#2200: Tribulasi Yang Dihadapi Oleh Syeikh Ahmad al-Sirhindi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ceritakan kepada kami kisah seorang ulama bernama al-Sirhindi? Juga saya ingin mengetahui bagaimana hujahnya di hadapan pemerintah yang zalim.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, kami nukilkan daripada kitab Islam Di Antara Ulama dan Pemerintah, hlm. 499-514 oleh Syeikh Abdul Aziz al-Badri, katanya:

Mehnah Ahmad Al-Sirhindi

Pada tahun 963H kerajaan Islam di India diperintah oleh seorang lelaki berdarah raja Moghul dan berketurunan Taimur. Beliau dikenali dengan nama Jalaluddin Akbar Semasa beliau menduduki takhta kerajaan negara itu, beliau menzalimi umat Islam India, menyakiti dan menyeksa mereka.

Beliau menindas para ulama’ mereka, mengganggu pemimpin-pemimpin mereka, menzalimi umat Islam di sana dengan berbagai seksaan yang kejam seperti pembunuhan, pengusiran, pengasingan, penangkapan sewenang- wenangnya dan penahanan penjara. Negara kacau-bilau dan porak peranda. Demikianlah perbuatan dan tindak-tanduknya terhadap umat Islam. Manakala sikap dan caranya terhadap Islam itu sendiri sungguh memalukan kerana beliau telah mengisytiharkan peperangan terhadapnya (Islam) dengan satu peperangan yang keji yang tidak ada ampun padanya.

Segala-galanya bermula dengan membatalkan kenabian Saidina Muhammad SAW dengan mendakwa bahawa zaman kenabian telah tamat dengan berlalunya seribu tahun yang pertama. Kini maşa seribu tahun yang kedua yang telah tiba, maka zaman ini mesti dimulakan dengan kepimpinan baru yang teragung dan spontan dia melantik dirinya sebagai Imam Al-Uzma (pemimpin yang teragung). Dialah pemegang kata putus, kata-katanya tidak boleh diderhakai, hukum hakam dan pemerintahannya tidak boleh ditolak. Segala-galanya mesti menurut manifesto yang telah ditandatangani oleh para pembesar India dan para ulama’ yang telah terpesong dan tersungkur di dalam ajaran sesat Akbar ini (Akbarisme).

Sesiapa sahaja yang berani menentang agama Akbarisme ini dan menolak hukum Raja Akbar ini, maka tempatnya di dalam penjara seumur hidup ataupun dibunuh secara kejam. Kemudian beliau mengharamkan penyembelihan lembu, mengharamkan penulisan menggunakan takwin haribulan Hijrah, mengharamkan kepada pembesar negara dan para penyokongnya menggunakan nama Nabi Muhammad sebagai nama mereka, tetapi hamba-hambanya dan khadamnya dinamakan Muhammad. Ini bertujuan semata-mata menghina dan merendah-rendahkan Nabi Muhammad SAW yang mulia.

Beliau menghalalkan minuman keras, judi, babi dan bernikah dengan gadis-gadis Hindu yang menyembah berhala Bukan kekufuran yang demikian terus-terang sahaja yang telah dilakukannya malah lebih jauh dari itu, beliau membuat upacara agama dan syiar-syiar keagamaan yang bertentangan dengan aqidah Islam dan bertentangan dengan ibadat Islam tetapi inilah yang diperintahkannya walhasil beliau membuat satu agama baharu.

Sembahyangnya menurut cara sembahyang Brahma Hindu iaitu mengadap ke matahari dan berbagai-bagai kekufuran, kesesatan dan penyelewengan yang dibuatnya. Sehingga umat Islam di negara yang mulia ini terjerumus di dalam berbagai mihnah, fitnah dan tribulasi. Malapetaka yang besar ini sungguh menghancur luluhkan hati dan membisukan mulut kerana penindasan ini adalah yang paling ganas dan tidak pernah dilihat oleh perikemanusiaan sepertinya, kecuali di dalam keganasan bangsa Tartar dan Moghul.

