#2205: Hukum Muazzin Menyebut ‘Saf’ Ketika Iqamah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya tertanya-tanya, kenapa kebanyakan bilal selalu menyebut perkataan saf ketika Iqamah? Adakah ia dibolehkan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pensyariatan Iqamah

Iqamah didefinisikan sebagai pemberitahuan untuk mendirikan solat dengan lafaz yang khusus. (Lihat Fiqh al-Ibadat ‘ala al-Mazhab al-Maliki, hlm. 128)

Terdapat beberapa riwayat tentang lafaz iqamah daripada Nabi SAW, Antaranya ialah dengan melafazkan sekali sahaja kecuali pada lafaz takbir di awal dan akhir, iaitu dilafazkan dua kali, begitu juga  lafaz قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ dilafazkan dua kali juga. Maka jumlahnya ada sebelas kalimah.

Cara ini merupakan pendapat yang dipilih oleh ulama mazhab al-Syafi’iyyah, Hanabilah, dan juga merupakan pendapat Malikiyah, tetapi mereka (Malikiyah) melafazkan قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ  sekali saja. (Lihat al-Mughni, 2/59, al-Mudawwanah, 1/179)

Dalam hadith Abdullah bin Zaid RA berkenaan pensyariatan iqamah, katanya:

ثُمَّ استَأخَرَ عَنِّي غَيرَ بَعِيدٍ ثُمَّ قَالَ : ثُمَّ تَقُولُ إِذَا أَقَمتَ الصَّلَاةَ : اللَّهُ أَكبَرُ اللَّهُ أَكبَرُ ، أَشهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، أَشهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ ، حَيَّ عَلَى الفَلَاحِ ، قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ ، قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ، اللَّهُ أَكبَرُ اللَّهُ أَكبَرُ ، لَا إِلَه إِلَّا اللَّهُ . فَلَمَّا أَصبَحتُ أَتَيتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ فَأَخبَرتُهُ بِمَا رَأَيتُ، فَقَالَ : إِنَّهَا لَرُؤيَا حَقٍّ إِن شَاءَ اللَّهُ

Maksudnya: “Kemudian beliau beranjak dariku sedikit, lalu berkata, “kemudian jika solat hendak ditunaikan,  hendaklah engkau mengucapkan:

اللَّهُ أَكبَرُ اللَّهُ أَكبَرُ ، أَشهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ، أَشهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ ،  حَيَّ عَلَى الفَلَاحِ ، قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ ، قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ ، اللَّهُ أَكبَرُ اللَّهُ أَكبَرُ ، لَا إِلَه إِلَّا اللَّهُ

(Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Aku bersaksi bahwa tiada tuhan melainkan Allah, aku bersaksi bahwa Muhammad adalah utusan Allah. Mari (menunaikan) shalat, mari (mendapatkan) keberuntungan. Akan ditunaikan shalat, akan ditunaikan shalat. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Tiada tuhan melainkan Allah).

Ketika pagi hari aku mendatangi Rasulullah SAW lalu aku menceritakan mimpi yang aku lihat. Maka baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya itu adalah mimpi yang benar, insyaallah”.

Riwayat Abu Dawud (499)

Begitu dengan riwayat daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

أُمِرَ بِلَالٌ أَن يَشفَعَ الأَذَانَ وَأَن يُوتِرَ الإِقَامَةَ إِلَّا الإِقَامَة

Maksudnya: “Bilal diperintahkan untuk menggenapkan (bacaan dalam) azan dan mengganjilkan (bacaan dalam) iqamah kecuali bacaan iqamah (قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ )”

Riwayat al-Bukhari (605) dan Muslim (378)

Begitu juga riwayat daripada Ibnu Umar R.Anhuma, katanya:

إِنَّمَا كَانَ الأَذَانُ عَلَى عَهدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ مَرَّتَينِ مَرَّتَينِ، وَالإِقَامَةُ مَرَّةً مَرَّةً، غَيرَ أَنَّه يَقُولُ: قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ

Maksudnya: “Sesungguhnya azan pada zaman Rasulullah SAW dua-dua dan iqamah sekali-sekali, kecuali ketika mengucapkan (قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ قَد قَامَتِ الصَّلَاةُ)”.

