Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kenapa merasa gentar di hadapan ulama rabbani?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Takrif Rabbani
Dalam Lisanul ‘Arab disebutkan, “Ar-Rabbani adalah hamba yang mempunyai pengetahuan tentang Tuhan. Dia adalah ulama yang mengajarkan ilmu yang ringan-ringan sebelum ilmu yang sulit-sulit. Dia adalah seorang ulama yang mantap ilmu dan agamanya”.
Imam al-Qurthubi dalam tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran menulis, “Ar-Rabbani adalah penisbatan kepada ar-Rabb. Dia adalah orang yang mengajarkan ilmu yang ringan-ringan sebelum yang berat. Dia adalah ulama ahli agama yang mengamalkan ilmunya”.
Dari sudut bahasa, rabbaniyah merupakan penisbatan kepada Allah SWT. Oleh karena itu, sebagaimana orang menisbatkan dirinya kepada negeri atau wilayahnya, seperti Mishri `berkebangsaan Mesir’, Syami `berkebangsaan Syam’ dan sebagainya, ada juga sekelompok orang yang disebut dengan rabbaniyyun, iaitu mereka yang telah merealisasikan syarat-syarat untuk menisbatkan dirinya kepada Allah SWT.
Adapun secara istilah, maksud rabbani— seperti yang diterangkan oleh Abu Hamid al-Ghazali—adalah orang yang dekat dengan Allah. Ada pun hamba yang paling rabbani adalah hamba yang paling dekat dengan Allah.
Apa itu Ulama Rabbani?
Ulama rabbani itu ialah hamba yang berilmu yang mengabdikan dirinya kepada Allah. Hamba yang selalu mentaati Allah sama ada dalam keadaan tersembunyi atau terang. Beriltizam dengan manhaj Allah SWT pada diri, keluarga dan masyarakat. Rabbani juga merupakan hidup seseorang yang baik dan berusaha memperbaiki diri dan orang lain.
Kelebihan ulama
Daripada Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang Allah kehendaki padanya kebaikan, maka Allah akan memberinya kefahaman di dalam agama.”
Riwayat Muslim (1037)
فَضْلُ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِي عَلَى أَدْنَاكُمْ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرَضِينَ حَتَّى النَّمْلَةَ فِي جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الْخَيْرَ
Maksudnya: “Keutamaan seorang alim dari seorang abid seperti keutamaanku dari orang yang paling rendah di antara kalian,” Kemudian baginda melanjutkan sabdanya: “Sesungguhnya Allah, MalaikatNya serta penduduk langit dan bumi bahkan semut yang ada di dalam sarangnya sampai ikan paus, mereka akan mendoakan untuk orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.”
Riwayat Tirmizi (2609)
- Kedudukan orang yang berilmu yang beramal adalah lebih baik berbanding seorang ahli ibadah tetapi tidak berilmu.
- Perumpamaan orang berilmu seperti kedudukan Nabi Muhammad SAW, berbanding seorang abid yang diumpamakan sebagai orang kebanyakan yang paling rendah.
- Orang berilmu yang mengajarkan ilmu kepada orang lain akan didoakan oleh penduduk langit dan bumi termasuk semut dan ikan di lautan.
- Alangkah beruntungnya ilmuan yang beramal dan mengajar kepada orang lain. Al-Fudlail bin Iyadh berkata, “Seorang alim yang mengamalkan ilmunya dan mengajarkan ilmunya akan disebut-sebut oleh para malaikat di langit.”
Sebuah Kisah
Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan sebuah kisah yang terjadi ketika Muhammad bin Sulaiman menziarahi Hammad bin Salamah.
Muqatil bin Sulaiman telah berkata, Aku telah masuk ke rumah Hammad bin Salamah. Aku hanya melihat sehelai tikar yang sedang didudukinya sambil membaca Al-Quran yang sedang dipegangnya. Aku juga melihat sebuah sarung pedang yang diletakkan bendera di dalamnya dan sebuah cerek untuk berwudhuk. Sedang aku duduk tiba-tiba pintu diketuk. Maka berkatalah Hammad bin Salamah: “Wahai Habibah, masuklah dan lihatlah siapa itu?” Habibah pun berkata: “Utusan Muhammad bin Sulaiman kepada Hammad bin Salamah.”
Maka Hammad mengizinkan dia, lalu dia masuk. Setelah mengucapkan salam (si utusan itu) berkata: “Amma ba’du. Semoga Allah SWT memberikan kepadamu seperti apa yang telah diberikan kepada para kekasihNya dan ahli yang taat kepada-Nya. Telah timbul satu masalah. Lantaran itu datanglah kepada kami supaya kami dapat bertanya kepadamu, berkenaan dengan masalah itu. Wassalam.”
Maka berkatalah Hammad bin Salamah: “Wahai Habibah, hulurkanlah dakwat itu.” Kemudian dia berkata kepadaku (Muqatil): “Pusinglah suratnya dan tulislah – Amma ba’du: Semoga Allah SWT memberikan kepadamu seperti apa yang telah diberikan kepada para kekasih-Nya dan orang-orang yang taat kepada-Nya. Setahu kami ulama’ tidak mendatangi seseorang untuk memberi pelajaran kepadanya. Sekiranya timbul sebarang masalah kepadamu, datanglah kepada kami dan tanyalah apa yang kamu kehendaki. Apabila kamu datang kepadaku janganlah kamu datang dengan pasukan kudamu dan pasukan yang berjalan kaki sebab kalau begitu aku tidak akan memberi nasihat kecuali kepada diriku sahaja, wassalam.”
Tatkala aku sedang duduk tiba-tiba pintu diketuk. Lantas Hammad bin Salamah berkata: “Wahai Habibah, keluarlah dan lihatlah siapakah itu?” Dia menjawab: “Muhammad bin Sulaiman.” Hammad bin Salamah berkata: “Katakanlah kepadanya supaya dia masuk seorang sahaja.” Lalu dia masuk dan terus duduk di hadapan Hammad bin Salamah, kemudian mula berkata: “Kenapa aku merasa cukup gentar apabila aku memandang kepadamu?”
Hammad menjawab: “Tsabit al-Banani telah memberitahuku, dia berkata, bahawa dia telah mendengar Anas berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الْعَالِمَ إِذَا أَرَادَ بِعِلْمِهِ وَجْهَ الله هَابَهُ كُلُّ شَيْءٍ، وَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَكْبَرَ بِهِ الْكُنُورُ هَابَ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ.
Maksudnya: “Seorang alim apabila dia menghendaki wajah Allah SWT dengan ilmunya, segala sesuatu takut kepadanya. Apabila dia menghendaki dengan ilmunya itu dia dapat mengumpulkan harta, dia akan takut kepada segala sesuatu.”
Riwayat Ibnu Hibban
(Lihat Islam Di Antara Ulama dan Pemerintah, hlm. 223-224)
Hal ini berbetulan dengan apa yang disebut:
مَنِ اتَّقَى اللهَ اتَّقَاهُ كُلُّ شَيْءٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang takut dan bertakwa kepada Allah, maka akan takutlah kepadanya oleh segala yang lain.”
Kami akhiri dengan dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا
Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”
Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H