#2194: Qarun dan Keangkuhannya Sehingga Ditenggelamkan Bumi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh tolong jelaskan siapakah Qarun? Apakah kezaliman yang dia lakukan sehingga ditenggelamkan bumi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT menyebut kisah Qarun dalam surah al-Qasas, dimulakan dengan ayat ke-76. Firman Allah SWT:

إِنَّ قَارُونَ كَانَ مِن قَوْمِ مُوسَىٰ

Maksudnya: “Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa.”

(Surah al-Qasas: 76)

Allah SWT telah mengirim Nabi Musa AS kepada Firaun, Haman dan Qarun, akan tetapi, kesemua mereka berlaku sombong. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ بِآيَاتِنَا وَسُلْطَانٍ مُّبِينٍ ‎﴿٢٣﴾‏ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَقَارُونَ فَقَالُوا سَاحِرٌ كَذَّابٌ ‎

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutuskan Nabi Musa membawa ayat-ayat Kami dan bukti (mukjizat) yang jelas nyata. Kepada Firaun dan Haman serta Qarun; maka mereka (menuduhnya dengan) berkata: “Ia seorang ahli sihir, lagi pendusta!”

(Surah Ghafir: 23-24)

Ayat ini menjelaskan bahawa Qarun adalah kaum Nabi Musa AS. Akan tetapi, tidak dijelaskan oleh Allah SWT, bilakah peristiwa dibenamkan Qarun ke dalam bumi. Hanya sahaja sebahagian ahli tafsir menyebut bahawa Qarun merupakan pegawai Firaun yang ditugaskan untuk memegang urusan Bani Isra’il dan diberikan harta yang banyak dan kemudian menjadi orang yang sombong. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 13/310)

Para ahli tafsir menyebut bahawa Qarun telah dilantik oleh Firaun sebagai ketua bagi Bani Israel di Mesir, dan melalui jawatan itulah dia mengumpul kekayaan yang melimpah-ruah. Selain itu, dia juga berlaku zalim terhadap kaumnya disebabkan oleh kekayaannya, di mana setelah berada di puncak kekayaan, orang miskin dipandang rendah dan hina, sehinggakan upah yang diberikan kepada pekerja adalah dengan nilai yang teramat kecil. Apabila orang ramai datang meminta bantuan, dia menjadi marah dan tidak mahu diganggu. Semua ini termasuk daripada perangai orang yang telah mabuk dengan kekayaannya.

Perbuatan Qarun terhadap kaumnya sendiri ini, merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima, berbanding kezaliman Firaun terhadap orang yang bukan kaumnya sendiri. Kebenciannya terhadap Nabi Musa A.S dan Bani Israel semakin bertambah, apabila pengaruhnya terhadap Bani Israel mulai hilang dengan hadirnya Nabi Musa A.S membawa risalah kenabian, seterusnya keluarnya mereka secara beramai-ramai dari bumi Mesir. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 20/175-176)

Allah SWT memperingatkan orang-orang musyrikin yang berbangga dengan harta mereka, dengan menyebut kisah Qarun di mana beliau adalah orang yang sangat kaya, akan tetapi dibenamkan oleh Allah ke dalam bumi kerana ingkar dan kufur kepada Allah, agar mereka berfikir bahawa harta yang mereka miliki bukan jaminan keselamatan. Imam al-Qurtubi menyebut dalam tafsirnya:

بَيَّنَ أَنَّ قَارُونَ أُوتِيهَا وَاغْتَرَّ بِهَا وَلَمْ تَعْصِمْهُ مِنْ عَذَابِ اللَّهِ كَمَا لَمْ تَعْصِمْ فِرْعَوْنَ، وَلَسْتُمْ أَيُّهَا الْمُشْرِكُونَ بِأَكْثَرَ عَدَدًا وَمَالًا مِنْ قَارُونَ وَفِرْعَوْنَ، فَلَمْ يَنْفَعْ فِرْعَوْنَ جُنُودُهُ وَأَمْوَالُهُ، وَلَمْ يَنْفَعْ قَارُونَ قَرَابَتُهُ مِنْ مُوسَى وَلَا كُنُوزُهُ

