#2213: Wanita Sebagai Pemimpin

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah pemerintah utama di kalangan wanita seperti presiden atau raja bagi sesebuah negara mengikut neraca syariat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan mengemukakan dalil kewajipan melantik pemimpin seperti berikut:

Sabda Baginda Nabi SAW:

لاَ يَحِلُّ لِثَلَاثَةٍ يَكُوْنُوْنَ بِفَلَاةٍ مِنَ الْأَرْضِ إِلَّا أَمَّرُوا أَحَدَهُمْ

Maksudnya: “Tidak harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang (bermusafir), melainkan mereka mesti melantik salah seorang mereka sebagai pemimpin.”

Riwayat Ahmad (2/177) dan Abu Daud (2608, 2609)

Ibn Taimiyah berkata: “Kalaulah diwajibkan memilih salah seorang sebagai pemimpin dalam jemaah yang paling sedikit (tiga orang) dan dalam kumpulan yang paling kecil, maka ini adalah peringatan tentang kewajipan tersebut bagi kumpulan yang lebih ramai.” (Lihat Kitab al-Hisbah, hlm. 11)

Telah ijmak para ulama tentang kewajipan melantik imam (pemimpin) sepertimana kata Imam al-Nawawi rahimahullah: “Telah ijmak para ulama bahawa wajib atas orang Islam melantik khalifah.” (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 12/205)

Ibn Khaldun berkata: “Melantik pemimpin adalah wajib dan kewajipan tersebut dapat diketahui dalam syarak dengan ijmak para sahabat dan tabiin kerana para sahabat Rasulullah SAW ketika wafatnya Baginda, mereka bersegera memberi taat setia kepada Abu Bakar RA dan menyerahkan kepadanya urusan mereka. Demikianlah pada setiap zaman dan perkara ini telah tetap sebagai ijmak yang menunjukkan kewajipan melantik pemimpin.” (Lihat al-Muqaddimah, hlm. 191)

Syarat dan Ciri Pemimpin Utama

Bagi individu yang menduduki jawatan pemerintah tertinggi, mereka mestilah memiliki sifat-sifat berikut:

  • Islam: Tidak sah melantik orang bukan Islam sebagai pemerintah. Ini kerana urusan pemerintahan adalah salah satu hukum syarak yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal umat Islam. Oleh itu, ia tidak boleh diserahkan kepada orang yang tidak meyakini hukum-hakam ini.
  • Matang: Oleh itu, tidak sah melantik kanak-kanak, orang bodoh dan yang seumpama dengan mereka sebagai pemerintah, walaupun mereka dikelilingi oleh para penasihat. Nabi SAW bersabda:

تَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِن إِمَارَةِ الصِّبْيَانِ

Maksudnya:Pohonlah perlindungan Allah daripada diperintah oleh kanak-kanak.

Riwayat Imam Ahmad (2/326)

  • Bersifat adil: Orang yang bersifat adil ialah orang yang tidak melakukan dosa besar seperti membunuh, berzina dan memakan riba. Dia juga tidak berterusan melakukan dosa kecil. Oleh itu pelantikan orang fasik adalah tidak sah. Orang fasik ialah orang yang tidak memenuhi syarat-syarat adil. Bacalah sejarah Umar bin al-Khattab yang sanggup menghukum Muhammad bin Amru Ibn al-‘As (Anak gabenor Mesir) ketika mana beliau berlumba kuda dengan seorang qibti dan beliau kalah yang menyebabkan beliau menampar muka qibti tersebut seraya mendakwa, “aku anak orang yang mulia dan bangsawan”. Saidina Umar memanggil mereka berdua ke Kota Madinah dan melaksanakan hukuman kepada anak gabenor tersebut, seraya berkata: “Sejak bila kamu memperhambakan manusia sedangkan ibu-ibu mereka melahirkan mereka dalam keadaan merdeka dan bebas.” (Lihat Futuh Misr wa al-Maghrib oleh Ibn Abd al-Hakam, hlm. 195)
  • Mempunyai pengetahuan tentang hukum agama dan dalilnya. Pemerintah mestilah mengetahui hukum-hakam syarak dan dalil-dalilnya. Pengetahuan ini akan membolehkannya berijtihad ketika perlu. Ini kerana dalam syariat Islam terdapat banyak kes yang berlaku selepas kewafatan Rasulullah SAW dan hanya pemerintah Islam yang dapat memutuskan hukumnya. Benarlah kata Sayidina Umar R.A:

