَجُلٌ مُعَمَّدٌ) jika dia adalah seorang yang tinggi. Dan Qatadah menyangka tinggi lelaki daripada Iram ini adalah 12 hasta.
  2. Mereka adalah orang yang tinggal di khemah dan yang ada tiang, mereka berlindung daripada hujan. Ini merupakan pandangan Mujahid.
  3. Mereka adalah orang yang mempunyai kekuatan dan kekuasaan, diambil dari kekuatan tiang-tiang. Ini merupakan pandangan al-Dahhak.
  4. Ia bermaksud mereka yang mempunyai bangunan dengan banyak tiang, ini merupakan pandangan Ibn Zaid. (Lihat Zad al-Masir, 4/440; al-Nukat wa al-‘Uyun, 6/267-268)

Imam al-Syaukani mengatakan, perkataan (ذَاتِ الْعِمَادِ) pada ayat ke 7 surah ini bermaksud yang memiliki kekuatan. Pada asalnya, perkataan (الْعِمَادِ) bermaksud tiang seri sesuatu binaan atau khemah. Ia kemudiannya digunakan bagi maksud lain, antaranya untuk menggambarkan kekuatan seseorang atau sesuatu kaum. Mungkin yang dimaksudkan dimaksudkan di sini ialah binaan yang tinggi seperti bukit yang dibina oleh kaum ‘Ad sebagai petunjuk kepada golongan musafir seperti yang dinyatakan dalam ayat 128 daripada surah al-Syu‘ara’ atau boleh juga bermaksud tiang-tiang khemah yang didiami oleh mereka. (Lihat Fath al-Qadir, 5/528)

Ibn al-Jauzi juga menukilkan daripada Abu ‘Ubaidah katanya: “terdapat 2 ‘Ad; yang pertamanya adalah Iram, dan inilah yang disebutkan dalam firman Allah SWT dalam surah al-Najm ayat 50: وَأَنَّهُ أَهْلَكَ عَادًا الْأُولَىٰ (Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang membinasakan kaum ‘Ad yang pertama -kaum Nabi Hud-), dan terdapat dua pandangan sama ada kaum Hud adalah ‘Ad yang pertama atau bukan.” (Lihat Zad al-Masir, 4/440)

Imam Ibn Kathir mentarjihkan bahawa Iram yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam ayat 7 surah al-Fajr adalah mereka ‘Ad yang pertama seperti dalam ayat 50 surah al-Najm. Mereka adalah anak-anak kepada ‘Ad bin Iram bin ‘Awadh bin Sam bin Nuh, seperti yang disebutkan oleh Ishaq, dan merekalah yang Allah SWT utuskan pada mereka seorang rasul Hud A.S. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/389)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menyebutkan, Iram adalah nama bagi sebuah kabilah, dikatakan juga ia merupakan nama sebuah perkampungan, dikatakan juga ianya selain daripada yang disebutkan. Sama ada ia nama kabilah atau nama perkampungan, maka Allah SWT menghukum mereka dengan hukuman yang dahsyat walaupun mereka ini orang-orang yang kuat. (Lihat Tafsir Juz’ ‘Amma, hlm. 191)

 

Sejarah Ringkas Berkenaan Iram (إِرَمَ)

Imam Ibn Kathir menyebutkan sejarah berkenaan Iram ini ketika mana beliau mengisahkan tentang Nabi Allah Hud A.S.

Beliau menukilkan daripada Ibn Jarir al-Tabari bahawa nama Baginda A.S adalah Hud bin Syalakh bin Arfakhsyaz bin Sam bin Nuh. Terdapat dua lagi nama lain yang disandarkan kepada Baginda A.S:

  • Dikatakan bahawa nama lain bagi Nabi Hud A.S  adalah ‘Abir bin Syalakh bin Arfakhsyaz bin Sam bin Nuh.
  • Dan dikatakan juga bahawa nama Baginda adalah Hud bin Abdullah bin Rabah akl-Jarud bin ‘Ad bin ‘Awadh bin Iram bin Sam bin Nuh.