Di dalam suasana yang mencengkam dan menyeksakan ini, kehidupan umat dibaluti dek kekufuran, ilhad, maksiat dan penindasan, telah hidup Syeikh Ahmad bin Abdul Ahad Al-Faruqi Al-Sirhind[1] rahimahullah di tengah-tengah suasana yang demikian gelapnya. Beliau telah melihat suasana yang gawat itu sejak dari muda remajanya dan beliau telah mengalami sendiri kejahatannya yang sangat berbahaya itu pada waktu beliau masih belajar dan menuntut ilmu.

Setelah beliau menamatkan pelajarannya, beliau menjadi seorang alim yang dipandang sebagai salah seorang Syeikh Al-Islam (pemimpin Islam) yang mempunyai kata-kata yang berpengaruh di kalangan manusia dan mereka mengikuti nasihat dan tunjuk ajarnya. Pihak berkuasa menawarkannya pangkat dan jawatan yang tertinggi di negara itu. Tetapi beliau menolak mentah-mentah dengan segenap ketinggian dan keengganannya kerana tawaran itu merupakan noda yang keji dan kotor. Orang yang sepertinya tidak mungkin bekerjasama untuk meneguhkan kerajaan kafir, jahiliah dan mengukuhkan dasar-dasar pemerintahan yang merosakkan itu.

Tugas ulama’ sepertinya itu ialah mendokong dakwah Islam dengan penuh keberanian dan ketangkasan. Sesungguhnya beliau hendak membetulkan penguasa (umara’) dan pemegang tampuk pemerintahan negara itu serta meruntuhkan dan menghancurkan kerajaan yang kafir ini.

Beliau mahu menggantikan tempatnya dengan kerajaan Islam yang memelihara syariat Islam, menegakkan hukum Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW di segala jurusan hidup manusia. Beliau mahu membangunkan al- ma’aruf dan menghancurkan segala mungkar dan kejahatan, memelihara putera puteri umat Islam supaya sentiasa berada di atas landasan dasar-dasar Islam. Beliau tidak mahu menukar tugas mulianya itu dan tidak akan menerima dan tidak mahu sesuatu yang lain daripada Islam sebagai gantinya. Alhamdulillah apa yang dicita-citakan, apa yang diusahakan dan apa yang dikehendakinya telah disempurnakan oleh Allah SWT. Beliau dapat merealisasikan apa yang diidamkannya. Dengan mendapat taufik dan pertolongan dari Allah Ta’ala:

وَكَانَ حَقًّا عَلَيْنَا نَصْرُ الْمُؤْمِنِينَ ٤٥

Maksudnya: “Dan Kami selalu berkewajipan menolong orang-orang yang beriman.”

(Surah Al-Ruum: Ayat 47)

Demikianlah jaminan Allah SWT di dalam Al-Qur’an terhadap orang-orang yang beriman. Akan dapatkah beliau melahirkan apa yang dicitakan dan merealisasikan apa yang dikehendakinya itu tanpa mihnah, fitnah dan tindasan? Marilah kita lihat bersama!

Al-Syeikh Al-Sirhindi ini, terus-menerus mendokong dakwah Islam dan mengembangkannya di kalangan orang ramai. Beliau menyerahkan seluruh jiwa raganya untuk melaksanakan jihad dan dakwahnya itu demi menyelamatkan manusia dan negara Islam itu dari cengkaman kuku besi Jahiliyah kafir yang didokong oleh fikrah dan faham Akbarisme di bawah pimpinan Raja Akbar itu. Dia telah bertekad dalam dirinya untuk melaksanakan tugasnya yang mulia seperti mana yang telah dibuat oleh tokoh-tokoh dsri kalangan para ulama’ yang sebelum dan sesudahnya. Beliau mengajak dan menyeru orang ramai kepada dakwahnya dan menghimpunkan mereka untuk melaksanakan cita-citanya Ramai manusia mengikutinya. Semakin hari semakin bertambahlah pengikut-pengikut dan murid-muridnya yang menyokong dakwah dan jihadnya. Lantaran itu semangat beliau semakin berkobar, harapannya semakin tinggi dan usaha-usaha semakin dilipat gandakan dengan segenap kesungguhan dan tidak mengenal jemu dan bosan, tidak mengenal payah dan susah di dalam jihadnya yang suci itu.

