#2203: Status Darah Perempuan Hamil

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya hendak bertanya. Sebelum ini saya pernah period dan darah keluar selama 14 hari (darah yang keluar seperti darah haid dan saya tidak solat) dan dalam masa yang sama saya tidak tahu masa ini saya sudah mengandung sebulan lebih. Soalannya, saya hendak tahu darah yang keluar tu, adakah darah haid atau darah penyakit? Justeru, bagaimana dengan solat yang saya tinggalkan ketika itu? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, apabila seseorang individu wanita itu hamil, dia tidak akan melalui proses ovulasi. Keadaan ini sekali gus akan menghentikan kedatangan period. Ini kerana darah haid hanya akan keluar apabila seseorang individu itu tidak mengandung. Kitaran haid berlaku untuk memudahkan proses kehamilan. Hari pertama seseorang individu itu didatangi haid dan berakhir sebelum hari pertama untuk kitaran seterusnya.

Ovulasi pula adalah apabila ovari mengeluarkan ovum, ia berlaku pada pertengahan proses kitaran haid. Ovum hanya dapat bertahan untuk tempoh 12 hingga 24 jam selepas proses ovulasi berlaku. Sekiranya sperma hadir dan berjaya menembusi serta bersenyawa dengan telur, maka ovum akan menempel pada dinding rahim; keadaan ini bermakna anda hamil. Jika tiada persenyawaan berlaku, haid akan hadir dan badan akan meluruhkan lapisan rahim supaya ia boleh menghasilkan dinding rahim baru untuk kitaran haid yang seterusnya. Jadi bagi menjawab persoalan, adakah boleh untuk anda mengandung tapi period? Jawapan paling tepat, adalah tidak.[1]

Menurut Dr. Zubaidi Hj Ahmad, salah satu tanda kehamilan ialah tidak datang darah haid pada tarikh sepatutnya. Oleh itu amat pelik jika ada wanita yang mengaku hamil dan mengalami haid. Ini satu kekeliruan. Kedatangan haid dan kehamilan ibarat malam dan siang. Mana mungkin malam dan siang berlaku serentak. Begitu juga dengan kehamilan dan kedatangan haid. Mustahil orang yang hamil akan kedatangan haid kerana kedua-duanya tidak berlaku serentak. Kekeliruan ini juga menyebabkan doktor mengira tarikh dijangka melahirkan bayi (date of delivery) pada tarikh yang salah. Masalah ini selalunya diselesaikan dengan bantuan pemeriksaan ultrasound.

Sebenarnya mereka mengalami pendarahan di awal kehamilan, bukannya kedatangan darah haid. Darah yang keluar dari faraj dan seolah-olah darah haid. Tetapi pendarahan di awal kehamilan dan kedatangan haid adalah suatu yang berbeza.
Pendarahan haid berlaku apabila rahim mengalami perubahan pada struktur dalamnya. Sel-sel pada sebelah dinding dalam rahim (yang dinamakan endometrium) akan mengalami penebalan sebagai persediaan untuk menerima telur ovum yang telah disenyawakan. Ia ibarat menyediakan tanah yang subur untuk menanam benih. Namun begitu jika telur ovum tidak disenyawakan, dengan kata lain seseorang itu tidak hamil, maka sel-sel rahim endometrium ini akan dikeluarkan bersama-sama darah pada dinding rahim. Ketika inilah berlakunya pendarahan haid.

Jika telur ovum yang telah disenyawakan itu melekat dan ‘tertanam’ ke dalam sel-sel rahim endometrium, maka hormon progesterone yang dikeluarkan dari ovari dan uri dari pembentukan janin (embryo) akan menyebabkan lapisan sel endometrium semakin menebal untuk membantu dan menyokong pembesaran janin. Oleh itu, sel-sel endometrium ini tidak akan keluar bersama darah rahim sehingga tempoh kehamilan berakhir.

