#2217: Kebenaran Yang Diucapkan Oleh Ibn Abu Zu’aib

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato’ Seri ceritakan kisah dialog Khalifah al-Mansur dengan Ibn Abu Zu’aib yang dikatakan cukup berani dan ikhlas dalam memberi nasihat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas kami kemukakan riwayat daripada Imam Syafie rahimahumullah, dia berkata, “(Bapa saudaraku Muhammad bin Ali telah memberitahuku bahawa dia telah menghadiri majlis Amirul Mukminin Abu Jaafar Al-Mansur. Ibn Abu Zuaeib (seorang ulama’) juga hadir di dalam majlis itu. Pada waktu itu Hasan bin Zaid menjadi gabenor di Madinah. Kaum Ghifari datang mengadap dan mengadukan sesuatu perkara tentang Hasan bin Zaid kepada Abu Jaafar. Mendengar aduan itu lantas Hasan bin Zaid mencelah: “Wahai Amirul Mukminin, tanyalah kepada Abu Zuaeib siapakah mereka (kaum Ghifari) itu”.

Lalu Abu Jaafar bertanya kepada Abu Zuaeib: “Apakah pendapat kamu terhadap mereka (kaum Ghifari) wahai Abu Zuaeib?” Abu Zuaeib menjawab: “Aku mengakui bahawa mereka itu telah merosakkan kehormatan manusia dan selalu menyakiti mereka.” Lalu Abu Jaafar bertanya: “Kamu dah dengar?”

Kemudian golongan Al-Ghifar pun berkata: “Wahai Amirul Mukminin, tanyalah kepada Abu Zuaeib apakah pendapat beliau tentang Hasan Ibn Zaid?” Abu Zuaeib menjawab: “Aku mengakui bahawa Hasan ini selalu menghukum tanpa kebenaran dan mengikuti hawa nafsu.”

Abu Jaafar berkata: “Engkau telah mendengar apa yang telah dikatakan oleh Ibn Abu Zuaeib pada kamu sedangkan dia itu seorang syeikh (pemimpin atau imam) yang soleh.”

Hasan bin Zaid berkata: “Wahai Amirul Mukminin tanyalah dia darihal dirimu.”

Lantas Abu Jaafar berkata kepadanya: “Apakah pula pendapat kamu tentangku?” Kata Ibn Abu Zuaeib: “Adakah kamu mengizinkan aku! Wahai Amirul Mukminin?” Abu Jaafar berkata: “Dengan nama Allah SWT aku meminta kepadamu supaya engkau memberitahuku.” Ibn Zuaeib berkata: “Engkau bertanya kepadaku dengan nama

Allah SWT seolah-olah engkau tidak mengenali dirimu.”

Abu Jaafar mendesak lagi: “Mesti kamu memberitahuku.” Abu Zuaeib menjawab dengan tegas: “Aku mengakui bahawa engkau telah mengambil harta ini tanpa haknya lalu engkau berikan kepada yang bukan ahlinya dan aku mengakui bahawa kezaliman berkembang biak di pintumu.”

Lantas Abu Jaafar bangun dari tempatnya sehingga dia meletakkan tangannya di tengkuk Ibn Zuaeib lalu memegangnya. Kemudian dia berkata: “Adapun demi Allah SWT sekiranya aku tidak duduk di sini, nescaya Parsin Romaw, Dailam dan Turki merampas tempat ini daripadamu.?

Maka berkatalah Ibn Abu Zuaeib:”Wahai Amirul Mukminin, Abu Bakar dan Umar telah menjadi khalifah lalu keduanya melaksanakan al-hak dan membahagikan harta dengan sama rata malahan mereka berjaya mengalahkan dan menundukkan Parsi (Iran) dan Romawi.”

Lalu Abu Jaafar melepaskan tengkuk Ibn Abu Zuaeib dan melapangkan jalannya dan berkata: “Sekiranya aku tidak mengetahui bahawa engkau benar nescaya aku membunuhnya.” Lantas Ibn Abu Zuaeib berkata: “Demi Allah SWT wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya aku lebih jujur memberi nasihat kepadamu daripada puteramu Al-Mahdi.”

Selepas bersurai dari majlis Abu Jaafar, Ibn Abu Zuaeib berjumpa dengan Sufian Al-Tsauri. Berkata Al-Tsauri: “Aku merasa benar-benar gembira terhadap apa yang telah kamu katakan kepada diktator zalim itu, tetapi aku susah hati dengan katamu ‘puteramu Al-Mahdi.”

Lalu Ibn Abu Zuaeib berkata: “Semoga Allah SWT mengampuni engkau wahai Abu Abdullah: “Kita semua adalah Al-Mahdi, semua kita berada di dalam Mahdi (di dalam buaian). (Lihat Al-Ihya’, 7/77.)

Demikianlah Ibn Zuaeib sebagai ulama’ yang mulia yang telah berkata benar, terus terang, tegas dan tangkas tanpa takut dan bimbang walaupun berhadapan dengan Abu Jaafar Al-Mansur khalifah muslimin Bani Abbasiyah. Demikianlah juga jawapan Abu Jaafar sebagai khalifah negara Islam dan bersumpah: “Demi Allah SWT sekiranya aku tidak mengetahui engkau benar, nescaya aku membunuhmu.” (Lihat Islam Di Antara Ulama dan Pemerintah, hlm. 207-210)

Firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا 

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

Surah al-Ahzab (23)

Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50)

Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H