Nabi Nuh A.S berasal dari kabilah yang bernama ‘Ad bin ‘Awadh bin Iram bin Sam bin Nuh. Mereka adalah orang-orang Arab yang tinggal di al-Ahqaf – kawasan pergunungan pasir –  di Yaman yang terletak antara Amman dan Hadramaut, di kawasan yang menghadap ke laut bernama Al-Syahr, dan nama lembah mereka adalah Mughith.

Kebanyakan mereka tinggal di dalam binaan yang mempunyai tiang-tiang yang besar, seperti mana di dalam firman Allah SWT:

إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ

Maksudnya: “Zuriat keturunan Iram yang menetap di Lembah Iram, yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi (tiangnya).”

(Surah al-Fajr: 7)

Maka siapa yang menyangka bahawa Iram (إِرَمَ) adalah antara bandar-bandar yang terletak di muka bumi seperti di Syam, Yaman, Hijaz atau lainnya, maka telah jauh telahan mereka. Mereka telah mengatakan sesuatu yang tiada dalil baginya, bukti yang boleh bergantung padanya, dan sandaran yang boleh disandarkan padanya. (Lihat Qasas al-Anbiya’, 1/120)

Abu al-Munzir al-‘Autabi menyebutkan bahawa Iram mempunyai 4 orang anak: ‘Abir bin Iram,  ‘Aus (atau ‘Awadh) bin Iram, Huwail bin Iram, dan Masy bin Iram.

‘Abir bin Iram mempunyai anak bernama Thamud, dan antara keturunan mereka adalah Nabi Soleh A.S. ‘Aus (atau ‘Awadh) bin Iram pula mempunyai 2 orang anak yang bernama ‘Ad dan ‘Abil. ‘Ad bin ‘Awadh bin Iram lah yang telah membawa anak cucunya ke al-Ahqaf lalu menetap dan berkembang biak di sana, kaum inilah yang Allah SWT hantarkan pada mereka angin rebut yang membadai lalu membinasakan mereka, kecuali mereka yang daripada keturunan al-Khalud bin ‘Ad antaranya Nabi Allah Hud A.S dn mereka yang bersamanya. (Lihat Ansab al-Arab, hlm. 25)

Firman Allah SWT:

وَفِي عَادٍ إِذْ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمُ الرِّيحَ الْعَقِيمَ ‎﴿٤١﴾‏ مَا تَذَرُ مِن شَيْءٍ أَتَتْ عَلَيْهِ إِلَّا جَعَلَتْهُ كَالرَّمِيمِ ‎﴿٤٢﴾

Maksudnya “Dan juga pada (kisah) kaum Aad (terdapat perkara-perkara yang menjadi iktibar), – ketika kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang tidak mengandungi sebarang kebaikan; Angin itu tidak meninggalkan sesuatupun yang dirempuhnya, melainkan menjadikannya (hancur) seperti debu.”

(Surah al-Zariyat: 41-42)

Penutup

Dapat kita teliti bahawa terdapat banyak perbezaan pandangan di kalangan ulama’ tafsir mengenai maksud Iram di dalam ayat 7 surah al-Fajr ini. Akan tetapi, kami cenderung memilih pandangan yang dibawakan oleh Imam Ibn Kathir kerana hujjah beliau yang dibawa melalui sumber sejarah dan salasilah keturunan Iram ini.

Secara tidak langsung, dapat juga kita mendalami sejarah dan salasilah keturunan beberapa orang nabi yang mempunyai perkaitan dengan Iram ini, antaranya Nabi Hud A.S, Nabi Nuh A.S dan Nabi Soleh A.S.

Semoga dengan pandangan-pandangan yang kami bawakan ini dapat membuka minda dan menjadikan ummat islam di Malaysia lebih tertarik untuk mendalami dan mentadabburi ayat-ayat Allah SWT.

Wallahu a‘lam

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H