Maksudnya: “Allah menjelaskan bahawasanya Qarun telah diberikan harta dunia dan dia terperdaya dengannya. Akan tetapi, hartanya tidak dapat menyelamatkan dari azab Allah sebagaimana halnya Firaun. Dan kamu semua wahai orang musyrikin, harta kamu tidaklah lebih banyak daripada harta Qarun dan Firaun, maka tidak bermanfaat harta dan pasukan Firaun, dan tidak bermanfaat juga kekerabatan Qarun dan Nabi Musa serta hartanya.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 13/310)

 Nasab Qarun dan Hubungannya dengan Nabi Musa AS

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya turut menyebut tentang sejauh mana hubungan kekerabatan Qarun dengan Nabi Musa AS. Disebut dalam tafsirnya:

قَالَ النَّخَعِيُّ وَقَتَادَةُ وَغَيْرُهُمَا: كَانَ ابْنَ عَمِّ مُوسَى لَحًّا، وَهُوَ قَارُونُ بْنِ يَصْهَرَ بْنِ قَاهِثِ بْنِ لَاوِي بْنِ يَعْقُوبَ، وَمُوسَى بْنُ عِمْرَانَ بْنِ قَاهِثَ

Maksudnya: “Al-Nakha’i, Qatadah dan ulama’ lain berkata bahawa Qarun adalah sepupu Musa. Dia bernama Qarun bin Yashar bin Qahith bin Lawi, bin Ya’qub. Dan Musa bin ‘Imran bin Qahith.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 13/310)

Ini merupakan pendapat jumhur ahli tafsir bahawa Nabi Musa AS adalah sepupu Qarun. Qahith mempunyai seorang anak bernama Yashar dan Imran, di mana kemudian Yashar adalah bapa Qarun, manakala Imran merupakan bapa Nabi Musa AS. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/253)

Ada pendapat lain yang menyebut:

وَقَالَ ابْنُ إِسْحَاقَ: كَانَ عَمَّ مُوسَى لِأَبٍ وَأُمٍّ. وَقِيلَ: كَانَ ابْنَ خَالَتِهِ

Maksudnya: “Ibn Ishaq berkata bahawasanya dia (Qarun) adalah bapa saudara Nabi Musa. Dan ada yang mengatakan: (Qarun) adalah anak lelaki daripada ibu saudaranya.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 13/310)

Semua ini merupakan khilaf berkenaan nasab Qarun.

Nilai Kekayaan Qarun

Allah SWT berfirman:

إِنَّ قَارُونَ كَانَ مِن قَوْمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَيْهِمْ ۖ وَآتَيْنَاهُ مِنَ الْكُنُوزِ مَا إِنَّ مَفَاتِحَهُ لَتَنُوءُ بِالْعُصْبَةِ أُولِي الْقُوَّةِ إِذْ قَالَ لَهُ قَوْمُهُ لَا تَفْرَحْ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفَرِحِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).

(Surah al-Qasas: 76)

Ayat ini menyebut bahawa yang menjadikan Qarun bersifat sombong adalah hartanya. Sehingga disebutkan oleh para ulama’ bahawa kunci gudang Qarun yang begitu berat menjadikan orang-orang kuat yang membawanya berjalan dengan terhuyung-hayang. Ada khilaf dalam kalangan ahli tafsir tentang berapa jumlah orang yang mengangkat kunci tersebut. 

  • Ada yang mengatakan 20 orang. 
  • Ada yang mengatakan 40 orang. 
  • Ada yang mengatakan 70 orang. 
  • Ada yang mengatakan sekumpulan orang. 

Perkara utama adalah disebutkan bahawa orang-orang yang membawa kunci Qarun adalah orang yang kuat-kuat. Akan tetapi, ketika memikulnya, mereka semua membawanya dengan terhuyung-hayang kerana beratnya. Dan kunci setiap gudang diperbuat daripada kulit dengan ukuran satu jari. Ini membuktikan bahawa gudang yang dimiliki Qarun sangat banyak, sehingga seluruh kuncinya perlu dipikul oleh ramai orang dan menjadikan mereka berjalan dengan terhuyung-hayang. Juga disebut oleh sebahagian ahli tafsir, tatkala Qarun dengan berjalan keluar, kunci-kunci tersebut dipikul oleh 60 haiwan baghal (haiwan yang diserupakan dengan keldai). (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 13/313)

Justeru, Qarun termasuk antara yang terkaya pada zamannya. Allah bahasakan kekayaannya dengan anak-anak kuncinya sahaja amat luar biasa banyaknya. Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti berkata: “Ini kerana kumpulan lelaki yang gagah membawa anak-anak kunci dengan amat payah dan sukar kerana berat dan banyaknya anak-anak kunci. Justeru, nilailah betapa banyak harta yang dimilikinya.” (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 11/344)

 

Qarun Bersikap Melampaui Batas

Allah SWT kemudian berfirman:

إِنَّ قَارُونَ كَانَ مِن قَوْمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka.”

