#2216: Mandi Wajib Wanita Yang Beronani Ketika Haid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Maaf kerana bertanya soalan begini, tetapi saya sangat memerlukan jawapan. Sekiranya seorang wanita beronani ketika haid, adakah dia perlu mandi wajib dua kali setelah haid kerana keluar air mani dan putus haid?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami dahulukan terlebih dahulu dengan membahaskan secara ringkas hukum beronani. Hukum perbuatan beronani menurut kebanyakan ulama’ adalah haram dan wajib ke atas pelakunya untuk mandi jika terkeluar air mani. Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ‎﴿٥﴾‏ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ‎﴿٦﴾‏ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ ‎﴿٧﴾

Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah Al-Mu’minun: 5-7)

Imam al-Syafi‘i ketika mengulas ayat di atas menyebutkan: “Tidak halal menggunakan zakar melainkan kepada isteri atau kepada hamba perempuan yang dimiliki. Begitu juga tidak halal perbuatan beronani.” (Lihat Al-Umm, 5/102)

Wanita yang Beronani Ketika Haid

Melihat kepada persoalan yang diutarakan, kami mendapati pada situasi tersebut terdapat 2 perkara yang mewajibkan wanita tersebut untuk mandi wajib; putusnya haid dan keluar air mani.

Dalam keadaan ini, wanita tersebut tidak perlu untuk mandi wajib sebanyak dua kali, bahkan cukup baginya sekali mandian sahaja untuk mengangkat hadas besar. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A berkata:

أَنَّ النَبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَطُوفُ عَلَى نِسَائِهِ بِغُسْلٍ وَاحِدٍ

Maksudnya “Sesungguhnya Nabi SAW pernah mendatangi isteri-isteri Baginda dengan hanya satu kali mandi sahaja.”

Riwayat Muslim (309)

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa, jika seseorang berhadas lebih daripada sekali, maka cukup baginya sekali wudhu’ sahaja berdasarkan persepakatan ulama’. Begitu juga jika dia berjunub berkali-kali kerana menggauli seorang wanita atau lebih, atau kerana mimpi basah, atau kesemuanya sekali, berpada baginya sekali mandi sahaja menurut ijmak. Dan antara yang menukilkan ijmak ini adalah Abu Muhammad bin Hazm. (Lihat al-Majmu‘, 1/473)

Kewajipan mandi bagi mereka yang junub adalah berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: Dan jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”

(Surah al-Ma’idah: 6)

Mandi wajib mempunyai syarat fardhu yang telah ditetapkan oleh ulama’. Antara syarat mandi yang disepakati oleh para ulama’ ada 2:

  • Niat.
  • Meratakan air ke seluruh badan.

Umumnya, apabila sesuatu amalan itu dilakukan mengikut syarat dan rukun yang telah ditetapkan, maka hukumnya adalah sah dan tidak perlu untuk dia mengulanginya sekali lagi. Bahkan perbuatan mengulangi mandi wajib ini juga bukanlah suatu perkara yang dituntut, kerana perbuatan mengulangi mandi wajib merupakan sesuatu berlebih-lebihan dalam agama, dengan menambah apa yang tidak sepatutnya ditambah.

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa mengulangi mandi waji mengikut pandangan yang sahih, merupakan sesuatu yang tidak disunatkan. (Lihat al-Majmu‘, 1/494)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan yang kami bawakan di atas, kami katakan bahawa jika terkumpul pada seseorang itu lebih daripada satu perkara yang mewajibkan mandi, seperti keluar air mani dan didatangi haid, atau berjimak dan kemudiannya mimpi basah, maka wajib baginya satu kali mandi sahaja.

Mendepani dunia teknologi yang kian maju, ramai dari kita yang terdedah kepada gambar-gambar atau video yang mendedahkan aurat. Hal ini terkadang mendorong untuk naiknya syahwat dan nafsu seseorang sehingga akhirnya terjatuh di dalam kancah dosa, seperti melakukan onani yang telah jelas pengharamannya.

Kami menasihatkan agar kita dapat memelihara pandangan daripada melihat perkara yang boleh merosakkan moral dan juga kesihatan batin seseorang. Kami sudahi dengan firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ‎﴿٣٠﴾‏ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”

(Surah al-Nur: 30-31)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H