#2215: Syarah Kalimah “Aku redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Muhammad SAW sebagai Nabi.”

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh tolong jelaskan berkenaan kalimah “Aku redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Muhammad SAW sebagai Nabi,” (رَضِيتُ بِاللهِ رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا)? Dan apa kelebihan mengucapkan lafaz ini. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan sebuah hadith daripada al-‘Abbas bin ‘Abd al-Muttalib R.A, bahawa dia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

ذَاقَ طَعْمَ الإِيمَانِ مَنْ رَضِيَ بِاللَّهِ رَبًّا وَبِالإِسْلامِ دِينًا وَبِمُحَمَّدٍ رَسُوْلاً

Maksudnya: “Akan merasakan kelazatan dan kemanisan orang bagi orang yang redha kepada Allah sebagai Rabb-nya, Islam sebagai agamanya serta (Nabi) Muhammad SAW sebagai Rasul-nya.”

Riwayat Muslim (34)

Hadith yang agung ini menunjukkan besarnya keutamaan dan kelebihan redha kepada Allah SWT, Rasul-Nya dan agama Islam, bahkan sifat ini merupakan petanda benarnya dan sempurnanya iman seseorang. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/2 dan Tuhfah al-Ahwazi, 7/311)

Imam al-Nawawi ketika menjelaskan makna hadith ini berkata: “Orang yang tidak menghendaki selain daripada (redha) Allah SWT, dan tidak menempuh selain jalan agama Islam, serta tidak melakukan ibadah kecuali dengan apa yang sesuai dengan Syariat (yang dibawa oleh) Rasulullah SAW, tidak diragukan lagi bahawa sesiapa sahaja yang memiliki sifat ini, maka nescaya kemanisan iman akan masuk ke dalam hatinya sehingga dia dapat merasai kemanisan dan kelazatan iman tersebut. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/2)

Antara pelajaran penting yang terkandung dalam hadith ini, antaranya:

  • Makna ‘redha kepada sesuatu,’ adalah merasa cukup dan puas dengannya, serta tidak menginginkan selainnya. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 2/2)
  • Makna ‘merasai kelazatan dan kemanisan iman’ (ذَاقَ طَعْمَ الإِيمَانِ), adalah merasai kenikmatan ketika mengerjakan ibadah dan ketaatan kepada Allah SWT, bersabar dalam menghadapi kesulitan dalam (mencari) redha Allah SWT dan Rasul-Nya SAW, dan mengutamakan semua itu di atas balasan duniawi, disertai dengan kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya dengan melakukan (segala) perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/312)
  • Makna ‘redha kepada Allah sebagai Rabb’ (رَضِيَ بِاللَّهِ رَبًّا), adalah redha kepada segala perintah dan larangan-Nya, kepada ketentuan dan pilihan-Nya, serta kepada apa yang diberikan dan ditahan-Nya. Inilah syarat untuk mencapai tingkatan redha kepada-Nya sebagai Rabb secara utuh dan sepenuhnya. (Lihat Fiqh Asma’ al-Husna, hlm. 81)
  • Makna ‘redha Islam sebagai agama,’ adalah merasa cukup dengan mengamalkan Syariat Islam dan tidak akan berpaling kepada selain Islam. Demikian juga, ‘redha akan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul,’ ertinya hanya mencukupkan diri dengan mengikuti petunjuk dan Sunnah Rasulullah SAW dalam beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah, serta tidak menginginkan selain petunjuk dan Sunnah Baginda SAW. (Lihat Faidh al-Qadir, 3/557)

Allah SWT berfirman:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Al-Tabari berkata: ‘وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا’ (dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu), maksudnya adalah “Aku redha.” Firman-Nya, ‘الْإِسْلَامَ دِينًا’ ( Islam itu menjadi agama untuk kamu), maksudnya adalah: “Pasrah kepada perintah-Ku dan tunduk kepada ketaatan-Ku atas apa yang disyariatkan kepada kamu semua, berupa batas-batas-Nya, kewajiban-kewajiban-Nya dan tanda-tanda-Nya.” ‘دِينًا’ (Agama bagimu), maksudnya adalah, “Ketaatan kamu semua kepada-Ku.”

Jika seseorang berkata, “Atau Allah tidak redha Islam bagi hamba-hamba-Nya, kecuali Dia ingin menurunkan ayat ini?” Katakanlah, “Allah SWT masih redha bagi makhluk-Nya Islam sebagai agama, tetapi Dia masih memurnikan Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabatnya dalam darjat serta martabat Islam, darjat demi darjat, martabat demi martabat, dan keadaan demi keadaan, hingga menyempurnakan syariat-syariat dan tanda-tanda-Nya, sehingga mencapai darjat dan martabat yang paling tinggi.”  (Lihat Jami’ al-Bayan, 8/331)

Ibn Kathir berkata: Ini adalah nikmat Allah yang paling besar bagi umat Islam. Allah telah menyempurnakan agama mereka, sehingga mereka tidak memerlukan agama lain. Mereka juga tidak memerlukan nabi lain selain Nabi mereka, semoga rahmat dan kesejahteraan sentiasa terlimpah untuk Baginda. Kerana itu, Allah menjadikan Baginda sebagai penutup para nabi dan mengutusnya kepada umat manusia dan jin. Tidak ada yang halal selain yang sudah dihalalkan-Nya, dan tidak ada yang haram selain yang sudah diharamkan-Nya. Tidak ada agama, kecuali yang sudah disyariatkan-Nya. Semua yang diberikan Nabi SAW adalah benar dan jujur, serta tidak ada kedustaan di dalamnya.