(Surah al-Qasas: 76)

Lafaz ‘بَغَى’ bermaksud melakukan perbuatan yang melampaui batas. Allah SWT dan Rasulullah SAW tidak menjelaskan tentang perbuatan apa yang dilakukan oleh Qarun. Namun, dalam kalangan ulama’, terdapat khilaf tentang perbuatan Qarun. Antaranya:

  • Syahr bin Hausyab berpendapat bahawa perbuatan Qarun adalah kesombongan. Beliau menyebut: ‘بَغْيُهُ أَنَّهُ زَادَ فِي طُولِ ثَوْبِهِ شِبْرًا’ (Antara perbuatan melampaui batasnya iaitu dia menambahkan pada pakaiannya sejengkal (isbal).” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 13/310)
  • Al-Dahhak berpendapat bahawa perbuatan Qarun adalah kufur kepada Allah SWT.
  • Qatadah menyatakan bahawa perbuatan Qarun adalah merendahkan orang lain dengan harta dan anak-anaknya (yang banyak).
  • Pendapat lain menyebut bahawa perbuatan Qarun yang melampaui batas ialah dia hasad kepada Nabi Musa AS yang memegang kenabian dan kepada Nabi Harun AS yang memegang urusan korban, sehingga dia hasad kerana tidak mendapatkan bahagian. Diceritakan bahawa disebabkan Qarun hasad kepada Nabi Musa AS, akhirnya dia membuat perancangan jahat dengan mengupah wanita penzina untuk mengaku bahawa Nabi Musa telah berzina dengannya. Ketikamana Nabi Musa AS berdakwah di hadapan umatnya, datanglah wanita tersebut dan mengaku bahawa mereka berdua telah berzina dan membuatkan wanita tersebut hamil. Maka Nabi Musa AS pun marah. Kemudian beliau bersumpah dengan nama Allah yang memberikan segala mukjizat dan bertanya kepada wanita tersebut, “Apakah benar perkataanmu?” Maka wanita tersebut tersedar, lalu berkata, “Tidak.” Kemudian Nabi Musa bertanya, “Siapa yang membayarmu?” Wanita tersebut menjawab, “Qarun.” Maka, kemudian Nabi Musa AS berdoa kepada Allah agar membenamkan Qarun. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 13/310)

Kisah di atas diriwayatkan tanpa sanad yang sahih, yang biasa kita sebut dengan kisah Isra’iliyyat. Namun, demikianlah sebahagian para ulama’ menyebut di antara sebab dibenamkan Qarun iaitu kerana dia pernah menuduh Nabi AS berzina dengan seorang wanita upahan.

Nasihat untuk Mengembalikan ke Jalan yang Benar

Terdapat sebahagian daripada kalangan Bani Israel itu yang cuba untuk mengembalikan Qarun ke jalan yang benar iaitu jalan yang diredhai Allah SWT, dengan menasihatinya agar berlaku adil dalam menguruskan hartanya, sedar bahawa nikmat kekayaan itu datangnya daripada Allah SWT, serta insaf bahawa adanya kehidupan akhirat yang menanti. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 5/2711)

Namun sepertimana halnya para taghut sebelumnya, Qarun juga melupakan akibat buruk yang menimpa orang zalim dan yang berbuat kerosakan. Dengan angkuhnya dia mendakwa kekayaannya adalah disebabkan ilmu yang ada padanya, dan melupakan ihsan Allah SWT kepadanya. Dia tidak mengambil iktibar daripada orang terdahulu, sehinggalah dia sendiri yang menjadi iktibar kepada orang lain. (Lihat al-Tafsir al-Maudhu’i, 5/570)