Pendarahan di awal kehamilan boleh berlaku, sama ada ia menandakan sesuatu yang agak serius atau mungkin sesuatu yang agak normal. Sebahagian wanita mengalami pendarahan yang agak sedikit atau dipanggil spotting di awal kehamilan mereka, kebetulan pula bertepatan pada hari mereka sepatutnya kedatangan darah haid. Jadi mereka menyangka bahawa mereka sedang mengalami haid, sebelum mereka mengetahui kemudian bahawa sebenarnya mereka sedang hamil. Pendarahan ini dinamakan “implantation bleeding” disebabkan telur ovum yang telah disenyawakan sedang ‘tertanam’ ke dalam sel-sel rahim endometrium yang kaya dengan saluran darah yang membekalkan oksigen dan nutrisi. Pendarahan ini selalunya sedikit dan akan berakhir dengan sendirinya antara 2-3 hari.[2]

Dikatakan bahawa pendarahan faraj semasa hamil trimester pertama adalah perkara biasa. Dianggarkan lebih 20% kehamilan mengalami pendarahan ringan atau tompokan darah semasa mengandung dan kebanyakan mereka yang berdepan situasi ini dapat melalui kehamilan sihat. Selalunya punca darah keluar ketika hamil yang berlaku adalah tidak berbahaya walaupun sebelum seseorang individu tersebut menyedari diri sedang mengandung. Tanda-tanda pendarahan implantasi adalah pendarahan ringan atau tompokan di sekitar tempoh jangkaan kedatangan haid. Namun tidak semua wanita akan melaluinya. Ramai yang tertanya-tanya berapa banyak pendarahan awal kehamilan yang dianggap normal. Walaupun pendarahan awal mungkin menunjukkan kehadiran masalah yang serius, namun selalunya ia jarang berlaku. Umumnya istilah tompokan ini biasanya merujuk kepada beberapa titik darah dan tidak menutupi keseluruhan tuala wanita atau panty liner. Manakala pendarahan pula adalah aliran darah yang cukup berat sehingga memerlukan pemakaian tuala wanita.[3]

Menurut Dr. Zubaidi Hj Ahmad lagi, di awal kehamilan boleh berlaku pendarahan apabila doktor melakukan pemeriksaan faraj atau ‘Pap smear’. Pendarahan juga berlaku apabila melakukan hubungan kelamin di awal kehamilan. Pendarahan di awal kehamilan juga menandakan sesuatu yang lebih serius, seperti tanda keguguran atau kehamilan di luar rahim. Ia bukan saja boleh menyebabkan kematian pada janin yang berada dalam rahim tetapi juga nyawa ibu yang hamil. Oleh itu, jika mengalami pendarahan seperti ini, harus segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan, terutama jika pendarahan tidak berhenti selepas beberapa hari.[4]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, para fuqaha berselisih pendapat berkenaan status darah yang dilihat oleh wanita hamil kepada dua pendapat.

Pendapat pertama, ia dianggap sebagai darah haid. Justeru, haram ke atas wanita hamil tersebut untuk mendirikan solat dan berpuasa. Ini adalah pendapat yang dipegang oleh ulama mazhab Maliki dan pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi‘i. Imam al-Nawawi menyebutkan, sekiranya seorang wanita hamil melihat darah (keluar darinya), yang mana darah itu boleh dianggap sebagai darah haid. Maka terdapat dua pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafi‘i. Pengarang al-Hawi, al-Mutawalli, al-Baghawi, dan lain-lain menyebutkan bahawa menurut pendapat jadid, ia dikira sebagai darah haid, manakala menurut pendapat qadim, ia tidak dikira sebagai  haid. Para ashab telah bersepakat menyatakan bahawa pendapat yang sahih, ia dikira sebagai haid.

Di antara hujah yang dikemukakan yang menyokong pendapat yang menyatakan bahawa ia dianggap sebagai darah haid adalah kerana darah itu mempunyai sifat-sifat atau ciri-ciri darah haid dan pada masa yang kemungkinan untuk berlaku. Begitu juga kerana terdapatnya keraguan padanya antara darah fasad kerana penyakit ataupun darah haid, pada asalnya adalah selamat daripada darah penyakit. Al-Khatib al-Syirbini menambah, sekalipun tempoh ‘iddahnya belum lagi habis kerana tujuan ‘iddah adalah bagi memastikan rahim suci dan ia tidak boleh berlaku melalui kiraan quru’ apabila wanita itu hamil kerana tempoh ‘iddah itu dikira habis dengan kelahiran. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/384-387; Mughni al-Muhtaj, 1/293).

Pendapat kedua, ia tidak dianggap sebagai darah haid, sebaliknya ia dikira sebagai darah istihadhah atau darah fasad. Ini merupakan pendapat ulama mazhab Hanafi, Hanbali dan pendapat qadim dalam mazhab Syafi‘i.