Ini sebagaimana yang Allah firmankan: ‘‏ وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلًا ۚ لَّا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ’ (Dan telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu (Al-Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya) dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatupun dari Kalimah-kalimah-Nya) [Surah al-An’am: 115] Kalimat Allah itu sempurna dalam kebenaran berita dan adil dalam larangan dan perintah-Nya.

Setelah Allah menyempurnakan agama bagi mereka, kenikmatan yang mereka terima pun sempurna. Untuk itulah, disebutkan dalam firman-Nya: ‘الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا’ (“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”)

Kerana Allah SWT telah meredhai Islam sebagai agama kita, maka kita harus meredhai apa yang telah Allah redhai untuk kita. Kita pun harus mencintai apa yang Dia sukai untuk kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/495)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, bahawa Allah SWT telah menyempurnakan buat kamu agama kamu dengan kemenangan yang sempurna dan syariat yang menyeluruh dari segi zahir dan batin, usul dan furu‘ (cabang). Oleh sebab itu, cukuplah al-Quran dan al-Sunnah dalam hukum-hakam agama, sama ada usulnya mahupun furu‘nya. Selain itu, Allah SWT juga telah mencukupkan nikmat-Nya buat kamu sama ada zahir dan batin, serta telah memilih dan menjadikan buat kamu agama yang diredhai-Nya. Justeru, kerjakanlah kehidupan seharian kamu dengannya sebagai tanda kesyukuran kamu kepada-Nya dan pujilah Allah yang telah mengurniakan kepada kamu dengan agama yang paling baik, mulia dan sempurna — iaitu agama Islam. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/219)

 

Kelebihan Mengucapkan Kalimah Ini

Selain itu, terdapat kelebihan yang besar bagi mereka yang mengucapkan kalimah ini, iaitu:

رَضِيتُ بِاللهِ رَبَّا، وَبِالإِسْلَامِ دِيْنَا، وَبِمُحَمَّدٍ – صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وِسَلَم – رَسُولًا

Maksudnya: “Aku redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Muhammad SAW sebagai Rasul.”

Antara kelebihannya:

  • Wajib Baginya Syurga

Daripada Abu Sa’id al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَالَ: رَضِيتُ بِاللَّهِ رَبًّا، وَبِالإِسْلاَمِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ رَسُولاً، وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ.

Maksudnya: Sesiapa yang mengucapkan “Aku redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Muhammad SAW sebagai Rasul,” pasti dia mendapat syurga.

Riwayat Muslim (1884), Abu Daud (1529) dan al-Nasa’ie (3131)

  • Allah SWT Jamin untuk Redha Padanya Ketika Hari Kiamat

Daripada Abu Sallam bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَا مِنْ عَبْدٍ أَوْ إِنْسَانٍ أَوْ مُسْلِمٍ يَقُولُ حِينَ يُمْسِي وَحِينَ يُصْبِحُ: رَضِيتُ بِاللهِ رَبًّا وَبِالْإِسْلَامِ دَيْنًا وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا إِلَّا كَانَ حَقًّا عَلَى اللهِ أَنْ يُرْضِيَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Tiada seorang pun hamba (Allah) atau manusia atau muslim mengucapkan di waktu pagi dan petang: “Aku redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai Rasul,” melainkan Allah jamin untuk meredhainya pada hari kiamat nanti.

Riwayat al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (9832), Ahmad (23111) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (921). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan bahawa hadith ini sahih li ghairihi dalam takhrij al-Musnad.

  • Rasulullah SAW Jamin untuk Memegang Tangannya Masuk ke dalam Syurga

Daripada al-Munaizir sahib Rasulillah SAW, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَالَ إِذَا أَصْبَحَ: رَضِيتُ بِاللهِ رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا، فَأَنَا الزَّعِيمُ لِآخُذَ بِيَدِهِ حَتَّى أُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ

Maksudnya: Sesiapa yang mengucapkan di waktu pagi: “Aku redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai Rasul”, aku jamin akan memegang tangannya hingga masuknya ke dalam syurga.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (838). Isnadnya adalah sahih sepertimana dinyatakan dalam al-Silsilah al-Sahihah (2686)

  • Bukti Keimanan Seseorang

Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنَ الْإِيمَانِ أَنْ يَقُولَ: رَضِيتُ بِاللَّهِ رَبًّا، وَبِمُحَمَّدٍ رَسُولًا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا

Maksudnya: Cukup sebagai bukti telah beriman apabila seseorang mengucapkan: “Aku redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai Rasul.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7472) dan al-Dailami dalam al-Firdaus (2739). Dinyatakan sebagai dha’if dalam Dha’if al-Jami’ (2320)

Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan kepada kita dan menolong kita untuk sentiasa zikir kepada-Nya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu,bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H