Dengan sombongnya dia menolak nasihat yang diberikan, lalu mempamerkan harta serta perhiasannya kepada kaumnya dengan penuh keangkuhan, dalam usaha membuktikan bahawa dia berada di atas jalan kebenaran, sementara mereka di pihak yang batil. Orang ramai yang melihat merasa terpukau dan menginginkan kekayaan yang sama seperti itu, namun mereka diperingatkan oleh orang yang berilmu akan hakikat sebenar bahawa ganjaran yang menanti buat orang yang beriman dan beramal soleh di akhirat kelak adalah jauh lebih besar dan utama, berbanding kekayaan di dunia yang sementara. (Lihat al-Tafsir al-Maudhu’i, 5/570) Ditambah lagi, ganjaran tersebut jua turut tersedia buat mereka yang bersabar.

Qarun Bersikap Angkuh

Apabila nasihat-nasihat disampaikan kepada Qarun, dia menjawab dengan angkuh:

قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِي

Maksudnya: Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku.”

(Surah al-Qasas: 78)

Ada yang mengatakan bahawa maksud perkataan Qarun adalah harta yang dia peroleh kerana ilmu yang dia miliki. Sebahagian yang lain mengatakan bahawa maksud perkataan ilmu adalah Allah tahu bahawa Qarun berhak mendapat harta tersebut. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 13/315)

Ucapan Qarun tersebut termasuk dalam ucapan orang yang ‘ujub, yang membawanya menuju kesombongan. Ini kerana apabila seseorang sudah ‘ujub, maka dia akan lupa untuk bersyukur kepada Allah.

Allah SWT kemudian membantah ucapan Qarun dengan mengatakan:

أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِن قَبْلِهِ مِنَ الْقُرُونِ مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةً وَأَكْثَرُ جَمْعًا ۚ وَلَا يُسْأَلُ عَن ذُنُوبِهِمُ الْمُجْرِمُونَ

Maksudnya: (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).

(Surah al-Qasas: 78)

Kemudian Allah SWT berfirman:

فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِ فِي زِينَتِهِ ۖ قَالَ الَّذِينَ يُرِيدُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا يَا لَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَا أُوتِيَ قَارُونُ إِنَّهُ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍ

Maksudnya: Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: “Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik.”

(Surah al-Qasas: 79)

Ketika itu, Qarun keluar dengan seluruh perhiasannya dengan mengenakan pakaian yang terindah, dan membawa seluruh tunggannya. Seakan-akan itu adalah hari raya. Ada pendapat yang mengatakan bahawa Qarun keluar dengan membawa 70,000 anak buah. Sebahagian ahli tafsir berpendapat bahawa tatkala Qarun keluar dengan kemegahannya, orang ramai yang menghendaki kehidupan dunia itu adalah orang kafir. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa orang tersebut adalah orang-orang beriman yang terpedaya melihat harta. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 13/316)

Kemudian, orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia seperti Qarun tersebut diberikan nasihat. Firman Allah SWT:

وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ اللَّهِ خَيْرٌ لِّمَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا وَلَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الصَّابِرُونَ ‎

Maksudnya: Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): “Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar.”

(Surah al-Qasas: 80)

Pengakhiran Hidup Qarun

Ibn Kathir dalam kitabnya, Qasas al-Anbiya’ (3/218-221) menyebut: Pengakhiran hidup Qarun dirakamkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

فَخَسَفْنَا بِهِ وَبِدَارِهِ الْأَرْضَ فَمَا كَانَ لَهُ مِن فِئَةٍ يَنصُرُونَهُ مِن دُونِ اللَّهِ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُنتَصِرِينَ

Maksudnya: “Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah” dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.”

(Surah al-Qasas: 81)

Disebutkan daripada Ibn Abbas dan al-Suddi, bahawasanya Qarun telah memberikan harta yang banyak kepada seorang pelacur dengan syarat dia harus mengatakan kepada Musa di hadapan orang ramai: “Kamu telah melakukan begini dan begini kepadaku.” Diceritakan bahawa pelacur itu mengatakan hal itu kepadanya. Musa meninggalkannya dalam keadaan gementar, lalu solat dua rakaat. Setelah itu, dia menemui wanita tersebut dan memintanya untuk bersumpah atas perkataannya tersebut dan menanyakan apa yang menyebabkannya melakukan hal itu. Wanita tersebut menyebut bahawa Qarun lah yang menyuruhnya untuk melakukan hal tersebut. Kemudian wanita itu beristighfar dan bertaubat kepada Allah. Ketika itulah, Musa sujud kepada Allah dan berdoa kepada Allah untuk kebinasaan Qarun. Allah SWT mewahyukan kepadanya: “Aku telah memerintahkan bumi untuk mentaati perintahmu.” Kemudian Musa memerintahkan bumi untuk menenggelamkan Qarun. Dan hal itu pun menjadi kenyataan. Wallahu a’lam.

