Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Betulkah hantu itu wujud? Dan benarkah dakwaan bahawa hantu itu ialah roh orang yang tidak tenteram kemudian kembali mengganggu kehiudpan manusia yang masih hidup?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Maksud hantu mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah ciptaan khayalan manusia yang menakutkan. Manakala dalam masyarakat Melayu seringkali digambarkan sebagai makhluk ghaib yang menjelma dengan rupa yang menakutkan. Sesetengah orang Melayu mengatakan bahawa hantu itu berasal daripada roh orang tidak tenteram disebabkan sesuatu hajat yang belum selesai seperti untuk membalas dendam ke atas orang yang masih hidup. Antara mati yang jenis hantu yang sering dikaitkan dengan orang yang meninggal dunia adalah hantu pontianak, hantu kubur, hantu pocong, hantu langsuir dan lain-lain. Ada sesetengah orang Melayu menggunakan istilah ‘roh kembali terhadap beberapa fenomena mistik yang berlaku dalam masyarakat sehingga ada sesetengah pembikin drama dan filem pula menjadikannya sebagai modal untuk menjual filem dan drama mereka.
Dalam Islam, hantu seperti mana yang dipercayai oleh masyarakat Melayu itu sama sekali tidak wujud. Sebaliknya, daripada perkhabaran al-Quran dan al-Sunnah didapati apa yang diperkatakan oleh masyarakat Melayu itu tiada kena mengena langsung dengan roh orang mati sebaliknya ia adalah Iblis, jin dan syaitan. Malah, mempercayai kewujudan Iblis, jin dan syaitan termasuk dalam rukun Iman yang wajib diimani. Ini kerana kewujudan Iblis, jin dan syaitan disebut secara jelas dalam al-Qur’an dan al-Sunnah walaupun manusia tidak dapat melihatnya. Ini bermakna mempercayai kewujudan kedua-duanya termasuk dalam beriman kepada Allah, Kitab dan Rasul.
Firman Allah SWT:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
Surah al-Dzariyat (56)
Saidina Ali bin Abi Thalib R.A dalam menghuraikan maksud ayat di atas berkata: “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk Aku perintahkan kepada mereka agar beribadah.” (Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 17/52)
Al-Maraghi berkata: “Sebahagian ahli tafsir berpendapat, (yakni) supaya mereka tunduk dan merendah diri kepada-Ku iaitu golongan jin dan manusia hendaklah patuh kepada perintah Allah dan mengikut apa yang ditakdir kepadanya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/213)
Dalam kitab A’lam al-Jin wa al-Syaitan menyatakan, bahawa ayat di atas menggambarkan jin diberi taklifan melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Sekiranya mereka mentaatinya, maka redha Allah SWT ke atas mereka dan diberikan ganjaran syurga. Dan sekiranya mereka melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT, maka mereka akan diberi balasan neraka. (Lihat A’lam al-Jin wa al-Syaitan, 1/41)
Begitu juga firman Allah SWT:
وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ ۗ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ ۚ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلًا
Maksudnya: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.”
Surah al-Kahfi (50)
Syeikh Muhammad Rasyid Ridha berkata: “Ia adalah sujud yang kita tidak mengetahui tatacaranya. Akan tetapi dasar-dasar agama mengajarkan kepada kita bahawa ia bukanlah sujud ibadah, kerana tidak ada yang disembah selain Allah SWT. Sujud secara bahasa ertinya kerendahan, ketundukan, dan kepasrahan. Bukti terbesarnya adalah tindakan menyungkurkan diri ke bumi dengan menurunkan kepala dan meletakkan wajah di tanah. Pada umat terdahulu, ia termasuk penghormatan masyarakat kepada raja dan pembesar, termasuk dalam hal ini ialah sujud Ya’qub dan anak-anaknya kepada Yusud A.S.” (Lihat Tafsir al-Manar, 1/265)
Ayat ini menjelaskan tentang asal usul syaitan dan Iblis: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripada-Ku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu, amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim pengganti yang mereka pilih itu.
Manakala dalam firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ لَا يَفْتِنَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ كَمَا أَخْرَجَ أَبَوَيْكُم مِّنَ الْجَنَّةِ يَنزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْآتِهِمَا ۗ إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ ۗ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.”
Surah al-A’raf (27)
Di dalam ayat ini, dijelaskan tentang sifat jin dan syaitan itu yang ghaib dan tidak boleh dilihat oleh manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka, aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan- syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.” (Lihat Diskusi Isu Akidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, hlm. 404-406)
Kami katakan kepercayaan sehingga hantu atau syaitan boleh membuat sesuatu kepada manusia yang perlu ditakuti adalah satu kesilapan yang besar. Ini melahirkan masyarakat yang bersifat wahmiyat atau wahm yang sentiasa membelenggu kehidupan masyarakat yang lemah. Natijah daripada itu, lahirnya sifat penakut dan tidak berani. Bukan itu sahaja, wujudnya perasaan lemah semangat serta yang lebih parah lagi bahaya apabila mempercayai yang makhluk boleh menguasai manusia seperti jin dan syaitan sedangkan tipu daya mereka amatlah lemah.
Firman Allah SWT:
الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ ۖ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا
Maksudnya: “Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan Taghut (Syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut Syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah.”
Surah al-Nisa’ (76)
Justeru, buanglah perasaan takutkan hantu syaitan dan binalah perasaan takutkan Allah SWT. Dengan itu, kita akan menjadi orang atau masyarakat yang sentiasa utuh dan berkeyakinan tinggi serta tawakkal hanya kepada Allah SWT kerana hantu, syaitan atau iblis semuanya makhluk Allah SWT yang lemah lagi derhaka kepada-Nya.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ اهُمْ وَالْخَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada- Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada- Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada- Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H