Di tengah-tengah kesibukan melaksanakan urusan dakwahnya itu si Taghut durjana Raja Akbar meninggal dunia pada tahun 1014 hijrah dan terkubur jugalah fikrah Akbarisme tersebut dan tempatnya digantikan oleh puteranya yang bernama Jahangir.

Syeikh kita yang mulia ini, menyedari perkara itu dan memberi perhatian sepenuhnya kepadanya, lalu menyiapkan segala persediaan untuk meneruskan jihad dan dakwahnya. Langkah pertama yang diambil ialah melakukan islah terhadap raja yang baharu naik takhta kerajaan ini kerana baiknya seseorang pemerintah akan disertai dengan kebaikan ulama’ seperti Syeikh kita yang mulia ini. la juga akan membaikkan negara, demikian juga seluruh umat. Itu merupakan ketetapan syari’at islam.

Oleh kerana itu Syeikh kita yang mulia ini berpendapat bahawa: (( Sesungguhnya raja yang baharu ini telah dirosakkan oleh golongan perosak yang menyebabkannya memberontak kepada agama ini dan menyeleweng dari jalan yang benar. Dia bukanlah seluruh negara dan bukan juga seluruh umat, dia mesti mati, Mahu atau tidak mahu dia mesti tunduk kepada sunnah Allah SWT lalu dia mati dan diganti oleh orang lain. Jadi tidak boleh tidak, aku mesti menyempurnakan tugas dan tanggungjawabku dan aku mesti berhubung dengan pihak istana dengan pembesar-pembesar negara. Tidak ada tempat untuk putus harapan dari fitrah kemanusiaan kerana sesungguhnya kebaikan itu adalah dasar pokok di dalam fitrah manusia, sedangkan kerosakan itu adalah perkara yang mendatang kemudian. Lantaran itu mesti mencuba dan berusaha sungguh-sungguh. Sesungguhnya Allah SWT akan menolong sesiapa yang menolongnya (menolong agamaNya) dan Allah akan mengecewakan sesiapa yang mengecewakannya.))[2]

Dengan kefahaman yang sahih ini, jiwa yang demikian tingginya, Syeikh kita yang mulia ini mulalah menulis surat dan membuat perhubungan dengan panglima-panglima angkatan tentera dan pegawai-pegawai tinggi negara yang dipandang baik dan mempunyai sedikit sebanyak hidayah.

Beliau cuba membangunkan mereka tidur lena, kelekaan dan kelupaan serta memberi kesedaran kepada mereka dan menarik perhatian mereka tentang besarnya bahaya yang dibawa oleh fahaman Akbarisma itu. Alangkah besarnya bencana dan maksiat yang menimpa Islam dan bala bencana yang melanda umat Islam lantaran fikrah amalan Akbarisme yang kufur itu. [3]

Marilah kita bacakan suratnya yang telah dikirim kepada seorang panglima angkatan tentera kerajaan yang menjadi tulang belakang negara pada zaman Jahangir iaitu Khankhatan. Di antaranya dia berkata:

(Sesungguhnya medan kepahlawanan Islam sentiasa kosong dan menunggu-nunggu kedatangan seorang pahlawan dari barisan pahlawan-pahlawan Islam. Mahukah kamu mempelopori kebahagiaan ini. Mahukah kamu mencapai darjat yang utama dan pertama, menolong agama yang teraniaya ini, berasa marah kerana membela hak yang telah ditindas ini!. Dengan jihadmu di jalan ini, kamu dapat mencapai apa yang tidak dapat dicapai oleh ahli ibadat, yang sentiasa berpuasa dan bersembahyang. Majulah wahai ahli ghairah (semangat yang bernyala-nyala) dan kemuliaan, wahai ahli keberanian penuh maruah ).[4]

