#2201: Suami Meninggal Luar Negara, Isteri dalam ‘Iddah Ingin Pergi Ziarah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Seorang lelaki mempunyai empat orang isteri. Dia telah pergi ke London bersama salah seorang isterinya. Suami tersebut kemudian telah meninggal di sana dan dikebumikan di sana. Sedangkan isterinya seorang lagi berada di Mekah. Manakala dua orang lagi berada di Malaysia.

Persoalannya, bolehkah isterinya yang berada di Mekah dan yang berada di Malaysia untuk pergi ke London, memandangkan kesemua mereka berada dalam tempoh iddah? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertama, kami kemukakan terlebih dahulu berkenaan maksud ‘iddah dan larangan dalam iddah.

‘Iddah ialah kata nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang wanita untuk menunggu, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/77-85).

‘Iddah bagi perempuan yang kematian suami adalah 4 bulan 10 hari dan termasuk di dalam bilangan ‘iddah tersebut adalah hukum ihdad (berkabung) bagi si isteri. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.”

(Surah al-Baqarah: 234)

Berdasarkan ayat ini, para ulama membahaskan perkataan ‘يَتَرَبَّصْنَ’ yang menunjukkan larangan bagi wanita kematian suami untuk berkahwin dengan lelaki lain atau keluar dari rumah sepanjang tempoh beriddah. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 3/176) 

Hikmah pensyariatan ini ialah adalah bersifat taʻabbudiyah (taat dan patuh) kepada Allah dan sebagai satu penghormatan buat suami yang telah meninggal dunia. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 7/625)

Justeru, dalam menempuh bilangan ‘iddah serta berkabung bagi kematian suami, seseorang perempuan itu tidak boleh keluar dari rumahnya sepanjang tempoh ber’iddah tersebut melainkan darurat atau keperluan hajat.

Ini juga berdasarkan sabda Nabi SAW kepada Furai’ah binti Malik bin Sinan yang mana telah bertemu Nabi SAW bertanyakan adakah boleh bagi dirinya untuk pulang ke pangkuan ahli keluargnaya, Bani Khudrah kerana telah kematian suaminya. Lalu jawab Baginda SAW:

امْكُثِي فِي بَيْتِكِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ

Maksudnya:Tetaplah kamu di rumahmu sehingga sampai apa yang telah ditetapkan.”

Riwayat Abu Daud (2300) dan al-Tirmizi (1204)

Furai’ah R.Anha telah melengkapkan ‘iddahnya selama 4 bulan 10 hari dan ketika zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin ‘Affan RA, beliau telah menghantarkan seseorang untuk bertanyakan mengenai peristiwa tersebut lalu Furai’ah menceritakan perihal peristiwa tersebut dan Khalifah Uthman RA mengikutinya dan juga berhukum dengannya.

Al-Khattabi menyatakan bahawa berdasarkan hadith di atas, bagi perempuan yang kematian suaminya, perlulah ber’iddah di rumah suaminya dan tidak boleh untuk keluar dari rumah tersebut melainkan dalam keadaan darurat serta hajat dan itulah pendapat al-Imam Malik, al-Thauri, al-Syafi’e, Ahmad dan Muhammad bin al-Hasan. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 3/287)

Begitu juga al-Imam Ibn Abd al-Bar menyebutkan di dalam kitabnya al-Istizkar bahawa perempuan yang kematian suaminya perlulah ber’iddah di dalam rumah di mana didiami olehnya sama ada miliknya atau suaminya. Tidak boleh bagi perempuan tersebut untuk menyelesaikan ‘iddahnya kecuali di rumah tersebut dan inilah pendapat al-Imam Malik, al-Syafi’e, Abu Hanifah serta pengikutnya, al-Thauri, al-Auza’ie, al-Laith bin Sa’ad dan Ahmad bin Hanbal Rahimahumullah. (Lihat al-Istizkar, 6/214)

Berdasarkan nas al-Quran serta hadith di atas, para ulama’ sepakat mengatakan bahawa hukum perempuan yang dalam ‘iddah kematian suaminya tidak boleh keluar sebaliknya haruslah tetap berada di dalam rumah suaminya sehingga sempurna ‘iddahnya.