Riwayat Abu Dawud (510)

Muazzin Menyebut Perkataan ‘Saf’ untuk Menyuruh Makmum Mendirikan Saf

Para ulama berbeza pendapat mengenai waktu yang disarankan bagi makmum untuk berdiri untuk mendirikan saf ketika iqamah dilaungkan. Imam al-Syafi’i berpendapat bahawa mereka harus berdiri setelah iqamah selesai. Abu Hanifah berpendapat bahawa mereka harus berdiri ketika imam mengucapkan “hayya ‘ala al-salah“. Manakala ulama’ Mazhab Hanbali berpendapat bahawa mereka harus berdiri ketika imam mengucapkan “qad qamatis salah“. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 1/547)

Namun, Imam Malik, ketika ditanya mengenai masalah ini, beliau menjawab bahawa dia tidak mendengar adanya batasan waktu yang pasti untuk berdirinya orang-orang ketika solat ingin didirikan. Beliau melihat bahawa hal ini bergantung pada kemampuan dan kekuatan masing-masing individu, kerana terdapatnya orang yang kuat dan ada yang lemah. (Lihat Muwatta’, 2/96)

Pendapat yang disebut oleh Imam Malik lebih tepat, kerana tidak ada riwayat langsung daripada Nabi SAW mengenai masalah ini. Para generasi salaf dalam hal ini juga mengamalkannya dengan pelbagai cara. Ada yang berdiri pada awal iqamah, ada yang berdiri ketika imam mengucapkan “qad qamatis salah“, dan sebagainya. 

Hal ini sekiranya imam sudah hadir. Namun, jika imam tidak hadir dan iqamah telah dilaungkan, maka mereka tidak boleh berdiri sehingga mereka melihat imam. Ini adalah pendapat Abu Hanifah, Imam Syafi’i, dan Ahmad.  

Ibnu Qudamah menyatakan: “Jika solat telah didirikan dan imam tidak berada di masjid dan mereka tidak tahu di mana keberadaannya, mereka tidak boleh berdiri. (Lihat al-Mughni, 2/125)

Hal ini berdasarkan hadis Abu Qatadah yang mengatakan, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ، فَلاَ تَقُومُوا حَتَّى تَرَوْنِي وَعَلَيْكُمُ السَّكِينَةُ

Maksudnya: “Apabila iqamat solat telah dikumandangkan, maka janganlah kamu berdiri sehingga kamu melihat aku, dan hendaklah kamu berada dalam keadaan tenang.”

Riwayat al-Bukhari (638) dan Muslim (604)

Selain itu, antara tugas imam adalah menyuruh makmum membetulkan dan merapatkan saf sebelum dimulakan solat. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Luruskan saf-saf kamu kerana meluruskan saf merupakan syarat kesempurnaan solat.”

Riwayat al-Bukhari (723) dan Muslim (433)

Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Anas RA juga, katanya:

أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ فَأقْبَلَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – بِوَجْهِهِ ، فَقَالَ : أَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ وَتَرَاصُّوا ؛ فَإنِّي أرَاكُمْ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِي

Maksudnya: “Iqamah solat telah dilaungkan, lantas Rasulullah SAW menghadap kami kemudian mengarahkan kami:: “Luruskan saf-saf kamu, dan rapatkan (antara satu sama lain) kerana aku melihat kamu dari belakangku.”

Riwayat al-Bukhari (719) dan Muslim (434)

Menjawab persoalan di atas, tugas muazzin adalah melaungkan azan dan juga melaungkan iqamah apabila imam sudah tiba, manakala tugas imam ialah menyuruh makmum membetulkan saf sebelum di dirikan solat. Justeru, dalam hal ini, muazzin tidak perlu menyebut perkataan ‘saf’ ketika melaungkan iqamah kerana iqamah itu sendiri adalah peringatan kepada makmum untuk bangun menuju ke saf bagi mendirikan solat. Manakala tugas imam pula adalah memberi peringatan kepada makmum supaya membetulkan saf dan meluruskan sebagai kesempurnaan kepada solat Jemaah. 

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

Wallahua`lam.

Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H