Ibn Qudamah menyebutkan, Imam kami berhujah (bagi menyokong pendapat ini) berdasarkan hadith Salim daripada bapanya, bahawa beliau telah menceraikan isterinya yang sedang haid. Lalu Umar bertanya kepada Nabi SAW (mengenai hal itu). Maka, Baginda SAW bersabda:

مُرْهُ فَلْيُرَاجِعْهَا، ثُمَّ يُطَلِّقهَا طاهِرًا أوْ حَامِلًا

Maksudnya:Perintahkannya untuk kembali rujuk kepada isterinya. Kemudian ceraikanlah dia ketika dia sedang suci atau hamil.”

Riwayat al-Tirmizi (1175)

Maka, Baginda telah menjadikan kehamilan itu sebagai tanda atau alamat tidak haid sebagaimana Baginda juga telah menjadikan kesucian itu sebagai tanda tidak haid. Hal ini juga kerana pada waktu itu bukan waktu yang kebiasaannya haid. Jadi, darah yang dilihatnya itu tidak boleh dianggap sebagai haid sebagaimana halnya juga perempuan yang sudah menopaus.[5] Imam Ahmad juga ada menyatakan, wanita hanya dapat mengetahui bahawa dia hamil dengan berhentinya darah (iaitu darah haid). (Lihat al-Mughni, 1/444).

Tambahan lagi, al-Khatib al-Syirbini juga ada menambah selepas menyebutkan pendapat kedua dalam mazhab Syafi‘i iaitu pendapat qadim, bahawa ia bukanlah darah haid sebaliknya hadas da’im seperti kencing tidak lawas. Hal ini kerana kehamilan menghalang keluarnya darah haid. Bahkan kehamilan dijadikan sebagai bukti atau dalil kepada kesucian rahim. Justeru, ini menunjukkan bahawa wanita yang hamil tidak haid. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/293).

Selain itu, Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah selepas membawakan khilaf ulama berkenaan isu ini sebagaimana di atas, mereka menyimpulkan dengan menyatakan, perubatan moden hari ini menegaskan bahawa darah yang keluar dari wanita hamil tidak boleh dikira sebagai haid, kerana haid adalah keluarnya lapisan rahim selepas kegagalan persenyawaan telur. Sekiranya telur berjaya disenyawakan dan melekat pada dinding rahim, lapisan tidak akan tumpah kecuali dengan keguguran kandungan. Oleh sebab itu, kami berfatwa dengan pendapat qadim dalam mazhab Syafi‘i, dan ia juga merupakan pendapat yang dipegang oleh ulama mazhab  Hanafi dan Hanbali. Begitu juga wanita yang hamil wajib untuk berwuduk dan mendirikan solat sekalipun dia melihat darah. Namun, jika darah yang keluar itu berterusan keluarnya, dia juga tetap diwajibkan untuk mendirikan solat dan dia hendaklah berwuduk bagi setiap solat yang hendak didirikan selepas masuk waktunya. Darah yang keluar daripada mereka (wanita hamil) adalah darah penyakit dan bukannya darah haid. Selain itu juga dia hendaklah segera pergi merujuk kepada doktor pakar bagi mendapatkan rawatan yang sesuai.[6]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, dengan mengambil kira pendapat ahli al-khibrah dan pakar perubatan, kami berpendapat bahawa darah yang keluar dari wanita hamil tidak dianggap sebagai darah haid. Hal ini kerana kehamilan itu sendiri menunjukkan kepada sucinya (dari haid) dan menghalang keluarnya darah haid. Maka, darah yang keluar dari wanita hamil dianggap sebagai darah penyakit dan mereka tetap perlu mendirikan solat dan berpuasa.  Ini juga merupakan pendapat qadim dalam Mazhab Syafi‘i, dan ia dikuatkan lagi oleh pendapat pakar perubatan moden pada hari ini berdasarkan kajian mereka.

