Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terbaca sebuah hadith yang menyebutkan bahawa kita dilarang menyebut Qaus Quzah (Pelangi), tetapi kita dituntut menyebut Qaus Allah iaitu lengkungan Allah. Adakah hadith ini sahih? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Pelangi menurut Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat ialah cahaya yang melengkung dan bermacam-macam warnanya di langit. Warna pelangi terdiri daripada gabungan 7 buah warna yang berbeza mengikut turutannya, ia bermula daripada atas dengan warna merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo (biru gelap) dan ungu.
Terdapat perbincangan yang dibahaskan oleh sebahagian ilmuan berkenaan isu nama pelangi, hal ini kerana datangnya sebuah hadith yang melarang daripada menyebut (قَوْسُ قُزَحٍ) atau lengkungan pelangi.
Diriwayatkan sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَقُولُوا: قَوْسَ قُزَحٍ، فَإِنَّ قُزَحَ شَيْطَانٌ، وَلَكِنْ قُولُوا: قَوْسَ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، فَهُوَ أَمَانٌ لِأَهْلِ الْأَرْضِ
Maksudnya: “Jangan kamu katakan lengkungan pelangi (قَوْسُ قُزَحٍ), sesungguhnya Quzah itu adalah syaitan. Akan tetapi katakanlah lengkungan Allah Azza wa Jalla, dia adalah pelindung bagi penduduk bumi.”
Ibn Manzur menyebutkan bahawa Quzah (قُزَحٌ) bermaksud jalur-jalur dan warna-warna pada lengkungan. Quzah (قُزَحٌ) juga adalah salah satu nama bukit di Muzdalifah. (Lihat Lisan al-Arab, 2/564)
Telah diriwayatkan sebuah hadith daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa pada suatu ketika Rasulullah SAW bangun pagi, Baginda berdiri di atas bukit Quzah. Lalu Baginda SAW bersabda:
هَذَا قُزَحُ وَهُوَ الْمَوْقِفُ وَجَمْعٌ كُلُّهَا مَوْقِفٌ وَنَحَرْتُ هَا هُنَا وَمِنًى كُلُّهَا مَنْحَرٌ فَانْحَرُوا فِي رِحَالِكُمْ
Maksudnya: “(Bukit) ini adalah Quzah, dan ia merupakan tempat perhentian, dan keseluruhannya (kawasan Muzdalifah) adalah tempat perhentian. Aku melakukan korban di sini (Quzah), dan keseluruhan kawasan Mina adalah tempat melakukan korban. Maka berkorbanlah di kediaman kamu.”
Riwayat Abu Dawud (1935)
Pandangan Ulama’ Berkenaan Hadith Larangan Menyebut Qaus Quzah
Ulama’ berbeza pendapat berkaitan isu ini, kami cuba membahagikannya kepada dua pandangan:
1) Pandangan yang melarang menyebut Qaus Quzah (قَوْسُ قُزَحٍ)
Antara yang menyebutkan perkara ini adalah:
Imam al-Nawawi, beliau bahkan meletakkan satu bab di dalam kitabnya al-Azkar yang bertajuk: “Dimakruhkan untuk menyebut Qaus Quzah bagi benda yang di langit ini (pelangi).” (Lihat al-Azkar, hlm. 368)
Ibn al-Qayyim menyebutkan di dalam sebuah fasal yang mengumpulkan perkataan-perkataan yang Rasulullah SAW tidak suka ianya disebutkan, antaranya adalah makruh menamakan Qaus Quzah bagi benda yang terlihat di langit (iaitu pelangi). (Lihat Zad al-Ma‘ad, 2/472)
Ibn al-Athir berkata bahawa ia dinamakan begitu bagi menggoda manusia kearah maksiat dan menghiasinya. Berasal dari perkataan تَقْزِيحٌ yang membawa maksud تَحْسِينٌ (menghiasi atau mencantikkan). (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Athar, 4/84)
al-Zamakhsyari menukilkan daripada al-Jahiz, katanya: “Seakan Rasulullah SAW melarang apa yang menjadi kebiasaan adat jahiliyyah, dan seakan Baginda lebih suka disebutkan Qaus Allah supaya diangkat kekuasaannya, seperti disebutkan: Baitullah dan tetamu-tetamu Allah.” (Lihat al-Fa’iq fi Gharib al-Hadith, 3/190)
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah tidaklah melarang secara langsung, akan tetapi pada zahir kalamnya beliau menamakan pelangi sebagai Qaus Allah. Ketika beliau menyebutkan di dalam kitab fatwa beliau tentang Qaus Allah (Lengkungan Allah), kemudian beliau berkata: “Yang mana ia dikatakan Qaus Quzah.” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 35/183)
2) Pandangan mengharuskan menyebut Qaus Quzah (قَوْسُ قُزَحٍ)
Ia diharuskan kerana dalil yang menghalang untuk menyebut Qaus Quzah (lengkungan pelangi) ini bermasalah.