Setelah pembesar-pembesar istana Jahangir mengetahui isi kandungan surat-surat yang demikian, mereka dihasut oleh kebanggaan dosa dan diperdaya oleh syaitan, mereka memandang kewujudan Syeikh kita ini sebagai satu bahaya besar yang mengancam kedudukan mereka. Mereka merasakan hubungan Syeikh ini dengan pembesar-pembesar negara dan panglima-panglima angkatan tentera yang meragukan itu membahayakan kerajaan, umat Islam hatta kepada raja itu sendiri. Lalu mereka menakut-nakutkan raja itu dengan momokan Syeikh Al-Sirhindi dan membisikkan di telinga baginda betapa bahayanya dakwah Syeikh kita ini, demikian juga hubungannya dengan pegawai-pegawai tinggi negara dan panglima-panglima angkatan tentera dan mereka mencadangkan kepada baginda supaya membawa Syeikh kita ini mengadap di istana untuk disoal siasat dan diuji.

Dari sinilah timbulnya mehnah dan tribulasi. Dengan cara yang demikian menurut anggapan mereka, beliau dapat dibunuh dan dakwah beliau dapat dihapuskannya. Demikianlah tipu daya mereka dan inilah pakatan sulit mereka yang keji.

Para pembesar-pembesar negara, kuncu-kuncunya, para penyokong Raja dan talibarutnya, cukup mengetahui betapa teguhnya iman Syeikh kita, betapa kuat keyakinannya, betapa beraninya beliau dalam menentang Raja dan membangkang keras sikap Raja samada di dalam urusan khas dan am.

Syeikh kita tidak dapat dipujuk rayu, tidak mahu bertolak ansur, tidak mahu mengampun sesiapa samada Raja yang berkuasa ataupun yang dikuasai, yang memerintah ataupun yang diperintah, pemimpin ataupun yang dipimpin. Beliau tegas dan tangkas. Tidak takut kepada manusia mana pun juga.

Beliau tidak mahu sujud kepada Raja semasa berhadapan dengan Raja demi menurut tradisi dan protokol yang terkutuk itu. Apabila Raja bertanyakan kepadanya, beliau menjawab dengan tegas, terus terang, tangkas dan berani, kerana beliau tidak mahu mengampu Raja itu. Lantaran itu, beliau ditindas dan dikenakan mehnah dan tribulasi yang kejam.

Sang Raja hanya menyetujui cadangan pembesar dan pengawal-pengawal istananya. Lalu baginda memanggil ulama’ agung itu Syeikh Sirhindi ke istananya. Syeikh itu datang ke istana dan mengadap Jahangir. Semasa Syeikh itu masuk ke istana, beliau disuruh sujud kepada sang Raja, tetapi beliau enggan. Beliau terus mengucapkan salam menurut tradisi mulia Islam.

Lantaran itu, sang Raja sangat murka kepadanya dan terus bangun laksana orang yang dirasuk dan bertanya serta menyangkal: “Apa ini? Usir dia”, lantas memerintahkan pengawal-pengawalnya menangkap beliau dan membawanya dengan kawalan yang ketat lalu diseret masuk penjara benteng Kwaliar di tengah-tengah kota India.

Bertahun-tahun lamanya Syeikh kita yang mulia ini mendekam di dalam penjara. Pun begitu beliau sibuk beribadat, berdakwah dan menyeru semua penghuni penjara itu kepada Islam. Lantaran itu ramai penghuni penjara itu yang menyahut seruannya dan terus masuk Islam. Beratus-ratus orang banduan memasuki Islam, menghayati Islam dan mengikuti nasihat dan tunjuk ajar Syeikh kita yang mulia in sebagaimana yang direkodkan dalam Dairah al-Ma’ar Islamiyah (Ensiklopedia Islam).

Para penjenayah, pencuri, penyamun, perompak, penjahat dan pengganas yang telah menjadi penghuni penjara, menjadi muslim yang taat setia serta beribadat kepada Allah SWT dan sujud kepada Allah SWT yang Hidup dan Berdiri Sendiri. Mereka semua mengikuti setiap perintah Syeikh kita dan menjauhi larangan-larangannya. Sifat-sifat mulia dan akhlak yang terpuji terserlah dari diri mereka. Perubahan mendadak ini memberi kesedaran kepada pegawai tinggi penjara itu, lantas terus menulis surat khusus lagi istimewa kepada Raja Jahangir.