Ada yang mengatakan: Ketika Qarun keluar menemui kaumnya dengan mengenakan perhiasannya, maka dia melintasi Musa yang tengah menasihati kaumnya, dengan diiringi pasukan, mengendarai kuda dan memakai pakaian kebesarannya. Musa bertanya: “Apa yang mendorongmu untuk melakukan hal ini?” Qarun menjawab: “Wahai Musa, engkau telah diberikan kelebihan berupa kenabian, sedangkan aku telah diberi kelebihan berupa harta benda. Jikalau kamu menghendaki, silakan kamu mendoakan keburukan atas diriku dan aku akan berdoa keburukan atas dirimu.”

Maka Musa dan Qarun keluar di hadapan kaumnya. Musa berkata kepadanya: “Aku berdoa terlebih dahulu atau kamu berdoa terlebih dahulu?” Qarun menjawab: “Aku akan berdoa terlebih dahulu.” Lalu Qarun berdoa keburukan untuk Musa, namun tidak dikabulkan. Kemudian Musa berkata: “Apakah sekarang giliranku berdoa?” Qarun menjawab: “Ya.” Maka Musa berdoa: “Ya Allah, perintahkanlah kepada bumi untuk mentaatiku hari ini. Maka Allah SWT mewahyukan kepada Musa bahawa Dia telah melakukan hal tersebut.”

Musa berkata: “Wahai bumi, ambillah mereka semua.” Maka bumi menenggelamkan mereka sehingga ke paras buku lali. Kemudian Musa berkata: “Ambillah mereka.” Lalu bumi menenggelamkan mereka hingga paras lutut mereka, lalu hingga ke paras bahu mereka. Kemudian Musa berkata: “Ambilah harta benda mereka.” Maka bumi menelan harta benda mereka sedangkan mereka melihat dengan mata kepala mereka sendiri. Kemudian Musa mengisyaratkan dengan tangannya: “Musnahlah kamu semua, wahai Bani Lawiy.” Lantas mereka semua ditelan oleh bumi. Telah diriwayatkan daripada Qatadah, bahawasanya dia berkata: “Setiap hari, sedikit demi sedikit mereka ditelan bumi sehingga datangnya hari kiamat.”

Daripada Ibn ‘Abbas, dia berkata: “Mereka ditelan bumi sehingga lapisan ketujuh.” Majoriti ahli tafsir menyebut pelbagai kisah israiliyat tentang kisah ini yang sengaja kami tinggalkan. Firman Allah SWT:

فَمَا كَانَ لَهُ مِن فِئَةٍ يَنصُرُونَهُ مِن دُونِ اللَّهِ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُنتَصِرِينَ

Maksudnya: “Maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah” dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.”

(Surah al-Qasas: 81)

Iaitu dirinya sendiri tidak mampu menolong. Demikian juga halnya dengan orang lain tidak mampu menolongnya, sebagaimana yang tertera dalam firman Allah SWT:

فَمَا لَهُ مِن قُوَّةٍ وَلَا نَاصِرٍ

Maksudnya: “Maka (pada saat itu) tidak ada bagi manusia sebarang kekuatan (untuk membela diri), dan tidak ada penolong (yang dapat memberikan pertolongan).”

(Surah al-Tariq: 10)

Setelah Qarun ditenggelamkan di bumi, harta bendanya dimusnahkan, rumahnya dihancurkan serta dibinasakan jiwanya, keluarga dan kekayaannya, maka orang-orang yang berangan-angan untuk menjadi sepertinya menyesal dan bersyukur kepada Allah SWT yang telah mengatur segala urusan hamba-Nya sesuai dengan kehendak-Nya. Oleh kerana itu, mereka berkata:

لَوْلَا أَن مَّنَّ اللَّهُ عَلَيْنَا لَخَسَفَ بِنَا ۖ وَيْكَأَنَّهُ لَا يُفْلِحُ الْكَافِرُونَ ‎

Maksudnya: “Kalau tidak kerana Allah memberi pertolongan kepada kita tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah (seperti Qarun). Aduhai! Sesungguhnya orang-orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak akan berjaya!”

