#222 Hutang Bukan Untuk Keperluan

Soalan

Adakah dibolehkan untuk berhutang pada perkara kehendak yang bukan keperluan mendesak?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Hutang adalah hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. [1]

Dalam bahasa Arab ia disebut sebagai al-qardh (القَرضَ). Al-Qardh dari segi bahasa bermaksud potong. Menurut kamus al-Misbah al-Munir[2]: ‘قَرَضْتُ الشَّيْءَ قَرْضًا’ bermaksud saya memotong sesuatu. Kata nama perkataaan ini pula membawa maksud satu barangan yang diberikan kepada seseorang sebagai hutang. Perkataan ini digunakan dalam bahasa Arab kerana ia  (hutang) memotong hak pemilik terhadap barangan tersebut.

Menurut istilah para fuqaha’, hutang ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. Dalam bahasa Arab, proses ini dinamakan qardh kerana proses ini menyebabkan tuan punya barangan memotong sebahagian hak miliknya untuk diberikan kepada kepada penghutang. Ini sesuai dengan makna qardh dari segi bahasa.[3]

Allah SWT memerintahkan orang yang beriman untuk mencatat segala hutang dan masa bayarannya. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).[4]

Secara umumnya, hutang di dalam Islam adalah dibenarkan dan bertepatan dengan syara’. Orang yang memerlukannya dibenarkan dan disunatkan meminta tanpa perlu rasa bersalah. Malah ia menjadi tanggungjawab orang yang diminta. Ini ada dinyatakan oleh kitab Allah SWT dan ijma’ ulama’.[5]

Hikmah pensyariatan membenarkan amalan ini cukup jelas iaitu merealisasikan kehendak Allah yang mahukan wujudnya suasana tolong-menolong untuk tujuan kebaikan dan ketaqwaan sesama umat Islam. Di samping itu, amalan ini juga dapat memantapkan lagi hubungan persaudaraan sesama umat Islam dengan cara mengajak mereka supaya menghulurkan bantuan kepada mereka yang ditimpa kesusahan dan kesengsaraan.

Bahkan Nabi SAW menggalakkan untuk memberikan hutang kepada yang memerlukan dengan menyebut kelebihan tertentu. Nabi saw bersabda :

مَنْ أَقْرَضَ لله مَرَّتَيْنِ كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ أَحَدِهِمَا لَوْ تَصَدَّقَ بِهِ

Maksudnya: ”Sesiapa yang memberi hutang kerana Allah sebanyak dua kali, baginya pahala salah satu darinya jika dia menghalalkan hutang tersebut.”[6]

Allah SWT juga menjanjikan pelepasan dari kesusahan di akhirat bagi orang yang menyelesaikan masalah saudaranya yang ditimpa kesusahan di dunia. Sabda Nabi saw yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

مَنْ نَفَّسَ عَنْ أَخِيهِ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Maksudnya:Sesiapa yang meyelesaikan kesusahan saudaranya di dunia, Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat kelak.”[7]

Berdasarkan persoalan di atas, orang yang ingin berhutang mestilah ada hajat dan keperluan yang mendesak. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Anas RA bahawa Nabi SAW bersabda:

والمُسْتَقْرِضُ لَا يَسْتَقْرِضُ إلَّا مِنْ حَاجَةٍ

Maksudnya:” Orang yang ingin berhutang tidak akan berhutang melainkan dia mempunyai hajat (yang mendesak).”[8]

Dapat kita fahami, bahawa berhutang adalah kerana ada keperluan dan hajat bukannya untuk bermewah. Ini kerana maksud keperluan yang dijelaskan oleh para ulama adalah keperluan yang mendesak. Seperti ingin memiliki kereta yang mana ia merupakan satu keperluan pada zaman ini. Adapun berhutang kerana ingin memiliki kereta mewah atau ingin memperoleh telefon canggih yang sebenarnya tidak perlu pun, Inilah yang dilarang oleh para Ulama.

Hukum berhutang kadang boleh jadi haram, boleh jadi wajib dan boleh jadi harus. Adapun haram berhutang bagi mereka yang tiada keperluan(yang mendesak) dan dia tidak boleh membayarnya dengan segera atau tidak boleh membayar pada waktu yang ditentukan.[9]

Imam al-Ramli berpandangan bahawa jika orang yang memberi hutang mengetahui bahawa hutang yang diberikan akan disalahguna maka tidak dibenarkan untuk memberikan hutang kepada individu tersebut.[10]

Sebagai kesimpulan, kami menyarankan supaya tidak berhutang sekiranya tiada keperluan yang mendesak. Hal ini kerana perbuatan berhutang kepada perkara yang tidak perlu amatlah membebankan dan menyusahkan diri di kemudian hari. Kami juga menasihatkan agar adanya satu kesedaran berkaitan pengurusan kewangan supaya kita dapat menilai yang mana satu yang merupakan keperluan mendesak dan yang mana satu yang merupakan kehendal. Kami akhiri perbincangan kali ini dengan dengan nasihat Uqbah Bin Amir RA kepada anaknya tatkala beliau hampir wafat, katanya:

يَا بَنِيَّ إنِّي أَنْهَاكُمْ عَنْ ثَلاَثٍ فَاحْتَفِظُوا بِهَا: لاَ تَقْبَلُوا الْحَدِيثَ عَنْ رَسُولِ الله – صلى الله عليه وسلم – إلاَّ مِنْ ثِقَةٍ، وَلاَ تَدَيَّنُوا وَلَو لَبِسْتُمُ الْعَبَاءَ. وَلاَ تَكْتُبُوا شِعْراً تَشْغَلُوا بِهِ قُلُوبَكُمْ عَنِ الْقُرْآنِ

Maksdunya: Wahai anakku, sesungghunya aku melarang kamu daripada 3 perkara, maka jagalah nasihatku dengan baik: Jangan ambil hadith Rasulullah SAW kecuali daripada orang yang thiqah, jangan berhutang sekalipun kamu terpaksa memakai kain bulu dan jangan kamu sibuk menulis syair sehingga hati kamu lalai daripada al-Quran.[11]

Ini menunjukkan perlunya kita menjarakkan daripada berhutang dengan sengaja atau sewenang-wenangnya. Semoga Allah menjadikan kita tenang dan bahagia serta selamat daripada hutang. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

 

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, (6/82), Mughni al-Muhtaj, (2/117) dan al-Taqrirat al-Sadidah, Qism al-Buyu’, (hlm. 45)

[2] Lihat al-Misbah al-Munir, 2/497

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/121-122

[4] Surah al-Baqarah: 282

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/121-122

[6] Riwayat Ibnu Hibban (5040)

[7] Riwayat al-Tirmizi (2945)

[8] Riwayat Ibn Majah (2431), Ibn Hibban di dalam al-Majruhin (1/320) dan al-Tabrani di dalam al-Mu’jam al-Ausat (6719). Hadith ini dinilai sebagai dhaif jiddan (tersangat lemah) berdasarkan kita al-Silsilah al-Dha’ifah (3637)

[9] Lihat Al-Taqrirat al-Sadidah hlm. 45)

[10] Lihat Nihayah al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj 4/221

[11] Riwayat al-Tabrani di dalam Mu’jam al-Kabir (737). Lihat juga Majma’ al-Zawaid oleh al-Haithami (1/145)