Walau bagaimanapun, kami juga menyarankan kepada wanita hamil tersebut jika ada berlaku pendarahan sama ada sedikit ataupun banyak, hendaklah segera merujuk kepada doktor pakar bagi diperiksa kerana dikhuatiri akan membahayakan dirinya mahupun bayinya dan seterusnya mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

Berkenaan saudari yang bertanya, kami berpendapat bahawa saudari tidak perlu menggantikan semula solat yang ditinggalkan sepanjang tempoh 14 hari tersebut kerana beranggapan ia adalah darah haid (berdasarkan ciri-ciri yang dilihat) dan pada masa sama saudari tidak mengetahui bahawa telah mengandung, dengan bertaqlid kepada pendapat jadid dalam mazhab Syafi‘i dan ulama yang berpendapat sedemikian. Ini juga selari dengan kaedah yang menyebutkan:

النَّادِرُ لَا حُكْمَ لَهُ

Maksudnya: “Perkara yang jarang berlaku, tidak diputuskan hukum baginya.”

Begitu juga kaedah yang menyebutkan:

مَنْ ابْتُلِيَ بِمُخْتَلَفٍ فِيهِ كَانَ لَهُ أَنْ يُقَلِّدَ مَنْ أَجَازَ

Maksudnya:Sesiapa yang diuji dengan suatu kesusahan yang diperselisihi di dalamnya, maka dia boleh bertaqlid dengan ulama yang mengharuskannya.”

Lebih-lebih lagi, di sana terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan wanita mengandung tetapi period atau darah haid boleh berlaku kerana proses persenyawaan yang berlaku ketika seseorang individu wanita itu hampir period. Umumnya, proses persenyawaan tidak akan berlaku sejurus selepas hubungan seks dilakukan. Persenyawaan biasanya berlaku selepas beberapa hari hubungan intim antara pasangan dilakukan. Terdapat kemungkinan pada ketika telur berjaya disenyawakan adalah hari yang sepatutnya individu wanita tersebut didatangi haid.[7]

Selain itu juga, mengqadha’kan solat yang ditinggalkan bagi perempuan yang haid merupakan suatu kepayahan, dan Islam mengangkat kesusahan dan kepayahan daripada penganutnya. Terdapat hadith daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ، فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ، وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Perkara itu (yakni haid) adalah (ketetapan) yang ditimpakan ke atas kita (kaum wanita). Maka kita diarahkan untuk menggantikan puasa (kerana haid) dan tidak diperintahkan untuk menggantikan solat (fardhu yang ditinggalkan pada waktu haid).” 

Riwayat Muslim (335)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas menjelaskan, sesungguhnya solat itu banyak dan berulang-ulang, maka akan menyusahkan wanita untuk menggantikannya, berbeza dengan puasa, yang diwajibkan dalam setahun itu sekali sahaja, dan mungkin seseorang wanita itu haid hanya satu atau dua hari sahaja. Ashab kami (ulama Syafi‘iyyah) menyebutkan, setiap solat yang luput pada zaman haid tidak diqadha’kan melainkan dua rakaat (solat sunat) tawaf. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/26)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

 

[1] Lihat https://hellodoktor.com/kehamilan/tips-hamil/penjagaan-kehamilan/period-tapi-mengandung-bolehkah-berlaku/. Artikel ini ditulis oleh Asyikin Md Isa dan disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan pada 22/05/2023. Diakses pada 7 Julai 2023.

[2] Lihat https://www.facebook.com/DrZubaidiHjAhmad/photos/a.246133765406706/3185829114770475/?type=3. Diakses pada 7 Julai 2023.

[3] Lihat https://hellodoktor.com/kehamilan/tips-hamil/masalah-kehamilan/darah-keluar-ketika-hamil-normal/. Artikel ini ditulis oleh Asyikin Md Isa dan disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman pada 15/05/2023. Diakses pada 7 Julai 2023.

[4] Lihat https://www.facebook.com/DrZubaidiHjAhmad/photos/a.246133765406706/3185829114770475/?type=3. Diakses pada 7 Julai 2023.

[5] Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, menopaus ialah peringkat waktu apabila wanita mengalami keadaan putus haid (biasanya dlm lingkungan umur 50). (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=menopaus&d=233060&. Diakses pada 7 Julai 2023).

[6] Lihat https://aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=797. Diakses pada 7 Julai 2023.

[7] Lihat https://hellodoktor.com/kehamilan/tips-hamil/penjagaan-kehamilan/period-tapi-mengandung-bolehkah-berlaku/. Artikel ini ditulis oleh Asyikin Md Isa dan disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan pada 22/05/2023. Diakses pada 7 Julai 2023.

Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H