(Surah al-Qasas: 82)

(Lihat Qasas al-Anbiya’ oleh Ibn Kathir, 3/218-221)

Penutup

Pengakhiran Qarun dengan ditenggelamkan bumi, dibenamkan ke dalamnya – di mana sebelumnya dia meninggi diri di atasnya – adalah sebagai hukuman dan pembalasan yang setimpal. Qarun meninggalkan kehidupan dunia dalam keadaan lemah, sedangkan kemuliaan dan kekayaannya ketika di dunia dahulu tidak mampu menolongnya sedikitpun di akhirat kelak. Hal ini  juga merupakan suatu peringatan terhadap golongan musyrikin Quraisy bahawa hubungan kekerabatan mereka dengan Nabi SAW tidak akan membantu mereka walau sedikitpun jika mereka ditimpa azab seperti apa yang menimpa Qarun. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 5/2711; al-Tafsir al-Maudhu’i, 5/571)

Allah SWT mengkhabarkan bahawa nikmat akhirat yang kekal abadi dan tidak pernah berakhir adalah buat hamba-Nya yang beriman dan bersifat tawaduk. Mereka tidak menyombongkan diri ketika masih hidup di dunia, tidak mengangkat diri dan bersikap angkuh terhadap makhluk-makhluk Allah SWT yang lain serta tidak melakukan kerosakan dalam kalangan mereka iaitu dengan mengambil harta-harta orang lain tanpa hak, menzalimi orang lain atau melakukan maksiat. Selain itu, mereka juga tidak berlaku sombong terhadap kebenaran atau berpaling daripadanya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/258; Tafsir al-Maraghi, 20/102.

Daripada ‘Iyadh bin Himar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ أَوْحَى إلَيَّ أَنْ تَوَاضَعُوا حتَّى لا يَفْخَرَ أَحَدٌ علَى أَحَدٍ، وَلَا يَبْغِي أَحَدٌ علَى أَحَدٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mewahyukan kepadaku supaya bersifat tawaduk sehingga tidak ada seorang pun yang menyombongkan diri kepada orang lain dan juga agar seseorang tidak melampaui batas kepada seseorang yang lain.”

Riwayat Muslim (2865)

Selain daripada itu, Baginda SAW juga ada bersabda:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْر. قَالَ رَجُلٌ: إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً. قَالَ: إِنَّ اللهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ، الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ، وَغَمْطُ النَّاسِ.

Maksudnya: “Tidak masuk ke dalam syurga sesiapa yang di dalam hatinya ada kesombongan (sekalipun) sebesar zarah.” Seorang lelaki berkata: “Sesungguhnya seorang lelaki suka agar pakaiannya bagus (berkualiti dan cantik) dan sandalnya juga bagus.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah itu Maha cantik dan suka pada kecantikan. Sombong itu pula adalah angkuh pada kebenaran dan menghina orang lain.”

Riwayat Muslim (147)

Akhirnya, kesudahan yang baik iaitu mendapat balasan syurga adalah buat mereka yang bertakwa kepada Allah SWT, mentaati-Nya, meninggalkan perkara-perkara yang dilarang dan tidak bersikap angkuh dengan-Nya atau melakukan kerosakan di atas muka bumi ini sebagaimana yang dilakukan oleh Firaun dan Qarun. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 20/103)

Allah SWT turut mengkhabarkan bahawa sesiapa yang membawa satu kebaikan pada hari kiamat kelak, maka ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT buatnya adalah lebih baik daripada kebaikan yang dilakukannya itu. Dia menggandakan ganjaran tersebut dengan gandaan yang berlipat-lipat banyaknya. Manakala orang yang datang dengan membawa dosa kejahatan pula akan dibalas oleh Allah SWT setimpal mengikut amalan perbuatan mereka itu, sebagai tanda rahmat dan keadilan-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/2535-2536; al-Tafsir al-Munir, 20/172)

Akhir kalam marilah sama-sama kita berdoa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H