#2210: Adakah Boleh Menyebut Lafaz “Sayyidina” Dalam Solat?

Soalan:

Assalamualaikum Dr. Zulkifli. Adakah dibolehkan kita menyebut perkataan ‘Sayyidina’ Muhammad di dalam tahiyat awal dan akhir solat, atau sekadar menyebut Muhammad sahaja? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

(Surah al-Ahzab: 56)

Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi SAW mendapat rahmat, muliakan Baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan. Umpamanya mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu. ( Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/5511)

Al-Qadhi Iyadh dalam kitab al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa  menyebut: Menurut Ibn Abbas R.Anhuma, makna ayat ini adalah, Allah SWT dan para malaikat sentiasa melimpahkan berkat kepada Nabi SAW. Ada juga yang mengertikan ayat ini dengan menyebut: Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa melimpahkan rahmat kepada Nabi. (Lihat al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa,hlm. 138-139)

Selawat merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun solat dan tidak sah solat sekiranya meninggal rukun  seperti selawat ke atas Baginda Muhammad SAW . Lafaz selawat  yang diterangkan dalam  Fiqh al-Manhaji adalah sepertimana yang telah diriwayat daripada Abu Masu’d bahawa beliau berakata : Kami telah diperintahkan untuk berselawat kepadamu dan bagaimanakah cara untuk berselawat kepadamu ? Rasulullah SAW menjawab  :

اللَّهمَّ صلِّ على محمَّدٍ وعلى آلِ محمَّدٍ كما صلَّيتَ على إبراهيمَ وعلى آلِ إبراهيمَ، وبارِكْ على محمَّدٍ وعلى آلِ محمَّدٍ كما بارَكْتَ على إبراهيمَ وعلى آلِ إبراهيمَ في العالَمينَ إنّكَ حميدٌ مجيدٌ

Maksudnya: Ya Allah!limpahkanllah selawat ke atas Nabi Muhammad dan ahli keluarganya seperti mana Engkau limpahkan selawat ke atas keluarga Ibrahim dan berkatilah ke atas Muhammad dan ke atas ahli keluarga Muhammad seperti mana Engkau memberkati ke atas ahli keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Agung.

Riwayat Muslim(406)

Menjawab bagi persoalan di atas, dalam isu ini ulama ada berbeza pandangan :

Pendapat Pertama : Tawaqquf (iaitu terhenti kepada al-Quran dan al-Sunnah sahaja).

Bacaan selawat Ibrahim yang terdapat dalam kitab hadis dan fiqh adalah mathur   daripada nabi Muhammad SAW tanpa menyebutkan lafaz (Sayyidina) sebelum menyebut nama baginda dan salam. Ia bagi mengikuti apa yang telah diajar oleh  Baginda Nabi Muhammad SAW seperti  lafaz azan, iqomah, tasyahhud dan selawat tanpa ada penambahan lafaz (Sayyidina). (Lihat Mausua’h al-Fiqhiyyah,11/346)

Ibn baz menyatakan bahawa : Tidak disyariatkan untuk menambah lafaz (Sayyidina) di dalam solat kerana ia tidak disebutkan dalam nas bahkan Rasulullah SAW mengajar para sahabat dengan lafaz :

اللَّهمَّ صلِّ على محمَّدٍ وعلى آلِ محمَّدٍ كما صلَّيتَ على إبراهيمَ وعلى آلِ إبراهيمَ، وبارِكْ على محمَّدٍ وعلى آلِ محمَّدٍ كما بارَكْتَ على إبراهيمَ وعلى آلِ إبراهيمَ في العالَمينَ إنّكَ حميدٌ مجيدٌ”

Pendapat Kedua : Dibolehkan sebagai memuliakan nabi Muhammad SAW . Ini berdasarkan pendapat dalam kalangan fuqaha Syafi’iyyah seperti al-‘iz Ibn Abdul al-Salam, Imam al-Ramli, Qalyubi, Syarqawi dan dari Ibn A’bidin dari kalangan mazhab Hanafi mereka berpandangan bahawa hukumnya adalah sunat sepertimana sunat disebutkan dalam selawat pada tahiyyat akhir, bahkan menyatakan bahawa ia merupakan cara yang afdal.

Imam Syamsuddin al-Ramli menyatakan  dalam kitabnya Nihayat al-Muhtaj bahawa: Cara yang afdal adalah dengan menyebut lafaz sayyidina (dalam selawat pada tahiyyat akhir) sepertimana yang disebutkan oleh Ibn Zahirah dan ulama yang lain serta difatwakan oleh al-syarih (al-Mahalli) kerana ia dikira telah melaksanakan perintah Rasulullah SAW bahkan penambahannya dengan sesuatu lebih baik. Ini merupakan satu bentuk adab kepada Rasulullah SAW dan ia lebih baik daripada tidak menyebutnya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/530)

Justeru, kami cenderong kepada pendapat yang ke dua. Ini kerana dengan penambahan lafaz Sayyidina adalah bertujuan mengagung dan memuliakan Jujungan besar Nabi Kita Muhammad SAW. Yang demikian juga bersesuaian dengan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R,Anhu, bahawa Raslullah SAW bersabda :

أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya:  “Aku adalah penghulu sekalian anak Adam pada hari Kiamat.”

 Riwayat Muslim (2278)

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang jelas dalam beribadat kepadanya dan kami akhiri dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” 

Riwayat Muslim (384)

Wallahua’lam

Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H