Namun, jika seorang wanita yang beriddah kematian suami perlu keluar dari rumahnya untuk memenuhi hajat keperluan maka diberi kelonggaran untuk berbuat demikian. Hal ini berdasarkan riwayat daripada Jabir bin Abdullah RA:

طُلِّقَتْ خَالَتِي ثَلاَثًا فَخَرَجَتْ تَجُدُّ نَخْلاً لَهَا فَلَقِيَهَا رَجُلٌ فَنَهَاهَا فَأَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَتْ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ لَهَا:‏ اخْرُجِي فَجُدِّي نَخْلَكِ لَعَلَّكِ أَنْ تَصَدَّقِي مِنْهُ أَوْ تَفْعَلِي خَيْرًا‏‏.‏

Maksudnya: “Ibu saudaraku yang telah diceraikan mahu keluar memetik kurma. Ketika ibu saudaraku keluar untuk mendapatkan kurma, dia menjumpai seorang lelaki dan menegur perbuatannya itu (kerana keluar semasa iddah). Maka, ibu saudaraku itu datang berjumpa dengan Nabi Muhammad dan bercerita kepadanya apa yang telah berlaku. Baginda bersabda: Sudah tentu kamu boleh memetik kurma dari pohonnya, supaya kamu boleh bersedekah sebahagian daripadanya atau berbuat baik dengannya.”

 Riwayat Muslim (1438)

Selain itu terdapat riwayat daripada Mujahid RA, beliau berkata:

اُسْتُشْهِدَ رِجَالٌ يَوْمَ أُحُدٍ فَجَاءَتْ نِسَاؤُهُمْ رَسُولَ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – وَقُلْنَ، يَا رَسُولَ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – نَسْتَوْحِشُ بِاللَّيْلِ، أَفَنَبِيتُ عِنْدَ إحْدَانَا، فَإِذَا أَصْبَحْنَا بَادَرْنَا إلَى بُيُوتِنَا؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -: تَحَدَّثْنَ عِنْدَ إحْدَاكُنَّ، حَتَّى إذَا أَرَدْتُنَّ النَّوْمَ، فَلْتَؤُبْ كُلُّ وَاحِدَةٍ إلَى بَيْتِهَا.

Maksudnya: “Ketika beberapa orang sahabat meninggal dunia di medan Uhud, isteri-isteri mereka telah datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah, kami merasa sunyi bersendirian pada waktu malam, apakah boleh kami bermalam di rumah sahabat-sahabat kami dan apabila menjelang siang kami pulang ke rumah masing-masing? Baginda bersabda: Kamu boleh berbual-bual di rumah sahabat-sahabat kamu sehinggalah kamu mahu tidur, pulanglah ke rumah kamu masing-masing.”

Riwayat Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (15512)

Berdasarkan riwayat-riwayat di atas, dapat difahami bahawa wanita kematian suami dibolehkan keluar rumah jika ada keperluan dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan oleh Islam. 

Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. (Lihat Garis Panduan Ber`Iddah Bagi Wanita Yang Bercerai Atau Kematian Suami, oleh JAKIM)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa pada asalnya memang tidak boleh. Namun, disebabkan mungkin rumah suami tersebut berada di sana, maka kita katakan ia adalah dibolehkan.

Begitu juga, boleh jadi dalam kes ini, perlu kepada penyelesaian beberapa tuntutan yang terkait dengan si mati dan juga hartanya. Maka, ketika itu, kami katakan hukumnya harus dengan syarat pemergiannya diiringi oleh kaum keluarganya dan menjaga segala adab-adab yang terkait dengan hukum iddah. Di samping itu, amat perlu dia sentiasa menginsafi diri yang dia berada dalam iddah dan dibataskan seupaya mungkin sebagaimana yang dikehendaki oleh Syarak. 

Banyakkan beristighfar serta beribadat di samping berdoa untuk suami dan diri serta kelaurga agar sentiasa mendapat rahmat, inayah dan keampunan daripada Tuhan. 

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu”.

(Surah al-Hasyr: 10)

Kami berdoa kepada si mati semoga Allah SWT menempatkannya di kalangan orang-orang soleh.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampunlah dosanya, limpahkan rahmat kepadanya, selamatkan dia dan ampunkan kesalahannya.”

Bertarikh: 11 Julai 2023 bersamaan 22 Zulhijjah 1444 H