#2207: Melakukan Solat Istikharah Tanpa Adanya Pilihan

Soalan:

Assalamualaikum. Ustaz, bolehkah solat istikharah dilakukan hari-hari? Walaupun kita tiada pilihan yang perlu dibuat antara dua perkara. Sepertinya, doa istikharah dibaca secara general dan tidak merujuk kepada mana-mana pilihan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Istikharah (الإستخارة) pada bahasa bermaksud menuntut kebaikan dalam sesuatu perkara. Dikatakan beristikharahlah kepada Allah SWT nescaya diberi pilihan untukmu. Pada istilahnya pula memohon pilihan atau memohon kurniaan sesuatu perkara yang menjadi pilihan Allah SWT, sama ada dengan cara bersolat atau berdoa sebagaimana yang sabit berkenaan hadith Istikharah.

Asal bagi perkataan istikharah ialah daripada perkataanخير yang membawa makna kebaikan. Penambahan huruf Alif,Sin dan Ta’ menambah lagi maknanya. استخار  membawa makna memohon pilihan. Inilah yang dinyatakan oleh Ibnu Munzir di dalam Lisan al-Arab. (Lihat Lisan al-Arab, 4/264)

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya: 

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا الِاسْتِخَارَةَ فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنَ الْقُرْآنِ يَقُولُ: إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالْأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الْفَرِيضَةِ 

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah  mengajar  kami  bagaimana membuat pilihan (beristikharah) yang terbaik dalam semua perkara seperti mengajar satu surah dalam al-Quran. Baginda bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu ingin melakukan sesuatu perkara, maka kerjakanlah solat dua rakaat iaitu selain daripada solat fardhu.”

Baginda bersabda lagi: Kemudian hendaklah dia berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلَا أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلَا أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أَوْ قَالَ فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أَوْ قَالَ فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ وَاقْدُرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِي بِهِ.

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon pilihan yang terbaik daripada-Mu menurut ilmu-Mu. Aku juga mohon takdir yang terbaik menurut takdir-Mu. Aku mohon limpah kurnia-Mu yang agung, kerana hanya Engkau sahaja yang mentakdirkan bukan aku yang mentakdirkan. Hanya Engkau sahaja yang tahu dan aku tidak tahu. Hanya Engkau sahaja yang mengetahui ilmu ghaib. Ya Allah, jika Engkau tahu perkara ini baik untuk  diriku, untuk hidupku dan untuk matiku, atau baginda bersabda; Untuk urusanku di dunia dan akhirat, takdirkanlah ia untukku kemudian berkatilahku dalam urusan ini. Jika Engkau tahu perkara ini tidak baik untukku, untuk agamaku, untuk hidupku dan untuk matiku, atau baginda bersabda: Untuk urusanku di dunia dan akhiratku, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah diriku daripadanya. Takdirkanlah diriku beroleh kebaikan yang sepatutnya kemudian buatkanlah diriku redha dengannya. Baginda bersabda: Seterusnya nyatakanlah hajatnya.”

Riwayat al-Bukhari (1162), Abu Dawud (1538), al-Tirmizi (480), al-Nasaie (3253), Ibn Majah (1383) dan Ahmad (14707) 

 Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata:

طَلَبُ خَيْرِ الْأَمْرَيْنِ لِمَنَ احْتَاجَ إِلَى أَحَدِهِمَا

Maksudnya: “Memohon diberi pertunjuk yang terbaik dalam dua perkara bagi sesiapa yang menginginkan salah satu daripadanya.”  (Lihat Fath al-Bari, 11/183)

Imam al-Nawawi berkata, disunatkan syura sebelum melakukan Istikharah bagi siapa yang diketahui keadaannya yang mampu memberi nasihat, bersifat lemah lembut, mempunyai pengalaman dan  thiqah dari segi agama dan pengetahuannya.  (Lihat al-Azkar, hlm. 365)

Menjawab bagi persoalan di atas kami nyatakan tujuan melakukan solat istikharah adalah bertujuan untuk memohon petunjuk kepada Allah SWT  dalam membuat sesuatu pilihan. Yang demikian  sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Abu Sai’d al-Khudri bahawa beliau bendengar  rasulullah SAW bersabda :

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya: 

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا الِاسْتِخَارَةَ فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنَ الْقُرْآنِ يَقُولُ: إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالْأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الْفَرِيضَةِ 

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah  mengajar  kami  bagaimana membuat pilihan (beristikharah) yang terbaik dalam semua perkara seperti mengajar satu surah dalam al-Quran. Baginda bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu ingin melakukan sesuatu perkara, maka  kerjakanlah solat dua rakaat iaitu selain daripada solat fardhu.”

Riwayat Ibn Hibban(885) dan al-Tabrani (1304)

Hadith di atas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW mengajar para sahabat Baginda dalam membuat pilihan supaya mendirikan solat sunat istikharah dan memohon petunjuk kepada Allah SWT agar diberikan pilihan yang tepat kerana Allah SWT maha mengetahui perkara-perkara yang ghaib.

Justeru, kami katakan  sekiranya tidak mempunyai pilihan maka disarankan untuk  melakukannya. Ini kerana kalimah هَمَّ أَحَدُكُمْ memberi maksud ingin melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, dalam kes anda tidaklah perlu untuk dilaksanakan solat istikharah.

Namun, lebih baik melakukan solat -solat sunat yang dituntut oleh syara’ seperti solat sunat rawatib, dhuha, tahajud dan witir.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melakukan ibadat kepadanya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H