تَفَقَّهُوْا قَبْلَ اَنْ تُسَوّدُوْا

Maksudnya: “Hendaklah kamu belajar dan mendalami ilmu sebelum kamu diangkat menjadi ketua atau pemimpin.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (5/284) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1669)

Imam al-Bukhari menambah dengan katanya:

وَبَعْدَ أَنْ تُسَوَّدُوا ، وَقَدْ تَعَلَّمَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي كِبَرِ سِنِّهِمْ

Maksudnya: “Dan juga setelah kamu diangkat menjadi ketua dan pemimpin. Sungguh, para Sahabat Nabi SAW tetap belajar di usia tua mereka.” (Lihat Sahih al-Bukhari, hlm. 52)

  • Bijaksana dan berkefahaman menyeluruh. Sifat ini membolehkan seseorang pemerintah mampu mentadbir dan menjaga keselamatan negara dan rakyat daripada sebarang ancaman. Kebijaksanaan ini hanya dapat dikesan dan dinilai oleh mereka yang berpengalaman, ahli syura dan mereka yang pernah menjalankan tugas-tugas ini.
  • Ini kerana pemimpin yang bersabar sahaja dapat menyelesaikan masalah ummah dan layak menjadi ketua, benarlah firman Allah SWT:

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

Maksudnya: Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan kami.

(Surah al-Sajdah: 24)

Ibn Kathir berkata: Iaitu tatkala mereka sabar dalam melaksanakan perintah-perintah Allah dan dalam menjauhkan larangan-larangan-Nya, membenarkan para Rasul-Nya dan mengikuti risalah yang diberikan kepada mereka, nescaya mereka menjadi pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran dengan perintah kami, mengajak kepada kebaikan, memerintahkan yang makruf dan melarang kemungkaran. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/430)

  • Melaksanakan Syariah Islamiyah

Kami nukilkan pendapat Syeikh Fathi Yakan dalam bukunya Apa Ertinya Saya Menganut Islam yang berkata: Beramal untuk Islam adalah wajib dari sudut hukum kerana tidak berjalannya syariat Allah di atas muka bumi dan penguasaan sistem dan undang-undang ciptaan manusia ke atas masyarakat manusia hari ini mewajibkan umat Islam dan mengembalikan cara hidup Islam. Umat Islam juga wajib bekerja supaya manusia tunduk mengabdikan diri kepada Allah dari sudut keyakinan, akhlak dan sistem hidup mereka berdasarkan dalil dari al-Quran yang menyebut:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, Kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya”.

(Surah al-Nisa’: 65)

Apabila menegakkan masyarakat Islam dan melaksanakan hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah itu hukumnya wajib, maka kerja-kerja yang membawa kepada kewujudan masyarakat Islam dan terlaksanakanya hukum Allah turut menjadi wajib.

Selain dari itu banyak kewajipan-kewajipan syariah yang pelaksanaan dan amalan bergantung kepada adanya Khalifah (Imam) sedangkan perlantikan khalifah itu sendiri sangat bergantung kepada wujudnya kekuasaan Islam. Oleh itu seluruh undang-undang yang berhubung dengan sistem-sistem Islam sama ada dalam bidang kemasyarakatan, ekonomi, siasah, malahan semua undang-undang yang berhubung dengan hukum, kanun keseksaan, damai, peperangan, jihad, genjatan senjata, perjanjian damai, muamalah, kemasyarakatan, ekonomi, semuanya ini dan lain-lain lagi adalah antara bidang-bidang Syariat Islam yang tidak mungkin terlaksana kecuali melalui sebuah negara yang teguh di atas dasar-dasar Islam.  

Pemimpin-pemimpin wanita di dunia ini.

Kami dapait ramai tokoh-tokoh wanita yang memegang jawatan utama di sesebuah negara antaranya, Ratu Inggeris yang memerintah cukup lama iaitu Ratu Elizabeth II (21 April 1926 – 8 September 2022). Perdana Menteri Inggeris Margaret Thatcher (1979 to 1990), begitu juga dengan Theresa May (2016 to 2019), Perdana Menteri Pakistan Benazir Bhutto (1988 – 1990 dan sekali lagi pada 1993 – 1996), Perdana Menteri Bangladesh Khaleda Zia (Mac 1991 – March 1996, dan sekali lagi pada Jun 2001 – Oktober 2006). Begitu juga dengan Canselor Jerman Angela Dorothea Merkel (2005 – 2021), Perdana Menteri New Zealand Dame Jacinda Kate Laurell Ardern (Oktober 2017 – Januari 2023) dan lain-lain.

