#2192: Larangan Menyebarkan Aib Penzina

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Saya seorang doktor membuat pemeriksaan kesihatan pra perkahwinan untuk perempuan bawah umur dan mendapati perempuan itu mengandung dan kandungannya berusia 15 minggu. Keluarga kedua2 belah pihak lelaki dan perempuan bersetuju tidak membuat sebarang laporan polis kerana mahu berkahwin. Adakah salah perbuatan saya dari sisi Islam sekiranya saya tidak melaporkan perbuatan mereka kepada pihak polis kerana kandungan bawah dianggap sebagai rogol sekalipun dilakukan suka sama suka. Mohon penjelasan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

لَا يَسْتُرُ عَبْدٌ عَبْدًا فِي الدُّنْيَا، إِلَّا سَتَرَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi di Hari Kiamat.

Riwayat Muslim (2590)

Perbuatan menyebarkan aib orang lain termasuk dalam sunnah sayyiah yang berdosa jika diteruskan oleh orang lain. Daripada Jarir bin Abdullah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ، وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

Maksudnya: Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal denganya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun, dan barangsiapa yang memulakan dalam Islam suatu sunnah yang buruk, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan baginya dosa sesiapa yang beramal dengannya, tanpa berkurang dengan satu dosa suatu apa pun.

Hadis riwayat Muslim (1017)

Menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan di sini bahawa di dalam Islam tiada  istilah bawah umur bagi seseorang untuk berkahwin sebagaimana yang telah dinyatakan dalam nas al-Quran dan hadith serta athar para sahabat . Namun, dalam konteks di Malaysia dikatakan bahawa maksud perkahwinan bawah umur atau perkahwinan kanak-kanak ialah perkahwinan di mana pihak yang terlibat adalah di bawah umur 18 tahun. Undang-undang melarang perkahwinan di bawah umur bagi menjaga kemaslahatan dan kesejahteraan.

Dalam isu ini,  oleh kerana kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk berkahwin dan menyelesaikan masalah tersebut dengan baik maka tidak perlulah untuk dihebohkan dan diadukan kelakuan mereka kepada mana-mana pihak. Ini juga bagi menjaga aib mereka. Yang demikian bersesuaian apa yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda: 

مَن سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ

Maksudnya: “Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.”

Riwayat Muslim (2699), Abu Daud (4946), al-Tirmizi (2945), Ibn Majah (225), Ahmad (7427), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (7285) 

Namun, perbuatan tersebut tetaplah salah dan berdosa dan kami nasihati supaya pelakunya  bertaubat atas kesalahan berzina dan berazam dengan sepenuh hati agar tidak mengulanginya lagi.

Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.”

(Surah al-Tahrim : 8)

Alangkah baiknya kita dapat mengamalkan zikrullah dalam pelbagai bentuk yang dengannya akan mendapat keampunan daripada Allah SWT. Terdapat banyak riwayat yang menunjukkan dengan melazimi zikrullah Allah SWT mengampunkan dosa kita walaupun amat banyak seperti buih di laut. Kami nyatakan di sini salah satu daripadanya.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

وَمَنْ قَالَ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ فِي يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ حُطَّتْ خَطَايَاهُ وَلَوْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ.

Maksudnya: “Barangsiapa membaca ‘ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ ’ (Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya) seratus kali dalam sehari, maka dosanya akan dihapus, meskipun sebanyak buih lautan.” 

Riwayat Muslim (2691)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ. اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ، وَأَهْلِي وَمَالِي. اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي. اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ مِنْ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Maksudnya: “Ya Allah aku memohon keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah aku memohon kepada-Mu kemaafan dan keselamatan pada agamaku dan duniaku, pada ahli keluargaku dan hata bendaku. Ya Allah tutuplah auratku (aib dan kelemahan), dan amankanlah ketakutanku. Ya Allah peliharalah aku daripada bahaya yang datang dari hadapanku, dari belakangku, dari kananku, dari kiriku, dari atasku, dan aku berlindung dengan keagungan-Mu daripada tergelincir daripada bawahku.”

Riwayat al-Bukhari (2100)

Wallahua’lam

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H