Hadith ini disebutkan oleh Ibn al-Jauzi, beliau menghukumkannya sebagai maudhu‘[1]. Beliau menukilkan daripada Imam Ahmad dan Yahya bin Ma‘in bahawa perawinya yang bernama Zakariyya tiada apa-apa (tidak thiqah/bermasalah), dan Ibn al-Madini mengatakan bahawa di aitu adalah halik. (Lihat al-Maudhu‘at, 1/145)
dan al-Albani juga menghukumkannya sebagai maudhu‘ (palsu). Tambahan beliau, jika benar dikatakan bahawa adith ini mauquf, maka zahirnya ia merupakan israiliyyat yang berkemungkinan sebahagian sahabat mengambilnya daripada ahlul kitab. Pendirian orang mu’min berkenaan ini adalah diketahui, mereka tidak membenarkannya dan tidak juga mendustakannya, kecuali jika ianya bertentangan dengan syara‘ dan logik akal. (Lihat Silsilah al-Ahadith al-Dha‘ifah wa al-Maudu‘ah, 2/264)
Imam al-Syaukani mengatakan bahawa ia diriwayatkan daripada al-Khatib daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma secara marfu‘[2], dan di dalam sanadnya terdapat Zakariyya bin Hakim. Kata Imam al-Nasa’ie dan Yahya bin Ma‘in: “Dia bukanlah seorang yang thiqah (tidak boleh dipercayai).” (Lihat al-Fawa’id al-Majmu‘ah, hlm. 462)
Kesimpulan
Melihat kepada perbahasan ulama’ berkenaan hadith di atas, dengan mengambil kira pandangan mereka yang mengkritik status hadith tersebut dan mereka yang mengambilnya sebagai hujjah, kami mengambil jalan tengah dengan mengatakan bahawa hukum menyebut Qaus Quzah (lengkungan pelangi) ini bergantung kepada niat seseorang itu. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Umar bin al-Khattab R.A katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat.”
Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (19067)
Jika yang ingin dimaksudkan dengan Qaus Quzah tersebut adalah lengkungan syaitan, maka hukumnya adalah haram kerana dia beriktiqad dengan maksud yang fasid. Tidak syak lagi bahawa menamakan dengan nama tersebut adalah dilarang.
Akan tetapi, jika yang ingin dimaksudkan dengan Qaus Quzah tersebut adalah pelangi, dengan memahami bahawa padanya terdapat jalur-jalur dan warna-warni, maka hukumnya adalah harus, seperti mana yang difahami oleh uruf di Malaysia apabila mendapati lengkungan ini di dada langit selepas hujan. Ia diharuskan kerana tiada sebarang unsur mensyirikkan Allah SWT pada perkataan tersebut, juga pada iktiqadnya di dalam hati.
Kami akhiri dengan doa:
يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلُوبَنَا عَلَى دِينِكَ وَعَلَى طَاعَتِكَ
Maksudnya: “Wahai yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hati kami di atas agama-Mu dan dalam mentaati-Mu.”
Wallahu a‘lam
[1] Hadith Maudhu‘: Perawi mereka hadith dan berdusta menyandarkan hadith tersebut kepada Nabi SAW.
[2] Hadith Marfu‘: Hadith yang bersambung kepada Nabi SAW secara bersambung atau terputus.
Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H