Di dalam suratnya itu, sang pegawai memberitahu Raja bahawa manusia yang dipenjarakan itu adalah Syeikh Sirhindi yang tidak sesuai duduk di dalam penjara. Syeikh itu bukanlah orang sembarangan tetapi beliau itu adalah laksana malaikat yang jarang-jarang dilahirkan oleh zaman. Sekiranya Raja menyetujui cadangan ini, kita bebaskan beliau dan kita muliakannya sesuai dengan darjatnya yang mulia. Lantaran itu Jahangir menyesali kekerasan yang telah dilakukannya terhadap Syeikh kita kerana terlalu terburu-buru tanpa berfikir sewajarnya.

Baginda memerintahkan supaya Syeikh kita dibawa ke ibu negara. Sebaik sahaja Raja itu mendapat tahu bahawasanya Syeikh kita telah hampir sampai di ibu kota, baginda mengutus putera mahkotanya Khom keluar dari ibu kota untuk menyambut Syeikh kita dengan penuh kehormatan untuk mengalu-alukan ketibaannya.

Semuanya itu dilakukan oleh Raja lantaran baginda telah lama meneliti sungguh-sungguh berita-berita Syeikh kita yang mulia ini dan telah mengkaji cara hidupnya selama ini. Beliau mendapati Syeikh kita adalah seorang alim yang beramal, jujur dan benar. Oleh sebab itu, baginda berusaha menghampiri Syeikh kita ini dan berkasih sayang dengannya.

Sheikh Sirhindi telah kembali dari penjara sebagai pemenang, kerana beliau telah menyempurnakan tugasnya di dalam penjara. Kini beliau akan menyempurnakan tugas syari’atnya di sisi Raja Jahangir.

Syeikh kita memasuki istana dan terus mengucap salam kepada Raja. Spontan sang Raja membalasnya dengan salam dan mengalu-alukan kedatangannya dan meminta maaf kepada Syeikh kita.

Peristiwa pertemuan bersejarah ini terjadi pada satu malam di bulan Ramadhan Al-Mubarak, sang Raja itu hanya mahukan Syeikh kita sahaja menjadi tamu kehormat di sisinya sepanjang bulan Ramadhan yang mulia. Sang Raja itu berharap kepada Syeikh kita ini supaya dia memberitahu kepadanya apa yang telah direncanakannya dan menyatakan apa yang hendak dilaksanakannya dan memberitahu kepadanya hakikat dakwahnya. Lantas Syeikh kita dengan gembiranya menyatakan seluruh cita-cita dan rancangannya.

Kerana sesungguhnya itulah yang telah menjadi idamannya dan inilah hari yang dicita-citakannya.

Syeikh kita ini menjadi tetamu Sang Raja sepanjang bulan Ramadhan di istananya. Beliau memperkatakan hakikat Islam dan konsep keadilannya dan tidak lupa menerangkan kepada baginda cara hidup Khulafa al-Rasyidin dan para penguasa dan pemerintah yang saleh di zaman pemerintahan Islam yang silam. Allah SWT telah mengurniakan kata-kata yang benar kepada Syeikh kita di dalam ucapannya dan cara penyampaiannya yang baik, menawan hati para pendengarnya dan kesejahteraan di dalam membentangkan sesuatu persoalan.

Sang Raja hanya mendiamkan diri untuk memerhatikan dan memahami segala butir-butir yang diperkatakan oleh Syeikh kita. Lalu baginda mula menunaikan ibadat sembahyang dengan menjadi makmum di belakang Syeikh kita dan bersembahyang terawih di belakangnya di malam-malam bulan Ramadhan yang mubarak itu. Suara Syeikh kita yang membaca ayat-ayat Al-Quran al-Karim berkumandang di dalam istana. Sang Raja hidup di dalam udara dan suasana ruhani yang indah mewangi.

Dengan rahmat kurnia Allah SWT dan taufiqNya Syeikh kita ini telah berjaya mengubah hati dan fikiran Sang Raja ini, lalu baginda mencintai Islam dan yakin sepenuhnya kepada Islam. Akhirnya baginda mengisytiharkan beberapa perintah resmi kepada umat Islam yang antaranya berbunyi seperti berikut:

1: Mengharamkan sujud kepada Raja.