Dalam menjawab persoalan di atas, pendapat para ulama terbahagi kepada dua:

Pertama, dibolehkan berdasarkan kepada ratu Balqis yang pernah memerintah kerajaan Saba’.

إِنِّي وَجَدتُّ امْرَأَةً تَمْلِكُهُمْ وَأُوتِيَتْ مِن كُلِّ شَيْءٍ وَلَهَا عَرْشٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar.

Surah al-Naml (23)

Ibn Kathir berkata: Seorang perempuan telah menjadi penguasa dan raja di negeri itu. Kepadanya telah diberikan segala perhiasan dunia berupa segala hal yang diperlukan oleh seorang raja besar yang berkuasa penuh. Antara bentuk perhiasan dahsyat yang dimilikinya adalah sebuah singgahsana yang sangat besar, bertakhtakan emas dan pelbagai jenis permata dan mutiara, dengan ukiran-ukiran yang sangat indah. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 5/120)

Al-Wahidi menyebutkan bahawa Ibn ʻAbbās dan Muqātil berkata: “Diberikan kepadanya dari tiap-tiap sesuatu” di dalam ayat tersebut adalah diberikan kepadanya daripada perbendaharaan dunia terdiri dari harta, tentera dan ilmu pengetahuan. (Lihat al-Tafsir al-Basit, 14/117)

Kedua, tidak dibolehkan. Pemerintah itu mestilah seorang lelaki. Wanita tidak sah menjadi pemerintah kerana sabda Rasulullah SAW:

لَنْ يُفْلِحُ قَوْمُ وَلَّوْا أَمْرَهُمْ امْرَأَةٌ

Maksudnya: “Tidak akan berjaya satu kaum yang dikuasai urusan mereka oleh seorang wanita.” 

Riwayat al-Bukhari (4425) (7099), al-Tirmizi (2262) dan al-Nasa’ie (5403)

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa Ibn al-Tin berkata: “Hadith Abu Bakrah dijadikan dalil oleh mereka yang mengatakan tidak boleh mengangkat perempuan sebagai hakim, dan ini merupakan pendapat jumhur (majoriti). Tetapi Ibn Jarir al-Tabari berpendapat lain, katanya, “Perempuan boleh menjadi hakim dalam perkara di mana kesaksian perempuan diterima.” Sementara sebahagian ulama mazhab Maliki membolehkan perempuan menjadi hakim secara mutlak.” (Lihat Fath al-Bari, 35/180)

Syeikh Mustafa al-Bugha dalam ta’liqnya menyebut: ‘ وَلَّوْا أَمْرَهُمْ امْرَأَةٌ’, yakni menjadikan bagi para wanita mandat am dari jawatan presiden, kementerian, pentadbiran atau badan kehakiman. (Lihat ta’liq Sahih al-Bukhari, 6/8)

Penafian ini adalah penafian yang mesti (muktamad) dan pengharaman yang putus kerana adanya perkataan (لَنْ) iaitu tidak akan. Perkataan ini menjadi ayat penafian berbentuk abadi. Sebagaimana yang telah diketahui bahawa junjungan kita Rasulullah SAW bersabda dengan hadith ini tatkala baginda mendengar bahawa Buran binti Kisra telah memegang jawatan ketua negara Parsi (Iran) menggantikan bapanya. Ini menunjukkan bahawa penafian itu merupakan satu penafian yang putus (tidak boleh dipertikaikan) dan pengharaman yang pasti terhadap pemerintahan yang diterajui oleh wanita. (Lihat Islam Di Antara Ulama dan Pemerintah, hlm. 100)

Setelah meneliti kepada kedua-dua pendapat, kami lebih cenderung kepada tidak dibolehkan untuk wanita memegang jawatan utama. Ini berdasarkan nas sarih dan jelas hadith Nabi SAW. Justeru, pilihlah jawatan utama sesebuah negara untuk lelaki yang mempunyai kelayakan dan syarat yang telah ditetapkan. 

Akhir kalam, kami menutup dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)

Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H