2: Mengizinkan penyembelihan lembu.

3: Melantik kadhi-kadhi, hakim-hakim dan pegawai-pegawai akhlak (Hisbah) di setiap negeri.

4: Membangunkan kembali masjid-masjid yang telah diruntuhkan.

5: Membatalkan segala undang-undang yang bertentangan dengan syari’at Islam dan yang bertentangan dengan hukum- hukum Islam. [5]

Demikianlah kelakuan anak raja yang saleh ‘Raja Jahangir’ menghapuskan apa yang telah direncanakan dan dilaksanakan oleh ayahnya yang kafir (Raja Akbar) dan rosak. Ini semua adalah jasa dan tunjuk ajar Syeikh kita yang mulia. Benarlah pepatah yang mengatakan:

إِنَّ الْمُلُوكَ لَتَحْكُمُ عَلَى الْوَرَى وَعَلَى الْمُلُوكِ لَتَحْكُمُ الْعُلَمَاءُ

Maksudnya: “Sesungguhnya raja-rajalah yang menguasai orang ramai, dan di atas raja-raja itu ulama’ pulalah yang berkuasa”.

Merasakan bahawa tugasnya telah selesai maka Syeikh Al-Sirhindi meminta izin untuk kembali ke negerinya, lalu Sang Raja yang saleh itu memberi izin kepadanya dengan penuh kemuliaan dan penghormatan. Syeikh kita kembali ke pondoknya (tempat pengajiannya) di Sirhindi dan terus- menerus mengajar, mendidik dan memberi nasihat kepada pengikut-pengikut dan murid-muridnya supaya mereka mendokong dakwah dan risalah Islam kepada orang ramai dan membimbing kerajaan Islam yang baru itu menaiki tangga kemuliaan di bawah panduan dan hidayat Islam. Umat Islam hidup di di dalam suasana aman di bawah naungan agama Islam setelah mereka dibebaskan dari malapetaka, kesengsaraan, dukacita, mehnah dan tribulasi dari fikrah Akbarisme yang jahiliyah dan kafir itu.

Syeikh kita yang saleh dan agung ini, telah mendokong amanah dakwah Islam yang akhirnya menjadikan Islam menguasai negara India kembali. Kemudian amanah dakwah ini didokong pula oleh para penggantinya yang terdiri dari murid-muridnya dan putera-puteranya yang menguasai India selepas wafatnya, sambung-menyambung angkatan demi angkatan, generasi demi generasi hingga hari ini.

Beliau telah berjaya meletakkan amanah Islam dan perundangan syariatnya di bahu pemimpin-pemimpin dan pengganti-penganti yang diangkat selepas mereka. Beliau wafat setelah sampai umurnya sama dengan umur Rasulullah SAW dan mendapat redha dari Allah SWT yang Maha Pengasih Penyayang. InsyaAllah dia akan dimasukkan di dalam Jannatul Khuldi yang penuh bahagia. Firman Allah Ta’ala:

وَالذِينَ جَهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan- jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.”

(Surah Al-Ankabut: Ayat 69)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah SWT jadikan kita orang yang thabit dalam cintakan agama dan menegakkannya. Marilah sama-sama kita berdoa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

[1] Beliau dilahirkan pada tahun 971 Hijrah. Bacalah Kitab Nuzhatul Khawatir cetakan Dairah al-Maarif, Hydrabad, India.

[2]Lihat Majalah Al Muslimun him, 625-627 makalah karangan Al-Alamah Abu Al- Hassan Al Nadwi

[3] Lihat Mas’ud Nadawi, Tarikh al-Dakwah al-Islamiyah Fi al-Hindi wa al- Bakistani, hlm.24

[4] Lihat Majalah Al Muslimun, him 625-627 makalah karangan Al-Alamah Al-Hassan Al- Nadwi

[5] Syeikh Al-Sirhindi wafat pada 1034H semasa berumur 63 tahun.

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H